Tuah si tukang kayu Wak Mustar



PENTAS program realiti Kilauan Emas musim kelima (KE5) melabuhkan tirai dengan penuh kemeriahan selepas menobatkan peserta yang banyak mencuit hati para juri dan penonton, Mustar selaku juara pada malam kemuncak yang berlangsung 27 Mei lalu.

Mustar, 47, atau cukup popular digelar Wak Mustar menang besar dalam rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (105) dan Maya HD (135) dengan markah terkumpul sebanyak 71.85 peratus undian menewaskan tiga peserta lain.

Mustar atau nama sebenarnya, Mustaffa Rasyid Abd. Jabar yang bekerja sebagai tukang kayu membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM100,000, sebuah motosikal Royal Enfield bernilai RM50,000 dan sebuah kerusi urut sumbangan Go Shop.

Selain dinobatkan sebagai juara, Mustar yang berasal dari Selangor turut memenangi Anugerah Khas Juri dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 menjadikan nilai keseluruhan hadiah kemenangan si tukang kayu itu berjumlah RM160,000.

Mustar menundukkan pesaing terdekat, Elji yang sekadar berpuas hati menyandang gelaran naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan perkakas memasak.

Peserta dari Sabah, Aling sekadar di tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan perkakas memasak. Lina yang berasal dari Johor tidak pulang berputih mata sebalik berada di tempat keempat dan menerima hadiah wang tunai RM10,000. Setiap peserta turut menerima sebuah trofi sumbangan Astro.

Mustar yang ditemui ketika sidang media usai malam kemuncak tersebut berkata, tiada ucapan mampu menggambarkan perasaannya saat dijulang juara KE5.

Pada malam berkenaan, Mustar menyempurnakan tugasan solo dengan membawa lagu Cukup Sampai Di Sini. Bagi tugasan duet pula, dia mendendangkan lagu Cahaya Bulan Di Air Tenang bersama artis jemputan, Maria Bachok.


"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kemenangan pada malam ini. Tentu sekali perasaan yang bertandang dalam jiwa pada ketika ini adalah kegembiraan dan kesyukuran yang tidak terhingga kerana tidak menyangka bakat dan anugerah yang Tuhan kurniakan sejak kecil akhirnya diiktiraf di pentas KE5.

"Sejujurnya, perasaan gembira atas kemenangan ini tidak hanya untuk diri sendiri, sebaliknya istimewa saya tujukan buat semua penyokong dan pengundi serta keluarga yang selalu memberi galakan sepanjang berada dalam KE5," ujarnya.

Mengakui terkejut dengan kemenangan besar pada malam tersebut, Mustar meluahkan hasrat murninya untuk menggunakan wang berkenaan bagi membantu golongan miskin yang lebih memerlukan.

"Rezeki ini semua kerja Tuhan. Dia yang mengaturkan perjalanan hidup saya termasuk pada malam ini. Sebagai manusia, saya harus beringat bahawa setiap rezeki yang diterima bukannya milik saya seorang.

"Insya-Allah, sebahagian wang kemenangan ini akan saya salurkan kepada golongan miskin tertentu selain dijadikan sebagai simpanan untuk lima orang anak saya," tuturnya sambil menyuarakan hasrat untuk mengadakan kenduri doa selamat atas kemenangan yang diperoleh.

Kehadiran Mustar dalam KE5 mendapat perhatian ramai bukan sahaja kerana karakter lucu yang dimiliki, bahkan bersandarkan vokal persis penyanyi zaman klasik.


SIAPA sangka, daripada seorang tukang kayu, Mustar kini bergelar selebriti yang menang atas pilihan peminat

Single

Sementara itu, Elji antara peserta yang dilihat memberi prestasi memberangsangkan saban minggu hanya mampu berpuas hati dengan kemenangan di tempat kedua.

Elji atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Logan Wan Abd. Rahman menang dengan kutipan markah sebanyak 48.68 peratus undian. Bagi Elji, kemenangan yang diraih pada malam itu merupakan titik permulaan untuk mengorak langkah secara serius dalam bidang nyanyian profesional.

"Tempat kedua atau ketiga, itu tidak menjadi masalah besar. Saya tetap gembira dengan keputusan ini kerana saya tahu, Mustar lebih layak menang kerana dia mempunyai kelebihan dan kelompok peminat tersendiri.

"Selepas pertandingan berakhir, saya memang merancang untuk muncul dengan single. Namun, perkara itu masih dalam perancangan. Kalau ada rezeki dan diizinkan Allah, saya berharap impian itu akan tercapai suatu hari nanti," tutur lelaki berusia 44 tahun itu ceria.

Pada malam itu, Elji mempersembahkan lagu solo Di Penjara Janji dan Pasti Sempurna bersama artis jemputan, Lan Kristal.

Sementara itu, Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, pihak Astro sengaja merancang untuk membuat masa tambahan pada malam tersebut dengan memberi peluang kepada bakal juara dan naib juara berentap sekali lagi sebelum keputusan diumumkan.

Masa tambahan diberikan kepada Mustar dan Elji selepas pengacara, Raja Azura mengumumkan pemenang ketiga dan keempat menjadi milik Aling dan Lina.


PADA malam kemuncak, Mustar menyempurnakan tugasan lagu duet bersama Maria Bachok dengan mendendangkan lagu Cahaya Bulan Di Air Tenang.

"Itu memang strategi yang difikirkan oleh pihak Astro bagi malam final musim ini demi memberi kelainan kepada perjalanan rancangan," ujar Namanzee.

Tambahnya lagi, selepas KE5 melabuhkan tirainya pada malam kemuncak Rabu lalu, Astro masih belum memikirkan sama ada mahu menyambung rancangan realiti itu untuk musim seterusnya ataupun tidak.

"Buat masa sekarang, pihak Astro belum memutuskan perkara itu, sama ada ia akan diteruskan atau digantikan dengan rancangan baharu.

"Selama lima musim bersiaran, sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada semua peringkat umur. Jadi, sama ada ia diteruskan atau tidak, perkara itu akan diumumkan kelak," ujar Namanzee mewakili Astro.

Previous Post Next Post