Farah Quinn mahu tembus Malaysia



Farah QUINN meletakkan sasaran mahu kembali menetap dan membuka perniagaan di Jakarta setelah sekian lama merantau di negara orang.

Melihat kepada cara berfesyen dan tata rias wanita yang berasal dari negara seberang, Indonesia ini, tidak langsung menggambarkan bahawa dia merupakan seorang cef selebriti yang mahir dalam bidang masakan Barat terutamanya pastri dan roti.

Tampil anggun berbusana kekelabuan, wanita yang turut menjadi salah seorang juri tetap program rancangan realiti lawak, Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) itu menyatakan hasratnya untuk mempunyai program masakan sendiri di Malaysia.

“Saya mengambil peluang untuk menjadi salah seorang juri MLM2014 bagi membuka ruang supaya orang ramai lebih mengenali siapa itu Farah Quinn. Sebelum ini, jika di Indonesia saya terkenal dengan program masakan A La Chef, saya mahu orang Malaysia juga mengenali saya seorang cef selebriti.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum menerima sebarang tawaran dan saya akan menerima, jika ada mana-mana pihak stesen televisyen mahu saya mengadakan rancangan masakan di stesen televisyen mereka,” ujarnya yang mempunyai ijazah dalam bidang kulinari dan masakan pastri daripada Institut Kulinari Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).


FARAH bersama anak lelakinya, Armand, hasil perkahwinan dengan bekas suami, Carson Quinn.

Ditebak mengenai kelestarian kariernya usai program MLM2014 melabuhkan tirai, Fara memberitahu, dia akan kembali ke tempat asalnya di Indonesia dan merancang membuka sebuah kafe pastri di Jakarta tidak lama lagi.

“Insya-Allah, jika tiada aralmelintang, saya mahu membuka sebuah restoran di Jakarta. Saya mahu terus menetap di sana setelah sekian lama merantau di negara orang,” katanya yang sebelum ini pernah menetap di Arizona, AS dan membuka sebuah kafe pastri yang dikenali sebagai Camel.




Selesa solo

Ditebak mengenai kehidupan peribadinya kini, Farah memberitahu bahawa perceraiannya bersama bekas suami, Carson Quinn pada tahun lalu itu sebagai isu peribadi yang tidak perlu dipersoalkan lagi.

Meskipun telah rasmi berpisah dengan lelaki Inggeris, hubungan yang terjalin antara mereka masih baik seperti dahulu.

“Memang tidak ramai yang mengetahui tentang masalah rumah tangga kami. Saya dan suami berbincang terlebih dulu mengenai perkara itu dan sebelum mengambil keputusan untuk menghebahkan kepada umum.

“Hampir tiga tahun juga kami mengambil keputusan untuk mengunci mulut. Dalam tempoh berkenaan, saya dan bekas suami membawa haluan masing-masing, tetapi tetap bertemu jika ada kelapangan.

“Ketika itu, kami bukan tidak mahu mendedahkan perkara sebenar kepada umum, tetapi saya tidak mahu masalah rumah tangga menjadi permainan media. Hanya selepas kami bersedia, barulah saya mengumumkannya,” ujar penama Farah Farhanah Quinn yang kini menginjak usia 34 tahun itu.

Bagi Farah, dia melalui fasa tersebut dengan seribu satu persoalan memandangkan ketika itu, dia sendiri tidak tahu bagaimana cara mahu memberitahu ibu bapanya tentang perceraian tersebut.

Setelah beberapa tahun memikirkan tentang hal tersebut, barulah Farah memberanikan diri meluahkan segala yang terbuku dalam hati kepada keluarga. Dia berjanji untuk tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap satu-satunya anak hasil perkahwinan mereka, Armand Fauzan Quinn, 7.

Keputusan Farah dan Carson pada tahun Mei 2014 akhirnya diterima baik oleh keluarga dengan harapan tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari.

Selepas setahun bercerai, Farah menyifatkan hubungannya dengan Carson kekal baik sama seperti ketika masih menjadi suami isteri. Jika ada kelapangan, dia akan membawa Armand ke AS memandangkan bekas suaminya menetap di sana.

Paling tidak, wanita itu mengakui masih menjalinkan hubungan yang baik dengan bekas keluarga mentuanya dan percaya hubungan mereka tidak harus diputuskan hanya kerana perceraian tersebut.

Malah, membesarkan anak sendirian juga tidak pernah dianggap oleh Farah sebagai satu bebanan. Jika terlibat dalam sebarang acara di luar negara, dia akan memastikan Armand dijaga oleh ibunya dalam tempoh berkenaan.

“Tidak sukar sebenarnya membesarkan Armand. Saya anggap dia anak yang matang dan memahami tentang masalah yang melanda rumah tangga kami. Dia pun tidak sukar untuk diuruskan walaupun masih kecil,” kata Farah yang terkenal sebagai cef selebriti sejak tahun 2008.




Previous Post Next Post