![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgDsYYmLbZQnQcotiFn_rW94GTpNCT_-IIb9ErgvGmOZrDGYOIUYmdFex4g1pDx2qbC-Y-hREolqOV2rBqb_XVsdWaICWXSRg9RL-_8ZgTmK2wVdsVXvMMhY9ap-i7CeP55-T1bXvARii-s/s1600/Jackie+Chan.jpg)
SEWAKTU beliau turun daripada perut pesawat pada pagi Rabu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), cuping telinganya jelas menangkap sapaan: “Selamat datang, Datuk.”
Sapaan itu datang daripada khalayak yang kebetulan bertembung dengannya.
Perasaan pelik berbaur kaget menerawang ke dalam kotak fikiran sambil langkahnya disusun laju ke ruang legar balai ketibaan bagi mendapatkan kenderaan sebelum ke tempat penginapan.
Sekali lagi, sapaan yang sama didengar berulang-ulang kali. Ketika itu daripada pegawai imigresen dan keselamatan yang bertugas di sana. Ligat kotak fikirannya berfikir, barulah beliau menyedari bahawa sapaan itu merupakan panggilan rasminya buat beliau apabila di Malaysia.
Datuk Jackie Chan tersenyum sendirian.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiyuXzkCcRS315toDezEXxTVmrjRpJqY7OItsqeNT3bi6IzvCqS0VqtSUtc_qA3kqsOnZdMGxvGglIj1cgPWLtwjZs06xTR5oqJm1x53BgWXilVNBSCOh2AME4TQMp8PWBz45cy-gOSp-Hw/s1600/jc+1.jpg)
DATUK JACKIE CHAN mengakui masih belum serasi dipanggil dengan gelaran Datuk.
Tanggal 1 Februari lalu menyaksikan anak seni tersohor kelahiran Hong Kong itu dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Gelaran itu menjadikan Jackie sebagai selebriti antarabangsa ketiga berstatus Datuk selepas Datuk Shah Rukh Khan dan Datuk Rossa dianugerahkan gelaran sama, masing-masing pada tahun 2008 dan 2013.
Tidak sampai sebulan menyandang gelaran tersebut, Jackie Chan atau nama sebenarnya, Chan Song Kang, 60, mengakui, masih belum dapat menyesuaikan diri dengan status tersebut.
Katanya, penganugerahan itu kedengaran agak pelik, namun, beliau perlu membiasakan diri dengan sapaan ‘Datuk’ apabila melunaskan sebarang urusan rasmi di Malaysia.
“Sewaktu tiba di KLIA, saya disapa dengan gelaran ‘Datuk’ oleh hampir setiap orang.
“Agak pelik ketika mula-mula disapa dengan gelaran tersebut. Namun, saya sedar bahawa gelaran itu turut menjadi panggilan rasmi apabila saya mengadakan sebarang urusan di sini,” katanya sambil tersenyum pada sidang akhbar filem Dragon Blade yang diadakan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dikendalikan oleh pengacara Serena C dan penyampai radio My FM, Royce, sidang akhbar tersebut turut dihadiri bintang-bintang utama Dragon Blade seperti John Cusack, Adrien Brody dan Choi Si-Won.
Pada majlis tersebut, Serena hampir tersasul menggelar Jackie sebagai ‘taiko’ kerana sudah terbiasa memanggilnya dengan panggilan itu.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgsCElZPDCZ-gqdIkJVTk16RLUbRaJClw1NTvUjaWd_vp0zhrYFkQD4pM95SDYzxgGY4WtJOIhBfEVGdJBzt5VWRGXpGPBUQCJ4IgsEpNyCBcHsxD-Om1kk1Kn2yGbQtSxx3c_Uxkfj_e3L/s1600/jc2.jpg)
Jackie dan John Cusack berbual tentang sesuatu pada sidang media filem Dragon Blade di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sempat mengusik Jackie dengan panggilan ‘Datuk Taiko’, Serena bertanya, adakah Jackie selesa apabila dipanggil dengan panggilan itu, beliau menjawab:
“Teman-teman rapat saya sering memanggil saya dengan panggilan ‘taiko’. Apabila sudah mendapat gelaran baharu, saya perlu menggunakannya.
“Dalam masa dua hingga tiga bulan ini, saya masih lagi menyesuaikan diri dengan panggilan Datuk. Jika ditanya sama ada saya memilih untuk disapa sebagai Datuk atau ‘taiko’, saya memilih Datuk. Ia kedengaran lebih mesra.”
Penggambaran di Gurun Gobi
Terbang ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem terbaharu terbitannya, Dragon Blade, Jackie memberitahu, filem epik yang diangkat daripada kejadian sebenar itu merupakan filem yang agak sukar untuk dirakamkan.
Jackie yang memegang watak sebagai Huo An berkata, seramai 700 orang kru bekerja keras untuk menghidupkan suasana tandus pemerintahan Dinasti Han di China sekitar tahun 206 hingga 220 sebelum Masihi.
“Kami terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan filem ini. Selain terpaksa berurusan dengan kru yang datang daripada pelbagai bangsa, suhu dan cuaca di lokasi penggambaran iaitu di Gurun Gobi, Mongolia juga tidak menentu.
“Kami juga terpaksa mengejar masa, lebih-lebih lagi apabila berhenti untuk makan tengah hari.
“Seramai 700 kru harus makan selama dua jam? Pastinya ia agak kecoh,” kongsi Jackie yang menghabiskan masa selama tujuh tahun untuk menyiapkan naskhah yang diarahkan oleh Daniel Lee itu.
Tambah beliau, walaupun terpaksa mengharungi cuaca panas dan kering, mutu lakonan yang diberikan barisan pelakon tidak pernah menghampakan.
“Para pelakon yang terlibat dalam filem ini memberikan komitmen yang baik.
“Walaupun terpaksa berkeras sedikit, terutamanya ketika mereka melakukan aksi pergaduhan, namun, ia tidak menjadikan seluruh penggambaran satu proses yang sukar,” ujarnya sambil meminta penonton sendiri menilai persembahan lakonannya dan para pelakon lain.
Menerusi filem berdurasi 125 minit itu, Jackie membawakan watak Huo An, seorang komander Skuad Penyelamat yang bertugas memelihara Laluan Sutera pada era Dinasti Han.
Konflik mula berlaku apabila Huo An memberi tempat perlindungan kepada seorang general berbangsa Rom bernama Lucius (John Cusack) yang melarikan diri daripada Tiberius (Adrien Brody) kerana berebut takhta daripada adik bongsunya, Publius.
Akibat rasa amarah, dendam dan pembelotan, 36 buah negara di Laluan Sutera bergabung, menentang Tiberius dan angkatan tenteranya.
Tidak hirau keluarga
Terdahulu, ketika berada di Singapura bagi mempromosikan filem yang sama, Jackie pernah menyatakan bahawa kerjayanya sebagai pembikin filem lebih penting daripada merayakan sambutan Tahun Baharu Cina.
Ujar beliau kepada portal Yahoo! Singapura: “Bagi saya, menerbitkan filem lebih penting daripada menjenguk keluarga.
“Kita akan buat perkara yang sama jika kita bertemu (dengan keluarga) hari ini, esok atau lusa. Dalam filem pula, apabila ia tamat, kita tidak akan berjumpa dengannya lagi.
“Sebab itu saya rasa menerbitkan filem lebih penting. Lambat-laun, saya akan bertemu dengan keluarga saya juga,” ujarnya.
Kenyataannya itu jelas menunjukkan kesan keretakan hubungan antara beliau dan anaknya, Jaycee Chan selepas Jaycee didapati bersalah dan di hukum penjara atas kesalahan menyimpan dadah jenis marijuana di apartmennya. Jaycee dikenakan hukuman penjara selama enam bulan, sejak awal tahun 2015.
Ditanya apakah yang bakal diperkatakan kepada Jaycee selepas dia dibebaskan kelak, Jackie berkata, dia tidak mahu melahirkan sebarang kata-kata kerana enggan terus menyakiti perasaan anaknya itu.
“Saya rasa, tempoh enam bulan dalam penjara sudah cukup untuk menyedarkan tentang betapa penting masa depan.
“Dia telah mendapat hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya. Saya sangat pasti, dia faham. Dia bukan kanak-kanak lagi,” tutup Jackie.