Pelakon Liyana Jasmay tidak akan menggunakan popularitinya sebagai selebriti untuk melariskan jualan barangan menerusi label miliknya iaitu Mermaid Luxe.
Sebaliknya kata Liyana, 26, dia dan kakaknya, Edriana Jasmay bermula dari bawah dalam memulakan perniagaan melalui laman sosial Instagram dan menyertai bazar bagi memperkenalkan produk mereka.
"Benar status selebriti itu mampu menarik pelanggan tetapi saya mahu mendapat kepercayaan pelanggan dengan bermula dari bawah.
"Alhamdulillah banyak yang saya belajar apabila menjual barangan di Instagram dan bazar kerana dari situ kita dapat melakukan kajian pasaran serta memperbaiki produk ditawarkan agar memenuhi kehendak pelanggan," katanya kepada Artis Meletop.
Liyana ditemui pada majlis pelancaran klip video lagu tema filem Isyarat Cinta iaitu Tak Harus Memiliki di Restoran Rebung di sini pada Isnin.
Selain Liyana, filem arahan Bade Azmi itu turut menampilkan Adi Putra dan Fizo Omar dan ia akan menemui penonton di pawagam pada 19 Mac depan.
Dalam pada itu, Liyana berkata, dia dan kakaknya memulakan perniagaan itu sejak Disember lalu dan setakat ini menjual beberapa jenis pakaian dan tudung.
Liyana Jasmay
Malah kata Liyana, mereka bercadang untuk membuka butik khas pada Ogos depan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan barangan di bawah jenama Mermaid Luxe.
"Setakat ini kami ingin tengok sambutan pelanggan dan Alhamdulillah penerimaan cukup baik.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan semakin stabil Ogos nanti baharulah kami buka butik," ujarnya.
Sementara itu, Liyana berkata, dia teruja apabila melihat generasi muda yang kini rata-rata bersemangat dalam menjalankan perniagaan biarpun secara kecil-kecilan.
Kata Liyana, melihat senario itu dia dan kakaknya bertambah teruja untuk sama-sama memajukan perniagaan mereka dan sering menyertai pelbagai bazar bagi sama-sama memberi sokongan terhadap peniaga lain.
"Seronok melihat ramai anak muda tampil dengan pelbgai produk menarik untuk dijual kepada pelanggan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik.
"Setiap kali saya menyertai mana-mana bazar sokongan dan kerjasama di antara peniaga cukup baik dan membuatkan suasana cukup meriah," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Liyana berkata, syarikat produksinya, Mermaids Studio bakal menerbitkan sebuah super telefilem untuk siaran Astro iaitu Angin Cinta selain sebuah filem berjudul Bella dan Jamie.