Nostalgia Konsert Rentak Retro



KONSERT OTM RENTAK RETRO yang menampilkan persembahan hebat daripada Rahimah Rahim, Ramlah Ram, Zaiton Sameon, J. Mizan dan Dwen terasa singkat walaupun berdurasi satu jam 45 minit.

Hujung minggu lalu, pentas Istana Budaya kembali masuk ke zaman 1970-an dan 1980-an apabila Konsert Orkestra Tradisonal Malaysia (OTM) Rentak Retro berlangsung pada 30 hingga 31 Januari lalu.

Tidak perlu aksesori pentas dan pencahayaan yang begitu canggih, hanya meletakkan lima bintang popular, J. Mizan, Datuk M. Daud Kilau, Dwen, Rahimah Rahim dan Ramlah Ram, konsert itu cukup memukau penonton.




Paling tidak boleh dilupa sudah tentu penampilan khas penyanyi Zaiton Sameon yang tampil di atas pentas lengkap dengan busana berwarna merah. Menyanyikan lagu ber‘hantu’nya, Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar, persembahan Zaiton mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Pada usia 58 tahun, vokalnya masih memukau dan aura penghibur masih utuh pada dirinya.

Sebelum itu, penyanyi popular tahun 1970-an, J. Mizan terlebih dahulu tampil di atas pentas. Menyanyikan tiga buah lagu iaitu Tiada Lagi Jalan Kembali, Ku Membawa Diri, Sayang Tiada Lagi serta barisan lagu medley seperti Merak Kayangan dan Hari Ini Dan Semalam, beliau masih hebat.

Dilihat umpama persembahan ‘balas dendam’, penyanyi berusia 62 tahun itu teruja apabila diberi peluang membuat persembahan di Istana Budaya.




“Saya cuba yang terbaik tetapi saya akui, suara tidak seperti dahulu. Vokal saya kedengaran sedikit kasar, namun saya cukup berpuas hati dengan penerimaan peminat terhadap konsert ini,” ujarnya yang ditemui selepas konsert.

Persembahan Raja Gelek Malaysia, M. Daud Kilau juga cukup menghiburkan dan dikira mendapat tepukan paling gemuruh daripada peminat. Tampil beraksi dengan kostum berkilauan, beliau mendendangkan empat buah lagu iaitu Sireh Pinang, Cik Mek Molek, Perigi Biru dan Gila Judi.

Selain persembahan yang penuh dengan elemen komedi, M. Daud Kilau menarik perhatian penonton dengan menukar beberapa persalinan kostum di atas pentas.

Kemunculan penyanyi Dwen atau nama sebenarnya, Ridzwan Abu Hassan, 56, di atas pentas pada mulanya menimbulkan tanda tanya. Segelintir penonton muda tidak dapat mengenali siapakah gerangan penyanyi berkenaan. Bagaimanapun, sebaik beliau mendendangkan lagu popularnya, Suatu Waktu Dahulu dan Satu Penantian, penonton mula bersorak.

Ditambah pula dengan video lama yang turut dimainkan di pentas, ingatan terhadapnya pantas menerpa. Vokal penyanyi kelahiran Sarawak itu masih kekal hebat seperti dahulu, walaupun sudah 30 tahun meninggalkan bidang nyanyian.


ZAITON SAMEON masih memiliki aura seorang penghibur.

“Tidak sangka saya dapat menyanyi di pentas Istana Budaya. Sebelum ini, saya datang sebagai penonton ketika persembahan Yuna dan Salamiah Hassan. Dalam hati saya terdetik, bila agaknya peluang untuk saya akan tiba.

“Alhamdulillah, apabila ditawarkan persembahan di Istana Budaya bersama dengan rakan-rakan lama, saya terus bersetuju,” katanya yang kini bekerja sebagai guru taekwondo sepenuh masa.

Tidak merancang untuk membuat kemunculan semula, namun Dwen cukup teruja apabila merasai semula pengalaman bergelar penyanyi.

“Sudah lama saya tidak menyanyi, bertemu peminat dan ditemu bual wartawan. Saya seronok dengan pengalaman ini tetapi tidak merancang untuk kembali aktif menyanyi,” tuturnya yang pernah melahirkan empat buah album.

Pentas juga dihangatkan dengan persembahan penyanyi dari Singapura, Rahimah Rahim, 59, yang menyanyikan lagu popularnya, Gadis dan Bunga, seleksi lagu medley seperti Masih Ada Cinta, Jika Begini, Semanis Gula dan Doa.

Walaupun mengaku gementar kerana sudah lama tidak membuat persembahan di pentas yang berprestij, stamina dan kehebatan vokalnya masih seperti yang pernah dilihat dalam program televisyen dan nyanyian di radio. Perubahan Rahimah hanya pada imejnya yang kini sudah berhijab.

Rahimah juga bijak berinteraksi dengan penonton sambil bercerita mengenai kisah hidupnya kini yang bahagia dengan kehadiran tiga orang cucu.

Kemunculan lampu berbentuk hati berada di atas pentas menandakan giliran Ramlah Ram membuat persembahan. Situasi itu menghangatkan semula ingatan ramai terhadap persembahan Ramlah dengan baju yang mempunyai lampu berbentuk hati dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun 1988.

Kini, pada usia 50 tahun, beliau tampil anggun dengan imej berhijab. Menyanyikan barisan lagu popular seperti Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hati Mu, Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi, Selamat Jalan Romeo dan Apa Khabar Kau Di Sana, vokalnya masih berbisa. Justeru, tidak hairanlah beliau masih popular sehingga hari ini, meskipun selepas 30 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Konsert OTM Rentak Retro itu dipimpin oleh Mohd. Yazid Zakaria, manakala Salih Yaacob bertindak sebagai pengacara yang sememangnya tidak henti membuatkan penonton ketawa. Secara keseluruhannya, konsert berdurasi selama sejam 45 minit itu cukup menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton.



Previous Post Next Post