SELEPAS Selepas berakhirnya pentas Mentor Legend, perjalanan setiap protege yang terlibat menerusi industri hiburan dilihat seakan sepi termasuklah juaranya, Azmil.
Namun di sebalik situasi itu sebenarnya, anak jati Tawau, Sabah ini gigih membuat persiapan tampil dengan buah tangan terbaharunya, ‘Nyawaku’ ciptaan sepenuhnya oleh komposer Edry Abdul Halim.
“Alhamdulillah, single Nyawaku kini telah mula diputarkan di corong radio tempatan.
“Pada masa yang sama kami juga sedang dalam proses menyiapkan muzik video untuk lagu tersebut.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat kami akan melancarkan single ini. Memang saya agak teruja tambahan pula ini lagu pertama dan saya berharap peminat suka,” jelasnya.
Biarpun terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk tampil dengan single tersebut, Azmil percaya pihak pengurusannya mampu beri yang terbaik.
“Memandangkan saya masih baharu, jadi pihak pengurusan dan label memerlukan masa yang lama untuk merancang perjalanan karier nyanyian saya.
“Memang saya risau sebab takut peminat lupa saya, tapi pada masa yang sama, saya juga percaya pada rezeki. Saya bersyukur kerana peminat masih setia bersama saya.
“Dalam sibuk mempromosikan Nyawaku, saya juga dalam pencarian dan pemilihan lagu untuk single seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmil memberitahu, hubungannya bersama mentornya, Dayang Nurfaizah masih lagi dalam keadaan yang baik.
“Sebenarnya kami sering diundang bersama dalam persembahan nyanyian.
“Kesempatan seperti itu yang akan saya gunakan untuk berkongsi pengalaman dengannya. Lagi pun selepas keluar Mentor Legend, kami lebih rapat dan jadi seperti kawan,” katanya sebelum akhiri perbualan.