SELEPAS berehat selama empat bulan, Erin kini bersedia untuk kembali berlakon.
KETIKA jarum pada jam besar di menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat menunjukkan pukul 1 petang, penulis disapa oleh aktres jelita, Erin Malek yang hadir untuk sesi fotografi bagi ruangan muka depan Sensasi Bintang.
Biarpun cuaca panas terik menyelubungi bandar raya Kuala Lumpur pada petang itu, namun ia bukan suatu bebanan buat dirinya tatkala bidikan lensa jurufoto Djohan Shahrin Shah merakam aksi yang diberikan.
Dia memberikan sepenuh fokus terhadap setiap gambar yang dirakam sehingga terserlah emosi yang lahir daripada hati pemilik nama sebenar Nur Arina Abdul Malek itu.
Pada pertemuan yang diatur sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini, Erin Malek yang mesra disapa sebagai Erin diajak bercerita tentang kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka kacak bernama Farriz Fauzy, 31, yang dikenali menerusi laman sosial Instagram.
Siapa sangka, perkenalan yang tidak disengajakan itu mula bercambah menjadi rakan karib dan dek kerana keserasian serta keterbukaan berkongsi rasa hati, pasangan itu mula menyulam cinta dan berikrar untuk sehidup semati pada 10 Oktober tahun lalu.
Erin yang baru menjengah usia 21 tahun berkata, dia menterjemahkan kehidupannya kini sebagai cukup bahagia dan seronok selepas nekad menamatkan zaman bujang pada usia muda.
“Tidak dinafikan berkahwin pada usia muda memang menyeronokkan kerana ia antara cabaran baharu yang perlu dipikul secara bersama.
“Biarpun pada mulanya saya sedikit kekok kerana sudah terbiasa hidup seorang diri, namun setiap hari berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Walaupun kadangkala sukar memberikan yang terbaik untuknya tetapi Farriz selalu berpesan supaya saya tidak berputus asa dalam menyesuaikan diri selepas bergelar seorang isteri.
“Alhamdulillah, selepas dua minggu berkahwin, saya sudah pandai membahagikan masa. Jangan terkejut, saya juga mempunyai jadual kerja harian di rumah,” ujar Erin yang akan memastikan keadaan rumahnya sentiasa bersih sebelum suaminya pulang dari tempat kerja.
Tambah Erin, dia berasa cukup bertuah apabila dipertemukan dengan Farriz kerana suaminya itu berkongsi minat yang sama dengannya.
“Kami banyak bertolak ansur antara satu sama lain. Andai saya tidak suka sesuatu perkara yang dibuat oleh Farriz, saya akan cuba untuk menyukainya, begitu juga sebaliknya.
“Antara rutin yang kami suka lakukan adalah menonton wayang. Selain itu, pada setiap hujung minggu, kami sentiasa mencari masa terluang untuk keluar makan malam bersama keluarga sebelah saya dan mertua,” kongsi Erin yang pernah terpalit kontroversi dengan suaminya sebulan sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.
Kontroversi
Terpalit kontroversi demi kontroversi, pelakon popular drama Misiku Kuza itu mengejutkan industri seni tanah air apabila Erin didakwa beraksi terlebih manja bersama Farriz sebelum berkahwin hingga mengundang rasa kurang selesa orang yang ada di sekelilingnya.
Selang beberapa hari kemudian, Erin sekali lagi mengejutkan khalayak apabila dituduh bersosial di sebuah kelab hiburan di ibu negara.
Lebih mengejutkan, selepas mereka mendirikan ‘masjid’, timbul pula cerita kurang enak apabila pasangan itu dilaporkan berkunjung ke kelab malam sejurus selepas tamat majlis resepsi perkahwinan mereka.
Masa berlalu, Erin yang kini sudah tiga bulan bergelar isteri mengakui bersyukur kerana kehadiran Farriz banyak mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga bulan mendirikan rumah tangga, saya berasa begitu tenang dan gembira di samping suami tercinta. Perkahwinan ini juga dapat menutup mulut orang daripada terus menabur fitnah terhadap saya.
“Lagipun, selepas berkahwin saya tidak lagi terpalit kontroversi. Jika ada sekalipun, saya tidak layan kerana lebih selesa mendiamkan diri. Ini kerana, saya bimbang jika saya membalas tuduhan tersebut ia akan membawa kemudaratan,” jelas Erin yang mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hidupnya bersama suami.
Hamil
Setiap individu yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan sebuah keluarga bahagia yang diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Impian sama juga menjadi keinginan pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu.
Menurut Erin, dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila rezeki untuk menimang cahaya mata belum memihak kepada mereka buat masa ini.
“Sejujurnya kami tidak pernah merancang untuk memiliki zuriat. Bagi saya, setiap individu yang berkahwin pasti menantikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hidup.
“Apa yang boleh dikatakan, saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab bergelar seorang ibu pada usia muda. Bagaimanapun, saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa,” ujar Erin.
Lakonan
Sementara itu, diajak bercerita tentang kerjaya lakonannya, kata Erin, dia kini bersedia untuk kembali aktif berlakon selepas empat bulan tidak terlibat dalam sebarang sesi penggambaran drama mahupun filem.
“Sebenarnya banyak tawaran yang datang tetapi saya terpaksa tolak kerana memikirkan tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk suami.
“Bukan apa, saya hanya risau kalau tiada masa bersama suami nanti. Apa tidaknya, dia bekerja pada waktu pejabat, manakala saya pula bekerja tidak mengikut masa dan perlu berada di set penggambaran hingga babak selesai. Bagaimanapun, selepas empat bulan berehat, saya sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri lakonan,” jelas Erin.