
SUDAH lama tidak mendengar cerita mengenai juara One In A Million musim kedua ini.
Bahkan sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu, kerjayanya dilihat terus merudum.
Selepas muncul dengan single Hati Ini sekitar 2012, dia kemudiannya tampak lebih selesa menyepikan diri.
Ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Rozita Che Wan dan Zain Saidin baru-baru ini, Ayu Damit memberitahu, dia kini mahu memberikan perhatian kepada rumah tangga dan keluarga sahaja.
"Saya masih menyanyi, tetapi di atas jemputan khas sahaja.
"Bagi saya, lebih mudah menyanyi di majlis-majlis tertentu kerana ia tidak mengambil masa panjang," kata penyanyi berusia 26 tahun ini.
Malah ibu kepada tiga anak ini berkata, keputusannya itu memberikan seribu satu makna kepadanya.
"Masa saya sekarang banyak dihabiskan dengan anak-anak dan suami.
"Alhamdulillah, saya bahagia dengan pilihan saya," katanya baru sahaja menimang cahaya mata ketiga, Syed Aqif Najmi, Januari lalu.
Ditanya apakah dia tidak rindu untuk melahirkan single baharu, Ayu tetap optimis dengan pendiriannya.
"Buat masa sekarang saya memang tidak terfikir untuk membuat semua itu, akan datang tidak tahu lagi," katanya.