FAIZAL kini lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir.
AGAK lama tidak mendengar perkhabaran daripada penyanyi Faizal Tahir. Jika sebelum ini, dirinya sering sahaja dikaitkan dengan cerita-cerita kurang enak didengari, namun hari ini perkara sedemikian tiada lagi terpalit.
Barangkali persekitaran dunia seni penyanyi berusia 37 tahun itu juga sudah tidak sama lagi. Jika dahulu, peminat lebih banyak melihat aksi ligatnya di atas pentas, hari ini dia lebih aktif dalam penghasilan kerja-kerja di belakang tabir.
Menghasilkan lirik dan menggubah lagu, itu antara yang banyak dilakukan pelantun lagu Mahakarya Cinta itu sejak belakangan ini.
Bagaimanapun, kata Faizal, identiti dirinya masih sama, mahu dikenali sebagai penyanyi. Cuma bezanya, dia kini melangkah ke satu fasa baharu.
“Sebenarnya, saya sudah lama tidak keluar dalam mana-mana media. Jadi, cerita-cerita mengenai saya juga agak kurang diketahui umum. Sungguhpun begitu, saya sebenarnya masih banyak terlibat dengan kerja-kerja proses penghasilan lagu.
“Ia bermula apabila saya terlibat dengan program Akademi Fantasia untuk menghasilkan lagu bertajuk Mimpi buat pelajarnya iaitu Aishah. Selepas itu, kerja-kerja menggubah lagu berterusan dan berkembang sehingga sekarang,” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu pertemuan sesi fotografi baru-baru ini.
Cerita Faizal, karya-karya yang dihasilkan itu secara tidak langsung mampu menjadi salah satu bentuk sumbangan yang diberikan kepada industri muzik tanah air.
“Saya sudah memiliki tiga album. Sehingga sekarang, masih rasa seperti ada yang kurang. Ada perkara yang saya belum puas untuk berikan kepada industri. Jadi, saya ambil peluang ini untuk berikan sesuatu kepada industri muzik kita sendiri,” kongsi penyanyi yang terkenal dengan genre muzik rock itu.
Sumbangan dalam penghasilan kerja-kerja belakang tabir itu juga membawa Faizal untuk membuka ruang baharu kepada bakat-bakat muda yang mahu turut serta memperjuangkan seni muzik.
“Jika semua saya mahu lakukan seorang, mungkin tidak termampu. Itu yang kemudian munculnya penyanyi generasi pelapis seperti Hanie Soraya, Elizabeth Tan dan Aziz Harun yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya.
“Ini kerana saya mahu mengambil peranan sebagai individu yang memberi peluang kepada orang lain untuk serlahkan bakat yang ada pada mereka,” katanya yang menaungi tiga artis tersebut di bawah syarikat rakamannya, Faithful Music.
Kata Faizal, setiap orang anak didiknya itu dilihat mempunyai kekuatan masing-masing hingga mampu memiliki kelompok pendengarnya tersendiri.
“Apabila mencari orang untuk menyanyi, dia bukan sahaja kena bagus dari segi suara, malah saya tetap melihat daripada aspek karakter dan personaliti individu terbabit.
“Seperti ketiga-tiga mereka, masing-masing mempunyai kelompok audiens tersendiri,” ujar komposer lagu hit Knock Knock nyanyian Elizabeth Tan itu.
Resipi Faizal mudah, dia sentiasa mahukan yang baharu.
Katanya, ia kerana muzik juga perlu bergerak seiring dengan peredaran masa.
Atas sebab itu juga, jika melihat kepada lagu-lagu yang dihasilkan Faizal, rentaknya dan ‘rasa’ yang diberikan cukup berbeza. Muziknya lebih ringan dan cukup catchy.
“Muzik yang diberikan kena sentiasa segar dan mempunyai gaya tersendiri. Sebenarnya, masih lagi dalam genre rock.
“Cuma rock ada pelbagai cabang, lagu yang dihasilkan lebih kepada rock moden. Apa pun, saya bersyukur apabila ia diterima dan mendapat respons positif daripada pendengar,” ujar pelantun lagu Assalamualaikum itu.