Misi BC Music pertaruh muka baharu



SYARIKAT produksi, Billion Charisma Music (BC Music) mungkin masih hijau dalam industri hiburan namun usaha mereka memperjuangkan bakat-bakat baharu kepada umum, wajar dipuji.

Menurut Abdul Rahman Aziz, selaku pengurus kepada pelapis baharu yang dipilih, pihaknya cuba memvariasikan industri muzik dengan pelbagai medium untuk diperkenalkan ke arus komersial.

Baginya, usaha itu dilaksanakan kerana ramai golongan muda yang punyai bakat dalam nyanyian dan muzik namun terpinggir dek lambakan penyanyi sedia ada.




“Kebanyakan yang saya pilih berdasarkan bakat mereka daripada pelbagai medium seperti YouTube, program realiti dan pilihan komposer.

“Bukan itu sahaja, pemilihan juga berdasarkan populariti mereka di media sosial dan punyai ramai pengikut walaupun tidak sepopular artis-artis lain,” katanya.

Projek baharu BC Music adalah untuk memperkenalkan serta mempromosi single baharu artis di bawah label tersebut seperti Syed, Aimi, Efan, Asyraf dan Harick.

Menurutnya, kebanyakan artis di bawah jagaannya merupakan bakat muda yang punyai masa depan cerah dalam bidang muzik.

"Sebenarnya kelima anak muda ini merupakan batch pertama yang ingin BC Music perkenalkan kepada umum.

"Kesemua mereka juga sudah punyai single lagu sendiri namun ada yang masih belum dilancarkan lagi kerana menunggu masa yang sesuai," katanya.



Previous Post Next Post