Ada pihak dengki Syazwan Zulkifly?



SEJAK membintangi drama Juvana, nama Syazwan Zulkifly tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun sering membawakan watak antagonis dalam lakonannya, namun ada sesetengah pihak berpendapat, Syazwan menggantikan tempat aktor lama dalam industri seni suatu ketika nanti.

Bagaimanapun di sebalik keberkesanan lakonannya yang ditonjolkan dalam setiap kerjanya, pemilik nama penuh Mohd Syazwan Zulkifly ini tidak dapat lari daripada berhadapan dengan cerita panas berkaitan dirinya.

Isu masalah disiplin dan datang lambat menjadi antara cerita yang masih lagi diperkatakan sehingga kini, biarpun kisah ini sudah dimainkan sejak beberapa tahun lalu.

Mengakui keliru dengan tuduhan yang dilemparkan, aktor berusia 28 ini pelik kerana belum menerima sebarang rungutan daripada pihak produksi berkaitan perkara itu.


"Saya pelik jugalah sebab kebanyakan produksi yang saya kerja, adalah produksi sama yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini.

"Kalau betul saya bermasalah, mesti mereka sudah menegur saya dan mungkin juga tidak ada produksi yang mahu ambil saya lagi.

"Tapi kalau diimbau balik, isu datang lambat ini bukan baharu diperkatakan. Mungkin ada orang A cerita saya lambat dengan orang B dan orang orang B pula pernah dengar cerita sama. Jadi cerita tersebut kembali dimainkan balik, padahal kisah lama," katanya.

Namun akui Syazwan, dia pernah lewat ke lokasi, namun tidaklah sehingga mengganggu perjalanan penggambaran.

"Saya bukan manusia sempurna. Saya akui ada datang lewat, tapi tidaklah sehingga mengganggu perjalanan penggambaran atau menyusahkan orang lain.

"Kadangkala walaupun saya lambat, penggambaran belum pun bermula lagi," ujarnya.

Biarpun mengakui tidak terkesan dengan apa yang berlaku, Syazwan berkata, tetap timbul rasa bimbang dengan penerimaan keluarganya yang sering bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.

"Secara jujurnya, saya tidak kisah pandangan orang lain kerana saya tahu apa sebenarnya yang berlaku, cuma saya bimbangkan penerimaan keluarga.

"Malah kadangkala mak saya akan hubungi saya untuk dapatkan penjelasan lanjut apabila ada isu kurang enak diperkatakan. Tapi selepas diperjelaskan, mereka akan faham dan itu sudah cukup buat saya," katanya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Syazwan berkata, dia akan muncul filem terbaharu, Gamatisme yang sudah pun menemui penonton di pawagam sejak 28 Mei lalu.

Katanya, di dalam filem berkenaan dia akan membawakan watak berbeza daripada yang pernah dijayakan sebelum ini.

"Sebelum ini saya sering diberi kepercayaan untuk membawakan watak antagonis, tetapi dalam filem ini, saya diberi kepercayaanmembawa peranan lelaki baik dan ia juga satu cabaran buat saya sebagai pelakon,” ujarnya.

Gamatisme yang diarahkan M Hitler Zami, turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Adeline Tsen dan Wan Elyas.

Bercinta dengan Faye?

Sementara itu, ditebak mengenai kisah percintaannya dengan aktres Faye Kusyairi, Syazwan menjelaskan bahawa mereka hanya berkawan baik.

"Sejujurnya kami haya berteman biasa sahaja dan tiada hubungan istimewa. Bahkan kami sudah lama tidak berjumpa," katanya.

Rasa lucu dengan gosip cinta yang sering hinggap kepadanya, Syazwan bagaimanapun merasakan kisah sebegini tidak mengganggu perjalanan kariernya.

“Sebelum Faye pun, saya pernah dikaitkan dengan beberapa rakan artis, tapi sekejap sahaja. Orang bercakap dan akhirnya orang akan diam.

"Saya rasa cerita itu tak beri impak. Selagi tak memalukan, saya OK saja,” ujarnya.

Previous Post Next Post