DIA MIRZA, aktres serba boleh. Selepas menjadi penerbit, dia bakal bergelar seorang pengarah filem.
Khabar terbaharu bertiup kencang di Bollywood apabila heboh diperkatakan yang aktres jelita, Dia Mirza bakal bergelar pengarah filem tahun ini.
Menurut sumber, filem yang diarahkan oleh aktres itu merupakan sebuah filem romantik komedi yang menggunakan kawasan urban di India sebagai latar penceritaan.
Sungguhpun banyak lagi yang belum diketahui tentang filem itu, menjadi seorang pengarah merupakan perkara yang baharu untuk Dia.
“Selepas membaca skrip filem tersebut, Dia tidak mampu menahan diri daripada menawarkan nama sendiri sebagai pengarah. Dia pernah menjadi penerbit filem tetapi menjadi pengarah satu cabaran baharu yang tidak mahu dilepaskan oleh Dia.
“Sekarang, Dia sibuk memperbaiki skrip dan bakal memulakan penggambaran sekitar Jun tahun ini,” kata sumber.
Filem yang masih dirahsiakan judulnya itu bakal menggunakan khidmat dua orang pelakon muda Bollywood dan diterbitkan oleh syarikat produksi Dia sendiri iaitu Born Free Entertainment.