Sharifah Sakinah rancang majlis kahwin tanpa protokol



TINGGAL kurang dua bulan lagi, Sharifah Sakinah bakal bergelar raja sehari apabila disatukan dengan lelaki pilihan hatinya, Aliff Adha, seorang juruterbang. Majlis pernikahan pasangan ini akan diadakan di Hotel Shangrila, Putrajaya pada 28 Mac depan.

Ia diikuti dengan majlis resepsi mereka pada 4 April di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF). Majlis berinai bertemakan konsep Bali terlebih dulu akan diadakan seminggu sebelum majlis nikah iaitu pada tanggal 21 Mac di Sungai Long, Kajang, Selangor.

Sakinah yang juga pelakon, pengacara serta pengamal aktiviti kecergasan menerusi Fitness Sakinah memberitahu persiapan kahwin berjalan lancar seadanya. Cuma katanya majlis kahwin beliau nanti tidak akan jadi seperti perkahwinan tipikal yang selalu dihadirinya sendiri.




"Majlis kahwin saya nanti tak ada protokol atau golongan VIP sekalipun. Tiada artis ternama yang akan membuat persembahan sebaliknya tetamu yang hadir termasuk rakan artis yang nak menyumbangkan suara mereka dipersilakan menghiburkan bakal pengantin serta tetamu lain.

"Saya nak konsep kahwin nanti untuk bergembira dan tiada tekanan. Saya selalu tengok bagaimana pengantin kena makan di meja VIP dan terpaksa control itu serta ini. Hakikatnya pengantin perlu menikmati hari bahagiannya tanpa terikat dengan apa-apa," katanya yang sempat ke Bali bersama teman artis seperti Elfira Loy, Kaka Azraff, Sherry Alhadad, Jihan Muse, Siti Saleha dan Marsha meraikan mereka sebagai bakal pengapit nanti.

Ditanya apa yang mula dirasainya kini sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, beliau sudah mula akan merindui masa susah dan senang bersama teman akrabnya, Marsha.

"Saya semestinya akan merindui saat suka dan duka bersama Marsha. Lepas kahwin nanti saya sudah tak boleh lepak lagi dengannya di rumah sampai pagi buta. Selainnya, saya akan melalui hal yang sama seperti sebelum berkahwin. Pastinya juga status baru saya nanti akan membuka dimensi serta tanggung jawab baru," katanya.

Ditanya mengenai Aliff, Sakinah menyifatkan jejaka yang berjaya menawan hatinya itu sebagai seorang yang cukup ringkas.

"Dia tak banyak hal, jenis tak kecoh. Pendek kata dia selamba. Malahan tak ambil tahu langsung fasal industri seni," katanya.

Sakinah dan Aliff bertunang 25 Oktober tahun lalu di kediaman keluarganya di Melawati.



Previous Post Next Post