BERGELAR ibu tunggal dalam membesarkan dua anak lelaki seorang diri tanpa bantuan insan bergelar suami bukanlah sesuatu yang enteng untuk dilalui.
Namun, demi melihat kegembiraan di wajah putera kesayangan, Airit Rayyan Rizqin, 6 dan Airit Qaqa Arjuna, 4, aktres cantik ini sedia mengharungi apa jua rintangan dalam membesarkan zuriat ini.
Cabaran yang dilalui bukan sesuatu yang mudah buat golongan wanita, apatah lagi terikat dengan jadual yang padat sebagai selebriti, namun Rita Rudaini tidak pernah meletakkan urusan anak-anak di belakang.
Malah, menurut bekas isteri pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan ini, setiap tahun, dia akan merancang membawa anak-anaknya bercuti untuk menghiburkan hati mereka.
"Setiap tahun, kami akan bercuti di luar negara ketika musim cuti persekolahan. Selalunya, saya akan tanya anak-anak di mana lokasi pilihan mereka.
"Tahun ini, mereka memberitahu, teringin nak main salji. Jadi, saya kena kerja lebih kuat lagi untuk membawa mereka ke sana," katanya.
Baharu sahaja mendapatkan kemenangan di mahkamah apabila bekas suaminya perlu membayar RM3,000 sebulan untuk nafkah anak anaknya, namun Rita tidak terkecuali menjadi mangsa kritikan di media sosial.
Ini kerana, Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 39, bakal memfailkan permohonan untuk perubahan nafkah anak dalam masa terdekat sejajar dengan keperluan termasuk perbelanjaan tahunan dan pendidikan serta percutian sehingga menimbulkan reaksi negatif di kalangan pengikut media sosial.
"Perbelanjaan percutian itu bermaksud, kalau saya bawa anak-anak keluar pergi pusat membeli-belah atau mana-mana lokasi di dalam negara, itu sudah dikira percutian. Tidak semestinya luar negara seperti Paris, London dan New York.
"Takkan saya nak kurung anak dalam rumah macam anak ayam. Lagipun, saya bawa anak-anak ke luar negara sekalipun, pakai duit sendiri. Begitu juga dengan perbelanjaan pendidikan, untuk proses pendaftaran persekolahan sahaja mencecah hampir RM3,000," katanya.
Rudaini Beaute dapat sambutan
Baharu sahaja memperkenalkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikan, Rudaini Beaute pada penghujung tahun lalu, percaturan aktres ini dalam bidang perniagaan membuahkan hasil.
Kurang tiga bulan di pasaran, Rita Rudaini, mampu menghela nafas lega apabila produknya kini semakin mendapat sambutan hebat di kalangan pengguna termasuk peminat.
"Alhamdulillah, stokis sudah ada di seluruh Malaysia dan Brunei dan sudah ada pengedar. Agen di bawah setiap stokis pula sudah melebihi 50 untuk setiap stokis.
"Saya tidak sangka penerimaan ini sangat menggalakkan dan saya telah membuat perancangan menggembangkannya secara meluas lagi.
"Tahun ini, banyak perancangan untuk produk termasuk saya akan 'pusing' berjumpa stokis saya di seluruh Malaysia untuk 'hitea' bersama pengguna dan pengedar produk,' katanya yang membuka gerai di Karnival Karangkraf baru-baru ini.
Tambah Rita, setakat ini, tiga produk diperkenalkan kepada pengguna termasuk Luv My Coffee, Rudaini Beaute Skincare dan Angel Mask.
Dalam perkembangan kerjaya pula, Rita memberitahu bahawa kerja-kerja lakonan masih berjalan seperti biasa walaupun terikat dengan kekangan masa.