Siti Sarah teruja hamil anak ketiga


KANDUNGAN Sarah kini berusia empat bulan.

DUNIA hiburan tanah air pernah diserikan dengan kehadiran seorang penyanyi kecil molek yang mempunyai vokal memukau bernama Siti Sarah Raisuddin.

Banyak pencapaian telah diraihnya termasuk Artis Wanita Popular dan Artis Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2003.

Masa berlalu dan selepas mendirikan rumah tangga dengan pelawak terkenal, Shuib, lebih empat tahun lalu, perjalanan seni penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Kesetiaan itu seperti terhenti begitu sahaja.

Menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga kepada rumah tangga, Sarah mengakui, dia merindui kerjaya nyanyiannya. Namun, dia harus mendahulukan apa yang lebih penting dalam hidupnya iaitu keluarga.

Tiada perkembangan terbaharu tentang karier seni, namun penyanyi yang pernah menerima anugerah Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 2003 itu bahagia berkongsi khabar gembira mengenai keluarganya yang dibina sejak tahun 2011.

Selepas mempunyai dua orang anak iaitu Uwais Alqarn, 4, dan Dzahira Talita Zahra, 2, Sarah kini teruja menantikan kehadiran cahaya mata ketiga.


"Alhamdulillah, ini rezeki yang Tuhan beri untuk saya dan suami. Kami memang merancang untuk mempunyai anak lagi tetapi tidak menjangka secepat ini.

"Shuib memang mahu anak ramai, sebab dia merupakan anak tunggal dalam keluarga. Kalau boleh, dia mahu mempunyai banyak anak supaya anak-anak tidak berasa sunyi sepertinya dahulu.

"Jadi, saya usahakan sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu penyanyi Azharina Azhar yang berjudul Cinta Kita Selamanya, di ibu negara baru-baru ini.

Bercakap mengenai kehamilan yang sudah memasuki usia empat bulan itu, Sarah menyatakan semuanya berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

"Saya tidak mengalami sebarang alahan atau kerenah yang bukan-bukan. Bagaimanapun, selera makan saya selalu berubah.

"Contohnya, kalau semalam saya sudah makan nasi lemak, keesokan harinya, saya sudah tidak boleh makan nasi lemak lagi. Budak dalam perut ini selalu 'minta' makanan yang berlainan," katanya sambil memecah tawa.

Bercakap mengenai kerjaya nyanyiannya yang dilihat semakin pudar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sarah mengakui, rindu untuk kembali beraksi di atas pentas. Namun, niat itu terpaksa dipendam kerana komitmen sebagai isteri dan ibu.

"Selepas saya melahirkan anak kedua, saya hilang suara selama enam bulan. Semenjak itu, saya hilang keyakinan untuk menyanyi di atas pentas.

"Sekarang saya boleh menyanyi seperti biasa, cuma belum yakin untuk membuat kemunculan semula. Tambah lagi dengan keadaan mengandung begini," ujar Sarah yang semakin bahagia di sisi Shuib.

Bercerita tentang suaminya, biarpun bergelar pelawak, sikap Shuib tidak ubah seperti anak kecil terutama ketika berdepan tekanan.

"Ketika menyertai Maharaja Lawak Mega contohnya, hendak tidur pun saya yang kena dodoikan.

"Makan pun saya kena suapkan kerana dia tidak berselera," cerita Sarah sambil tersenyum.

Ditanya tentang aktiviti seninya, Sarah memberitahu, dia pernah menerima tawaran untuk menyertai sebuah pertandingan realiti televisyen, namun menolak tawaran itu secara baik.

"Saya tidak bersedia untuk turut serta kerana baru lepas bersalin ketika itu.

"Insya-Allah, jika ada rezeki dan diberikan kesihatan yang baik, saya akan kembali aktif selepas bersalin nanti," ujarnya menutup bicara.

Previous Post Next Post