Kerinduan Ziana Zain, impian Erra Fazira



JIKA dilihat daripada aspek tempoh masa dua figura ini berkelana dalam dunia hiburan tanah air, jelas ia bukan satu jangka masa yang pendek. Masing-masing sudah melepasi fasa lebih dua dekad lamanya.

Perjalanan yang boleh dianggap cukup jauh itu tidak pernah terhenti. Sehingga kini, dua insan yang berdiri atas nama Ziana Zain dan Erra Fazira itu masih teguh meneruskan langkah mereka.

Tidak wujud istilah jemu, tiada juga istilah lelah dalam diri mereka untuk menghadapi apa jua rintangan mendatang. Berbagai-bagai perkara dan cabaran sudah dilalui dua figura yang boleh dianggap sebagai individu serba boleh ini.

Jatuh, bangun, sedih dan gembira itu rencah yang sudah mereka hadam selama ini. Biar ada kalanya dugaan yang datang itu mampu mengusik jiwa, ia langsung tidak pernah menjadi sembilu dalam hidup mereka. Ketika ini, nama kedua-duanya masih utuh berpaksi dalam dunia seni tanah air.

Apa yang pasti, kedatangan Syawal kali ini memberi seribu satu pengertian bermakna buat Ziana mahu pun Erra. Ziana lebih awal melakukan penghijrahan berhijab pada tahun lalu, kini Erra pula mengikut jejak langkahnya sejak Ramadan lepas.

Tampil manis bertudung litup, sudah pasti perubahan imej kedua-duanya menjadikan kehidupan mereka kini lebih sempurna.

Bahkan, pertemuan dua figura itu menerusi sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini juga bagaikan mengimbau kembali pertemuan dua ‘beradik’, Maria dan Mariana yang pernah mencipta populariti sekitar tahun 1996 menerusi filem arahan Datuk Yusof Haslam itu.


Ziana rindu berlakon

Keputusan untuk berhijab pada tahun lalu, benar-benar memberi perubahan besar dalam hidup pelantun lagu Madah Berhelah itu. Bahkan, dia sendiri mengakui, dirinya berasa lebih tenang selepas berhijrah dalam penampilan.

“Sudah setahun saya berhijrah. Apa yang boleh saya kongsikan, saya berasa lebih selesa dan tenang. Apatah lagi melihat respon orang ramai yang seolah-olah memang mengalu-alukan (perubahan) saya.

“Bahkan, kalau kita lihat sendiri semakin ramai yang sudah berubah penampilan. Individu sudah penuh dengan insan yang sudah berhijab dan pada masa, kita masih boleh lagi berfesyen,” kata aktres filem Sembilu itu.


ZIANA (kiri) dan Erra kini lebih selesa dengan imej berhijab.

Melihat rakan baiknya, Erra mengikut langkahnya untuk berhijab, dia tersenyum manis. Mengenangkan alangkah indahnya individu yang bersama membina nama di satu lapangan sama berubah ke arah lebih baik.

“Dari awal lagi, saya sudah dapat agak. Melihat kepada cara dia (Erra) bercakap, saya merasakan mungkin tidak lama lagi (akan berhijab).

“Maria sudah berhijab, Mariana pun sudah berhijab, industri semakin ramai dengan mereka yang sudah bertudung,” luahnya sambil mengenang kembali watak mereka berdua dalam filem Maria Mariana itu.

Sungguh pun pelantun lagu Anggapanmu itu lebih awal melakukan perubahan, dia tidak pernah terdetik mahu meletakkan dirinya sebagai bahan rujukan kepada individu lain yang mahu berubah sama.

“Kita jangan jadikan diri kita sebagai bahan rujukan. Saya juga baru berhijab tetapi jika orang ambil contoh daripada kita, itu satu cara yang buat saya rasa lebih bersyukur kerana dapat menarik lebih ramai lagi orang ke arah yang lebih baik,” katanya.

Melewati usia 47 tahun, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini sedar kemampuan bakat seseorang itu hadnya. Apatah lagi dirinya mempertaruhkan suara yang ada. Biarpun mungkin ada yang membandingkan kelantangan vokalnya dahulu dan sekarang, hal sedemikian tidak menjadi satu kebimbangan buatnya.

“Tidak pernah takut atau risau, bahkan saya sentiasa reda dengan keadaan dan ketentuan tuhan kerana rezeki yang kita miliki ini semuanya daripada Allah.

“Umur sudah 40-an ini, saya jadi lebih yakin dengan diri. Boleh dikatakan inilah fasa tenang saya. Saya selesa dengan zon yang sedang saya lalui ini,” kongsinya.

Pada masa sama, kata Ziana, dia merindui untuk kembali aktif dalam dunia lakonan. Kali terakhir dia tampil di layar perak menerusi filem Magika pada tahun 2010.

“Apabila anak sudah besar, teringin juga nak berlakon semula. Cuma buat masa sekarang belum (ada peluang) lagi.

“Rindu suasana untuk pergi ke set penggambaran,” luahnya.


DUA figura tersohor ini amat berterima kasih kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya mereka selama ini.

Erra kerja belakang tabir

Bagi pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek ini pula, kedatangan Syawal kali ini membawa satu lembaran baharu buatnya. Inilah kali pertama dia menyambut lebaran dengan penampilan imej yang lebih sempurna.

“Pertama kali beraya dalam keadaan berhijab rasa lebih sempurna. Gembira rasa apabila dapat beraya dalam suasana sebegini,” katanya.

Baginya, sebagai insan di muka bumi, penghijrahan itu sebagai satu bentuk bagaimana seseorang memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Daripada aspek kehidupan, apa yang ingin saya capai dan lakukan adalah dengan sentiasa memperbaiki diri. Kita perlu berubah ke arah lebih baik sama ada dari segi zahir atau batin,” kongsinya.

Apa yang pasti, penghijrahan yang dilakukan itu tidak sedikit pun menghalangnya untuk meneruskan karier yang sudah menjadi lubuk rezeki buat dirinya selama ini.

Semangatnya untuk memberi sumbangan kepada industri menjadi semakin kuat. Ini kerana dia sedar bahawa bakat yang ada, bukan untuk dirinya sahaja tetapi untuk dikongsi bersama dengan mereka yang lain di luar sana yang punya kecintaan yang sama.

“Saya sudah berada di depan kamera 20 tahun. Impian yang tercipta selama ini yang Allah pinjamkan kalau disia-siakan sayang. Saya ada pengalaman, mungkin saya akan jadi insan yang menyumbang sesuatu di belakang tabir pula.

“Mungkin juga sesuatu yang dapat saya sumbang dalam bentuk ilmiah pada masa akan datang yang berkaitan dengan karier saya,” kata aktres filem Pasrah itu.

Mengakui agak kurang bernasib baik apabila menyentuh perihal kehidupan rumah tangga, namun dia menganggap itu semua sebagai satu suratan dan takdir.

“Kalau sebut keluarga, ya memang saya ada pincang di sini sana, kurang sini sana, namun semestinya sesiapa pun termasuk saya mahukan sebuah keluarga yang sempurna. Cuma, apa yang ada sekarang ini kita perlu teruskan jua seperti biasa,” luahnya.

Previous Post Next Post