Tomok (kanan) bersama Datuk Rosyam Nor (tengah) dan anggota kumpulan Sixth Sense iaitu GG pada pelancaran lagu runut bunyi untuk filem 'Isyarat Cinta' iaitu 'Tak Harus Memiliki' di Restoran Rebung, Bangsar pada Isnin.
Penyanyi Tomok terpaksa menolak tawaran persembahan di luar Lembah Klang buat seketika bagi menemani isterinya Rahayu Abbas (Ayu), 32, yang dijangka bersalin anak kedua mereka dalam masa terdekat.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 31, berkata, pada keadaan ini dia perlu bersedia dan sentiasa berada dekat dengan isteri kerana khuatir isterinya akan bersalin awal daripada tarikh sepatutnya.
"Sata tidaklah berehat sepenuhnya tetapi saya banyak menolak tawaran di luar Kuala Lumpur kerana bimbang meninggalkan isteri dalam keadaan dia akan bersalin pada bila-bila masa.
"Persembahan di Kuala Lumpur saya masih terima cuma kini dalam keadaan bersedia menyambut anak kedua," katanya kepada mStar Online.
Tomok ditemui pada majlis sidang media pelancaran klip video lagu tema filem Isyarat Cinta iaitu Tak Harus Memiliki di Restoran Rebung di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Tomok memberitahu dia dan isterinya lebih berjimat dalam menyambut kehadiran bayi kedua mereka dan menggunakan kembali barangan anak pertama, Muhammad Rayyan Akid yang kini berusia tiga tahun.
Tomok bakal menimang anak kedua dalam waktu terdekat.
"Anak kedua juga Insya-Allah lelaki jadi untuk mengelakkan pembaziran kami hanya beli barangan yang penting sahaja dan mengguna kembali barang milik Rayyan," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai Tak Harus Memiliki, Tomok berkata, lagu runut bunyi (OST) memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesebuah filem.
Malah kata Tomok, menerusi lagu tema itu juga dapat membawa penonton ke pawagam kerana minat mereka terhadap sesebuah lagu itu.
"Saya sebelum ini ada dua kali merakamkan lagu OST untuk filem dan Alhamdulillah ia memberi impak kepada filem berkenaan.
"Ia promosi cukup baik untuk menarik minat penonton tambahan pula jika ia turut hadir dengan klip video," ujarnya.
Tak Harus Dimiliki adalah ciptaan sepenuhnya Fazz Alberto atau GG (Sixth Sense).
Dalam perkembangan sama, GG memberitahu, dia mencipta lagu berkenaan khas untuk filem Isyarat Cinta selepas penerbitnya, Datuk Rosyam Nor memberikan kepercayaan itu.
Jelas GG lagi, dia menonton terleboh dahulu filem berkenaan selain meneliti sinopsisnya sebelum hadir dengan lirik dan melodi.
"Dua tiga kali juga saya menonton filwm berkenaan untuk mendapatkan idea dan akhirnya tercetus juga ilham sehingga siapnya Tak Harus Memiliki," katanya.
Isyarat Cinta merupakan filem arahan Bade Hj Azmi yang akan menemui penonton di pawagam pada 19 Mac 2015.
Bagaimanapun pada 4 Mac 2015, tayangan amal perdana anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) akan diadakan di pawagam Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Tiket eksklusif menyaksikan tayangan amal perdana ini ialah dari RM100 yang antara lain bertujuan mengumpul dana membantu mangsa-mangsa banjir di negeri Pantai Timur.
Penonton yang turut serta dalam projek amal ini akan berpeluang menjadi orang pertama menonton filem ini selain dapat bersamah mesra dan menikmati makan malam bersama artis.
Isyarat Cinta menampilkan Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar yang mengisahkan percintaan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini bolehlah menghubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).