Manifestasi cinta Tasha Manshahar, RJ



KIRA-KIRA tiga tahun lalu, nama Tasha Manshahar menjengah masuk dalam industri muzik tanah air. Ketika itu, dia boleh dikategorikan sebagai artis kelahiran YouTube. Bakat nyanyian yang dimiliki penyanyi berusia 23 tahun itu mendapat perhatian syarikat rakaman FMC Musics yang kemudian mengambilnya untuk menjadi artis rakaman.

Sewaktu itu, perjalanannya sebagai penyanyi lebih dikenali dengan gandingannya bersama rakan baiknya sendiri, Syed Shamim yang kini masih sama-sama meneruskan impian masing-masing.

Mereka bergerak secara duo dengan mempertaruhkan single hit berjudul Be Mine yang merekodkan lebih dua juta tontonan di YouTube.


TASHA dan RJ diperkenalkan oleh DJ Fuzz untuk bergandingan menerusi lagu Terima Kasih Cinta.

Di mana ada nama Tasha, di situ juga nama Syed Shamim turut serta.

Tahun ini, Tasha memberi sedikit kelainan buat peminatnya. Memilih bergandingan dengan rapper, RJ menerusi lagu Terima Kasih Cinta, kerjasama itu menjadi satu naskhah pembuka buatnya untuk terus pergi lebih jauh.

Apa yang pasti, gandingan mereka berdua dilihat cukup serasi menerusi lagu ciptaan DJ Fuzz itu. Tasha dan RJ yang berkesempatan menemui Sensasi Bintang baru-baru ini berkongsi cerita mengenai single terbaru mereka itu.

Sensasi Bintang: Bagaimanakah Tasha dan RJ boleh berkolaborasi dalam lagu berjudul Terima Kasih Cinta?


TASHA: Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan RJ. Bagaimanapun, sebelum ini saya pernah berjumpa dengan RJ di satu majlis.

Cuma kali ini, saya berpeluang sendiri untuk bergandingan dengannya untuk lagu Terima Kasih Cinta.

RJ: Sebenarnya, DJ Fuzz yang memperkenalkan saya kepada Tasha. Dia minta untuk menggunakan khidmat saya sebagai rapper dalam lagu baharu ciptaannya itu.

TASHA dan RJ diperkenalkan oleh DJ Fuzz untuk bergandingan menerusi lagu Terima Kasih Cinta.

Boleh kongsikan serba sedikit mengenai penghasilan lagu single gandingan kalian berdua itu?

TASHA: Lagu ini sebenarnya diberikan oleh DJ Fuzz kepada saya. Dia kemudian mencadangkan kepada saya agar bergandingan dengan RJ. Lagu ini pun sebenarnya baharu sahaja dirakamkan pada Januari lepas.

RJ: Kurang daripada dua minggu selepas dapat lagu ini, kami kemudian terus merakamkannya. Bahagian lirik dihasilkan oleh DJ Fuzz, manakala saya menggubah bahagian rap.

Pada pandangan anda, apakah kelebihan yang ada pada lagu Terima Kasih Cinta?

TASHA: Naskhah itu daripada segi keseluruhannya boleh dikategorikan sebagai sebuah lagu ringan. Baik daripada aspek lirik dan melodi, kedua-duanya boleh dikatakan mudah difahami dan senang untuk didengar.

Senang kata, ia agak catchy. Jika kita melihat pada lirik, banyak pengulangan kata yang sama dan pendengar akan mudah untuk ingat dan ikut sama menyanyi.

RJ: Ya, betul. Saya bersetuju dengan Tasha bahawa lagu itu agak ringkas dari segi liriknya. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud ia merupakan sebuah naskhah malas. Cuma kita mahu tampilkan sebuah lagu yang tidak sukar untuk dinyanyikan dan diikuti oleh pendengar.

Apakah sebenarnya mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu berkenaan?

TASHA: Jika melihat kepada tajuk lagu iaitu Terima Kasih Cinta, mungkin orang akan ingat ia merupakan mengisahkan cinta kepada pasangan kekasih. Bagaimanapun, saya tidak melihat lagu itu sebagai hubungan cinta kekasih, tetapi ia lebih bersifat universal. Itu yang saya mahu ubah persepsi orang terhadap cinta. Kita patut beri cinta itu kepada mereka yang layak, bukan hanya kekasih.

RJ: Apabila sebut lagu cinta, sebenarnya ia juga boleh bertemakan ketuhanan, bukan kekasih semata-mata.


GANDINGAN Marsha dan TJ amat serasi ketika menyanyikan lagu lagu Terima Kasih Cinta.

Mungkinkah mesej definisi cinta itu yang cuba disampaikan menerusi klip video muzik lagu kalian?

TASHA: Kalau dapat lihat menerusi klip video yang dihasilkan, pada bahagian akhirnya, kami menyelitkan babak sambutan hari jadi bapa saya. Di situ, kalau kita amati sebenarnya mesej kecintaan terhadap ibu bapa dan keluarga yang cuba disampaikan.

Sewaktu penggambaran, ia dilakukan pada tarikh hari jadi bapa saya iaitu pada 1 Februari lalu.

RJ: Ketika itu ada babak Tasha bawa bapanya sambil menutup mata dan ada upacara meniup lilin.

Menerusi hasil kerjasama sulung kalian, apa pandangan Tasha terhadap RJ dan juga sebaliknya?

TASHA: RJ seorang yang sangat senang untuk bekerjasama. Walaupun luarannya nampak seperti seorang taiko, tetapi sebenarnya dia sangat sempoi, kelakar dan buat saya senang untuk bersamanya.

RJ: Saya rasa teruja dan bangga apabila dapat bekerjasama dengan Tasha. Bukan apa, saya melihat Tasha ini sebagai seorang penyanyi yang mempunyai sentuhan muzik tersendiri. Diberi peluang untuk menyuntik elemen hip hop dalam lagu Tasya itu juga satu perkara yang menggembirakan saya.

Selain penghasilan single terbaharu ini, apakah perkembangan lain yang boleh kalian kongsikan?

TASHA: Buat masa sekarang, saya masih lagi di tahun akhir pengajian. Kini tengah menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah rendah di ibu kota mengajar budak darjah empat subjek Bahasa Inggeris.

RJ: Sebelum ini, saya sibuk dengan lagu Peristiwa, kini Terima Kasih Cinta dan sekarang dalam proses untuk menjalankan satu projek baharu seterusnya yang dijangka selepas puasa nanti.

Tasha Manshahar Feat. RJ - Terima Kasih Cinta


Previous Post Next Post