Faye Kushairi cari ketenangan



LUMRAHNYA, jadual aktiviti seseorang artis pastinya sibuk dan padat, sehinggakan ada yang tiada masa untuk berehat.

Tambahan pula, apabila kedatangan Ramadan, ada kalangan selebriti ini turut menyediakan pelbagai program pada bulan itu.

Namun, bagi aktres Faye Kusyairi mengambil pendekatan tersendiri apabila membuat keputusan untuk berehat sepanjang bulan puasa ini.

Kata heroin drama bersiri Istikharah Cinta ini, ketibaan Ramadan memberi peluang kepada dirinya untuk berehat seketika daripada sebarang aktiviti lakonan.

"Setelah sekian lama bekerja dan sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, waktu ini (Ramadan) adalah masa terbaik untuk saya mencari ketenangan dan merehatkan fikiran.

"Kesempatan ini juga menyebabkan saya sentiasa mencari ruang untuk bersama keluarga dengan melakukan aktiviti seperti solat Terawih dan berbuka puasa bersama-sama mereka," katanya kepada Zass ketika ditemui di Majlis PraTonton Ramadan TV AlHijrah, baru-baru ini.

Tidak hanya berehat kosong semata-mata, kata Faye, kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk menguruskan perniagaan baju #FayeKusairibytheHashtag dan biskut.


"Tahun ini, buat pertama kalinya, saya akan keluarkan dua rekaan eksklusif yang mana setiap saiz hanya ada lima helai, untuk lebaran nanti,

"Untuk biskut pula, sememangnya sejak empat tahun lalu, saya sudah mulai aktif menjual biskut dan kek keju buatan sendiri. Saya memang suka memasak,

"Sememangnya, setiap kali Ramadan, saya akan fokus pada bisnes. Alhamdulillah, ini semua rezeki dari ALLAH SWT," katanya.

Mengungkap mengenai pengertian Ramadan, wanita berusia 28 tahun ini menjelaskan Ramadan adalah masa terbaik untuk mengenali diri sendiri.

Bahkan, ketibaan Ramadan yang mulia juga disambut dengan penuh keinsafan dan keceriaan oleh pemilik nama penuh Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi ini.

"Apabila tibanya Ramadan, maka tibalah masa untuk memperbaharui diri sendiri. Semuanya adalah dari diri kita sendiri.

"Berusaha untuk sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah," katanya.

Berpegang teguh kepada prinsipnya itu, Faye beranggapan Ramadan juga adalah masa terbaik dalam mencari pasangan hidup.

"Lazimnya, ketika Ramadan, semua syaitan dan jin dirantai dan diikat. Jadi, hanya tinggal diri sendiri. Masa itu, waktu terbaik untuk mengenal seseorang dan perangainya.

"Ya, saya akui saya ada berkawan rapat dengan seseorang. Dia seorang ahli perniagaan dan sudah empat tahun saya kenal dengannya.

"Saya senang dengannya apatah lagi dia senang 'masuk' dengan semua ahli keluarga saya.

"Insya-ALLAH, jika ada jodoh, adalah rezeki saya dengannya," kata peminat tegar lumba kereta ini.


Sedia berhijab?

Dalam pada itu, dek kekerapan membawakan watak yang memerlukannya untuk berhijab menyebabkan hati Faye berasa terdetik untuk bertudung sepenuhnya, suatu hari nanti.

"Insya-ALLAH, saya sedang berjinak-jinak ke arah itu. Doakan saya.

"Satu ketika dulu, saya selalu tertanya-tanya adakah saya akan mendapat watak berhijab yang memerlukan saya berkeadaan sedemikian.

"Alhamdulillah, sejak saya menerima tawaran daripada AlHijrah, hampir setiap tawaran watak selepas itu memerlukan saya untuk tampil bertudung," katanya.

Pelakon drama bersiri Misiku Kuza 2 ini akan muncul bertudung dalam drama bersiri dan telefilem Hip Stanza Fitri, Andai Bumi Tulip Takdirku, Mahar Cinta dan Manisnya Bulan Madu
"Tanpa disedari, Tuhan telah susun sesuatu yang sangat bermakna buat diri saya. Jadi, saya ambil dan fikirkannya secara positif.

"Kini, watak saya dalam drama bersiri, Eksperimen Cinta adalah watak terakhir yang memerlukan saya berpakaian agak menjolok mata dan berpelukan. Walaupun tak selesa, tapi saya lakukannya demi memenuhi tuntutan watak.

"Tapi, saya tahu perkara ini boleh dibawa berbincang. Lagipun banyak cara boleh dibuat bagi mempersembahkan sesuatu watak terutamanya yang melibatkan adegan romantis tanpa perlu aksi berpelukan," katanya.

Previous Post Next Post