Ezad sesal 6 tahun hisap dadah


Ezad dan isteri, Nor Azeana.

BUKAN sekali tetapi sudah banyak kali dia menolak keinginan untuk berjinak-jinak dengan najis dadah. Tatkala gejolak nafsu menguasai diri, bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim akhirnya tewas kepada musuh utama negara itu.

Tiada pedoman dan sokongan, pemilik vokal lagu berbisa, Jesnita itu hanyut dengan najis dadah selama enam tahun hingga ditangkap polis berhampiran Kompleks Sela­yang Mall kira-kira pukul 1.30 petang sekitar pertengahan November tahun lalu.

Ketika ditangkap, di tangan kiri penyanyi berusia 35 tahun itu tergenggam satu paket syabu.




“Sejak meninggalkan ­Exists pada tahun 2007, saya hilang arah tujuan hidup. Bukan tidak pernah mencuba untuk bangkit sebagai pe­nyanyi, namun semuanya tidak menjadi. Kecewa dengan hidup ketika itu, saya mula hilang pedoman dan terjebak de­ngan benda yang tidak baik.

“Saya bergelumang de­ngan najis dadah ekoran pengaruh kawan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Sensasi Bintang.

Menurut Ezad, bukan mudah baginya untuk meluahkan keburukan diri kepada seseorang yang tidak dikenali.

Setiap kali bercerita, dia menundukkan wajahnya.

Butir ucapannya juga perlahan takut-takut didengar pihak lain, namun dalam getaran suaranya ada sedikit penegasan.

Dia harus kuat untuk memperbaiki diri dan tidak perlu malu untuk berkongsi pengalaman pahit bagi menghalang orang lain daripada turut terjebak dengan najis dadah.

“Mula-mula saya sekadar mencuba sebab pe­ngaruh kawan. Lama-kelamaan, ia jadi satu tabiat. Saya amat kesal dengan perkara itu,” kata pemilik nama sebenar Mohd. Rohaizad Mohamad Lazim itu.

Selama menemu bual Ezad, isterinya, Nor Azeana Ramli, 36, setia di sebelahnya. Ezad turut mengakui, selama hampir dua tahun berkahwin, isterinya tidak mengetahui dia mengambil dadah.

Apabila ditangkap pada bulan November tahun lalu, rumah tangga yang dibina Ezad dan Azeana ibarat retak menanti belah.

“Selama kami berkahwin, isteri tidak tahu saya menghisap dadah. Apabila mendapat tahu mengenai perkara itu, dia (Azeana) berasa ditipu dan meminta untuk berpisah.

“Apabila terjadinya perkara ini (isteri minta putus), saya mula tidak keruan memikirkan anak kesayangan, Puteri Rania Keisha yang berusia setahun. Saya tidak sanggup berpisah dengannya. Selepas itu, baru saya nekad untuk berhenti daripada mengambil dadah. Alhamdulillah, selepas dipujuk, isteri lembut hati menerima saya kembali,” jelasnya.

Ditangkap polis dan juga dicerca masyarakat, antara sebab lain Ezad tekad untuk berhenti mengambil dadah.

Bagi Ezad, ada baik dan buruk dirinya ditangkap. Selepas dihina masyarakat dan rumah tangganya hampir musnah, Ezad mula tersedar dan bangkit untuk memperbaiki diri.

“Sejujurnya, memang saya sedih dengan kata-kata orang tetapi saya tidak marah kerana apa yang mereka katakan adalah betul.

“Saya jadikan semua perkara yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk berubah. Saya bersyukur sangat-sangat kerana keluarga dan peminat banyak memberi sokongan dan semangat,” kongsinya.

Senyap seketika mengenai dirinya, nama Ezad kembali menjadi perhatian apabila turut mengakui mengalami nasib serupa seperti Zama­ni Slam iaitu dipaksa menyanyi di dalam lokap.

Disebabkan itu, ramai yang menuduh dia se­ngaja meraih publisiti daripada kes Zamani.

“Media yang mencari saya untuk bertanya sama ada turut mengalami nasib serupa seperti Zamani. Saya hanya menjawab secara telus, tiada niat untuk meraih publisiti,” katanya.

Ezad memberitahu, kes dadahnya akan di­sebut semula di mahkamah pada 5 Februari ini.

Berkongsi lanjut mengenai dirinya, Ezad me­ngakui, single solo terbaharunya, Hati Mati berada di pasaran sejak sebulan lalu.

Lagu ciptaan deejay Fuzz dengan lirik oleh Adib Khalid itu, dianggap serasi dengan diri Ezad apabila ia menyamai kisah hidupnya.

“Lagu ini menceritakan tentang manusia yang tiada arah tujuan hidup. Lebih teruk, apabila dia melupakan Tuhan dan menyebabkan hatinya mati. Saya berasakan liriknya ada kena mengena dengan diri saya,” katanya lagi.



Previous Post Next Post