“AWAK kat mane, awak, awak kat mane,” pastinya bait-bait itu sudah sinonim dalam kalangan peminat industri muzik ketika ini. Jika diamati, tiada langsung keistimewaan dan nilai seni yang terdapat dalam lirik yang mudah dan ringkas itu.
Namun pada sisi lain, getusan fenomena #Awak KatMane tidak boleh dipandang enteng mahupun sinis. Walaupun kritikan hebat diterima penama Taufik Batisah berikutan karya hasil air tangannya itu, namun, sedar ataupun tidak, ia menjadi promosi yang menjana populariti kepada dirinya.
Langsung tidak menyangka lagu yang hanya mengambil masa satu jam untuk disiapkan itu menjadi fenomena, Taufik, 34, bagaimanapun, mensyukuri tuah lagu tersebut yang berjaya memanaskan semula namanya.
Menerima pelbagai reaksi sinis bahkan berunsur cemuhan terhadap karya tersebut, namun Taufik tidak pernah menganggap ejekan itu menjatuhkan dirinya. Dalam kata lain, ia menjadi promosi percuma kepadanya supaya peminat lebih mengenali siapa itu Taufik Batisah.
“Saya sedar dan tahu, ramai orang di luar sana menjadikan lagu ini sebagai jenaka dengan menghasilkan klip-klip video parodi, namun, saya tidak pernah menganggap itu sebagai perkara negatif.
“Jika dipandang daripada sudut positif, ia menjadi sebahagian daripada promosi yang mempopularkan lagu tersebut. Malah, apabila lagu itu menjadi viral di laman sosial, tentunya orang ramai ingin tahu siapa pelantun lagu tersebut sekali gus, lagu lain nyanyian saya juga dicari khalayak,” ujar Taufik usai sesi penggambaran di Royal Theatre Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Membawa perbualan mendalami soal penghasilan lagu popular itu, Taufik menyifatkan #AwakKatMane asalnya sebuah karya ringan bagi melengkapkan album kelimanya, Fique yang dilancarkan pada tahun lalu.
“Lagu #AwakKatMane dicipta sekadar untuk hiburan. Saya menghasilkan lagu ini berdasarkan inspirasi percintaan rakan-rakan yang sering dikongkong kekasih.
“Bahkan, pada asalnya saya juga hanya mahu mengejek rakan dengan pertanyaan ‘awak kat mane’ di laman sosial. Namun, tak sangka akhirnya ia menjadi viral,” katanya yang pernah menggondolkan anugerah Artis Paling Popular di Anugerah Planet Muzik (APM) pada tahun 2012.
Menurut Taufik lagi, niat suka-suka membuat video pertanyaan ‘awak kat mane’ dan dimuat naik ke laman perkongsian gambar, Instagram miliknya untuk hiburan itu tidak diduga menjadi ikutan dan menarik perhatian ramai.
‘Saya merupakan seorang yang aktif menggunakan laman sosial. Apa sahaja aktiviti berkaitan hal seni akan dikongsikan kepada peminat melalui laman sosial Instagram. Saya tidak sangka perkara tersebut mampu menarik perhatian ramai,” katanya.
TAUFIK tidak pernah terkilan saat lagunya #AwakKatMane sering dijadikan bahan jenaka.
Mahu menetap di Malaysia
Jika sebelum ini jenama Taufik Batisah hanya berlegar di negara Temasik sahaja, namun kini, sudah pasti jejaka kacukan India dan Bugis itu mempunyai tempat tersendiri di Malaysia.
Ditebak mengenai keinginannya untuk menetap di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai 'Hollywood Melayu', Taufik tanpa berselindung mengaku memang mempunyai niat untuk menetap di Malaysia.
Bagaimanapun, niat itu terpaksa diperap di dalam lubuk hati demi memikirkan ibunya, Normainah Bachok, 61, yang tinggal di Singapura. Bimbang tidak mampu memberi sepenuh tumpuan terhadap ibunya jika menetap ke Malaysia, Taufik berkata, buat masa kini biarlah ibunya selesa berada di Singapura kerana berdekatan dengan saudara-maranya di sana.
“Saya memang mempunyai niat untuk menetap di Malaysia disebabkan saya rasa peluang di sini lebih luas. Malahan, saya berharap dapat mengaut peminat di Malaysia dalam skala yang besar.
“Bagaimanapun, dalam setiap apa yang saya lakukan, saya perlu berfikir mengenai keluarga saya dulu. Saya bertanggungjawab menjaga ibu disebabkan adik-beradik lain sudah berkahwin.
“Saya tidak mahu jika berpindah ke Malaysia nanti, ibu saya terpaksa berhadapan dengan persekitaran baharu. Pasti dia akan bosan apabila saya sibuk bekerja. Jika di sana (Singapura), dia masih ada sanak saudara lain termasuklah abang saya yang menetap di sana,” katanya.
Menyambung perbualan tentang soal populariti, Taufik memberitahu, populariti yang dinikmatinya kini merupakan rezeki yang ditetapkan Tuhan.
“Saya seorang yang sederhana. Saya tidak pernah berasakan diri begitu popular dan dikenali peminat meskipun sudah 10 tahun aktif menyanyi.
“Saya sentiasa berpegang kepada nasihat ibu-bapa saya supaya sentiasa ingat Tuhan dan bersyukur dengan nikmat yang diperoleh. Jangan cepat mendabik dada,” katanya yang semakin intim di mata peminat komedi tempatan menerusi Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014).
MLM 2014 buka ruang
Tersasar daripada bidang yang diceburi, kemunculannya sebagai salah seorang juri tetap dalam MLM2014 membuahkan tumpuan yang bukan sedikit terhadap Taufik. Secara tidak langsung, perhatian yang diterima membibitkan rasa teruja bercampur debar di hati lelaki bertubuh sasa itu.
Hal ini kerana, Taufik langsung tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang pelawak mahupun pelakon sketsa. Jadi, atas alasan apa untuk penyanyi sepertinya ditugaskan memberi komen terhadap pelawak yang rata-ratanya mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan peminat di Malaysia.
“Pada mulanya, saya sangat gemuruh dan berasa tidak layak untuk memberi komen terhadap peserta MLM2014. Saya akui, tidak mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut. Tambah menakutkan ialah jika penonton Malaysia tidak mengenali saya.
KREDIBILTI Taufik sebagai juri tetap MLM2014 mulanya dipersoalkan, namun menghampiri minggu terakhir pertandingan tersebut, komen bernas daripadanya semakin ditunggu-tunggu.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan Astro berjaya meyakinkan saya dengan alasan, mereka sengaja mahu individu daripada lapangan seni berbeza untuk memberi komen jujur seperti penonton biasa.
“Saya menerima cabaran tersebut dan Alhamdulillah, ada ruang untuk saya dikenali peminat di Malaysia,” ujarnya jujur.
Jelas Taufik lagi, sepanjang bertindak sebagai juri MLM2014, dia turut menerima pelbagai reaksi yang mengkritik kredibilitinya sebagai pengkritik tetap. Sedar ruang, sedar diri dan sedar tanggungjawab yang diambil, dia tidak pernah memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang mampu menjatuhkan namanya.
“Ya, ada pihak yang mempersoalkan kelayakan saya sebagai pengkritik MLM 2014. Bagaimanapun, selepas berminggu-minggu melontarkan setiap komen yang seikhlas mungkin, saya mula mendapat komen positif daripada peminat.
“Penerimaan tersebut sekali gus membuka ruang untuk saya terus bergiat aktif di Malaysia walaupun tidak lagi menjadi juri MLM 2014,” katanya yang kini aktif menulis lirik termasuk single terbaharu penyanyi dari Indonesia, Afghan yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Fazura hanya teman biasa
Sejak bergelar juri MLM 2014 juga, keintiman Taufik bersama salah seorang juri program tersebut, Nur Fazura sempat memercikkan butiran sensasi. Kemesraan mereka mudah disalah erti.
Menganggap Fazura hanyalah teman biasa, Taufik mengakui karakter Fazura yang mudah mesra membuatkan dirinya selesa bersahabat dengan pelakon yang pernah membintangi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu.
“Saya dan Fazura hanyalah teman biasa sahaja, tidak lebih daripada itu. Bagi saya, dia merupakan seorang yang sangat profesional dalam menjalankan tugas dan kebanyakan masa kami berbicara ialah mengenai hal kerja sahaja. Hubungan kami tidak lebih daripada sebuah persahabatan,” ujarnya serius.
Terus diusik mengenai suri yang bertakhta di dalam hatinya, Taufik hanya mampu melontarkan senyuman paling manis. Mengakui sedang dalam fasa mengenali seseorang, Taufik bagaimanapun enggan mendedahkan identiti sebenar kekasihnya itu.
“Saya mengakui kini sedang mengenai seseorang, bagaimanapun biarlah perkara itu menjadi rahsia. Saya fikir, tidak perlulah perkara itu dikongsi secara terbuka dengan peminat. Cukuplah peminat hanya mengetahui perkembangan karier nyanyian saya dan mereka terus setia memberikan sokongan. Itu sudah memadai,” tutupnya malu-malu.