Nora Danish trauma babak romantis



AKUI Nora, dek trauma dengan kontroversi dalam filem Mencari Cinta suatu masa dahulu mendapat kecaman sesetengah pihak, dia kini lebih berhati-hati sewaktu melakonkan adegan romantis.

NAMA aktres jelita Nora Danish sering dihimpit dengan kontroversi yang bagai tiada penghujung. Saban waktu, ada sahaja cerita tidak enak mengekori perjalanan seni ibu tunggal berusia 33 tahun itu.

Status janda yang diusungnya juga seringkali dipandang serong sehinggakan dicemburui Diana Danielle sewaktu Nora bersama-sama dengan Farid Kamil (suami Diana) dalam satu promosi sebelum ini. Dahulu, adegan panasnya dengan Rusdi Ramli dalam filem Mencari Cinta juga pernah diselar banyak pihak.

Sedar tumpuan sebegitu, pemilik nama penuh, Nora Danish Mohd. Hanif itu semakin berhati-hati dengan karakter yang dijayakan termasuklah ketika membintangi filem seram berjudul Gudang Kubur bersama pelakon lelaki berpengalaman Faizal Hussein.

Akui Nora, dia semakin matang dan meletakkan batas-batas dalam lakonannya.

Filem seram arahan Eyra Rahman itu sudah menjengah ke pawagam seluruh negara bermula pada 12 Februari lalu.

Berkesempatan bertemu ibu kepada Putera Rayqal Ramli, 6, semasa majlis pratonton filem terbitan Mangkin Prestij Sdn. Bhd. tersebut, Kosmo! menyelak lebih terperinci mengenai prinsip pelakon yang popular menerusi drama berjudul Puteri itu.




Artis Meletop!: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak Nora dalam filem terbaharu lakonan anda, Gudang Kubur?

NORA: Saya memegang watak sebagai Zarra, isteri kepada Anuar lakonan Faizal Hussein. Zarra merupakan seorang wanita suka bekerja keras. Selepas berjaya membuka sebuah gudang kayu, Zarra sanggup bekerja sehingga lewat malam demi menyiapkan tugasan. Kedatangan Zarra dan Anuar ke gudang tersebut bagaikan tidak disenangi oleh penghuni asal di situ.

Bagaimana dengan pegangan watak anda dalam filem ini sementelah diberi peluang bergandingan bersama pelakon hebat seperti Faizal Hussein?

Ia bagaikan satu mimpi. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang berlakon di samping pelakon hebat seperti Faizal Hussein. Sejak kecil lagi saya berangan-angan nahu berlakon di samping Faizal kerana beliau merupakan salah seorang ‘hero Malaya’ yang sangat saya kagumi.

Apakah cabaran yang anda lalui ketika berlakon dalam filem berkenaan?

Satu perkara yang memberatkan fikiran saya ialah perasaan takut dan gelisah kerana berlakon di samping seorang bintang besar dalam dunia perfileman tempatan iaitu Faizal. Dia bukan calang-calang pelakon, sebab itu saya risau sama ada saya boleh buat yang terbaik atau tidak.

Memandangkan kali ini anda sekali lagi bergandingan dengan pelakon yang bergelar suami orang dan difahamkan dalam filem berkenaan juga mempunyai babak romantis seperti mencium dahi, bagaimana anda menangani perkara itu bagi mengelakkan masalah yang tidak diundang?

(Ketawa) Saya akui, sebelum ini saya sangat trauma dengan apa yang telah berlaku. Adegan romantis merupakan satu komitmen dalam sesetengah lakonan, sebagai pelakon, mahu tidak mahu, saya harus lakukan juga. Sebab itu, sekarang saya lebih matang dan berhati-hati dalam melakonkan babak romantis. Saya tiada masalah untuk tidak melakonkan adegan berpegangan tangan dan terlebih mesra dengan suami orang. Bagi saya, itu sekadar penghayatan watak. Awalnya, saya agak kekok untuk melakonkan adegan romantis dalam filem Gudang Kubur bersama Faizal yang merupakan suami orang, tetapi beliau yakinkan saya perkara itu tidak akan menimbulkan masalah. Contohnya dalam satu babak yang sepatutnya beliau mencium dahi saya, pengarah mengajak kami berbincang terlebih dulu sekiranya ada cara lain untuk menimbulkan momen romantis dalam filem itu. Akhirnya babak tersebut ditukar. Kami bersetuju menukar babak itu menjadikan saya yang mencium dahi Faizal kerana kami rasakan itu lebih elok berbanding beliau yang mencium dahi saya (ketawa).

Adakah anda ada mengalami apa-apa gangguan semasa dan selepas menjalani penggambaran filem itu?

Alhamdulillah tiada. Semuanya berjalan dengan baik.

Beralih kepada kehidupan anda sekarang. Ramai yang membuat spekulasi bahawa tahun 2015 akan membawa berita gembira buat Nora dan pasangan, Nedim Nazri. Komen anda?

Insya-Allah kalau ada jodoh, tidak ke mana. Jujur saya katakan buat masa sekarang, memang tiada apa-apa perancangan untuk ke arah perkahwinan. Semuanya akan berlaku jika diizinkan Tuhan. Kalau betul saya akan melangsungkan perkahwinan, saya akan beritahu kepada semua. Satu perkara yang mahu saya tekankan di sini, jika suatu hari nanti saya akan berkahwin dan perkara itu dihebahkan secara mengejut, itu bukanlah bermaksud saya berniat mahu menyorokkan berita daripada orang ramai dan pihak media.

Kalau betul saya buat begitu, maknanya saya tidak mahu terlalu banyak publisiti tentang perkahwinan kami. Saya sebenarnya mengimpikan sebuah perkahwinan yang serba ringkas. Meskipun perkahwinan itu merupakan satu berita baik dan perlu dihebahkan, tetapi saya lebih suka mengambil pendekatan yang sederhana. Tambahan pula, saya pernah pernah berkahwin sebelum ini, jadi tidak tidak perlulah pernikahan kedua kelak terlalu dihebahkan.

Bagaimana pula dengan perkembangan putera kesayangan anda ?

Dia (Rayqal) semakin membesar Usianya baru enam tahun, tetapi dia sudah matang. Contohnya, untuk ulang tahun kelahirannya tahun ini, dia langsung tidak bertanya atau meminta sebarang hadiah. Mungkin kerana di rumah sudah terlalu banyak barang permainan miliknya. Saya mahu Rayqal jadi seorang anak dan lelaki yang berjiwa cekal serta berguna apabila dewasa kelak.



Previous Post Next Post