Perjalanan Pahit Meerlyn Bergelar Penyanyi


Meerlyn hampir ditipu individu yang berjanji mahu mendapatkan kontrak rakaman album untuknya.

Penyanyi baharu Meerlyn memberitahu dia pernah beberapa kali hampir ditipu oleh beberapa pihak yang berjanji ingin menjadikannya seorang artis rakaman.

Meerlyn atau nama sebenarnya Siti Akmal Azlin Bakar, 26, berkata, pengalaman pahit itu juga membuatkan dia hampir berputus asa untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi biarpun itu adalah minatnya sejak kecil.




"Siapa yang tidak seronok apabila ada pihak yang suka dengan bakat kita dan menawarkan diri untuk membantu menjadikan saya artis rakaman tetapi akhirnya hampa apabila mereka lesap begitu sahaja.

"Biarpun hampir berputus asa kerana beberapa kali diberikan janji kosong saya tetap membulatkan hati dan nekad akan meneruskan impian saya untuk bergelar penyanyi," katanya kepada mStar Online.



Meerlyn muncul dengan single pertama bersama Erry Putra berjudul 'Whatsapp'.

Meerlyn baharu sahaja melancarkan single duetnya bersama pelakon dan penyanyi Erry Putra berjudul Whatsaap dan kini sedang dalam rangka promosi lagu berkenaan.

Tambah Meerlyn, dia teruja apabila mendapat tawaran daripada Erry yang mahu dia berkolaborasi dalam lagu tersebut dan menganggap kerjasama itu adalah permulaan baik buat kariernya.

Dalam pada itu, Meerlyn berkata, dia minat dalam bidang nyanyian sejak berusia lima tahun dan sejak itu dia tidak pernah berhenti menyanyi biarpun tidak mendapat sokongan bapanya.

Jelas Meerlyn, dia sering menyertai pertandingan nyanyian tanpa pengetahuan bapanya dan hanya menunjukkan trofi kemenangannya sekiranya menjuarai sesuatu acara.

"Dulu sekiranya ada pertandingan pasti ibu saya menjadi orang paling sibuk menyiapkan pakaian dan keperluan lain untuk saya tanpa diketahui bapa.


Meerlyn optimis dengan perjalanan karier seninya.

"Dia bukan tidak bagi menyanyi tetapi mahu saya menumpukan perhatian kepada pelajaran namun kini dia dan ahli keluarga lain menyokong hasrat saya untuk bergelar penyanyi," ujarnya.

Sementara itu, Meerlyn berkata, biarpun sedar dengan persaingan penyanyi lain dalam industri namun dia optimis dan percaya setiap orang mempunyai rezeki masing-masing.

Jelasnya lagi, dia juga bertuah dapat bernaung dibawah Erry yang disifatkannya banyak memberi nasihat berguna dalam mengharungi cabaran sebagai seorang artis.

"Erry banyak memberi nasihat dan mengajar tentang selok-belok dunia seni agar saya dapat membiasakan diri. Alhamdulillah setakat ini semuanya dalam keadaan baik dan yakin pasti ada rezeki saya nanti," katanya.



Previous Post Next Post