FARAH (kanan) disarungkan sebentuk cincin oleh bakal ibu mentuanya, Mazidah Abd. Razak pada majlis pertunangannya, Ahad lalu.
Selepas hampir tiga bulan bercerai dan tamat tempoh edah pada 22 Julai lalu, pelakon dan pengacara, Raja Farah Raja Aziz, 27, membuat keputusan untuk kembali berumah tangga buat kali kedua.
Berita tersebut mengejutkan banyak pihak memandangkan dia baru sahaja bercerai dengan bekas suami, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 30, pada 25 Mei lalu.
Tambahan pula, perkenalannya dengan bakal suami yang dirahsiakan identitinya itu dikatakan baru bermula sekitar sebulan lalu.
Bagaimanapun, pelakon filem Apa Kata Hati itu nekad mahu kembali bergelar isteri orang setelah melihat kesungguhan yang ditunjukkan bakal suami.
Ditemui pada sidang akhbar di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, Ahad lalu, Farah juga telah selamat melangsungkan pertunangan pada hari yang sama selepas dirisik keluarga pihak lelaki sehari sebelum itu.
Meskipun sedang diulit bahagia, Farah sedar, pengumuman perkahwinan yang dibuat selepas baru tiga bulan bercerai itu akan menimbulkan kata-kata kurang enak masyarakat.
Tegas pelakon filem Aku Masih Dara itu, bakal suaminya bukanlah punca perceraian dengan Megat, bahkan keputusan untuk berkahwin juga dibincangkan selepas tempoh edahnya tamat.
Artis Meletop!: Tahniah dengan pertunangan Farah. Bagaimana perasaan anda apabila bakal berkahwin sekali lagi?
Farah: Alhamdulillah, sudah tentu saya gembira. Sejak bercerai Mei lalu, saya memang telah bersedia untuk meneruskan kehidupan, namun tidak sangka jodoh datang terlalu cepat.
Selain bercerai, tidakkah keputusan untuk berkahwin kali ini agak tergesa-gesa memandangkan anda baru sebulan mengenali bakal suami?
Perancangan ini memang berlaku dengan cepat tetapi siapa saya untuk menolak jodoh yang diberi Allah. Saya akui tempoh perkenalan kami agak singkat iaitu dua hari sebelum Ramadan yang lalu. Namun, melihat kesungguhannya untuk berkenalan dan menerima saya seadanya membuatkan pintu hati saya terbuka.
Keputusan untuk berkahwin semula dalam tempoh yang singkat bakal menimbulkan banyak persoalan, termasuk tempoh perhubungan anda dengan bakal suami?
Saya sedar pasti ramai yang akan mempersoalkan keputusan ini. Namun ingin ditegaskan, bakal suami bukanlah punca keruntuhan rumahtangga saya sebelum ini.
Kami berkenalan selepas saya bercerai dan membuat keputusan untuk berkahwin selepas tamat tempoh edah. Sebelum merancang perkahwinan, saya terlebih dahulu merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk memastikan tempoh edah benar-benar tamat.
Jadi, tidak timbul sebarang isu kerana keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan kami.
Mengapakah anda merahsiakan identiti bakal suami dan butiran mengenai perkahwinan?
Memang saya akan berkahwin dalam tahun ini, namun tarikhnya biarlah rahsia terlebih dulu. Saya akan mengumumkan butiran lengkap perkahwinan kami sebaik sahaja kad jemputan diedarkan kelak. Apa yang pasti, saya akan bernikah di Masjid Bukit Jelutong dan majlis resepsi pula akan diadakan di Hotel De Palma Ampang, Selangor.
Rasanya, identiti bakal suami juga lebih elok dirahsiakan dulu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti gangguan daripada pihak luar. Tambahan pula, dia bukan artis, jadi tidak perlu untuk diperkenalkan kepada umum sehingga hubungan kami sah.
Sedikit informasi yang boleh dikongsi tentang bakal suami ialah dia merupakan seorang ahli perniagaan, masih bujang, berusia 33 tahun dan berasal dari Ampang. Dia orang biasa sahaja, bukan orang kenamaan atau anak raja (ketawa).
HARAPAN Farah hanya satu, dia mahukan perkahwinan kedua nanti kekal sehingga akhir hayat.
Bagaimanakah penerimaan bakal suami tentang status anda sebagai janda?
Pada awal perkenalan, bakal suami tidak tahu bahawa saya seorang artis dan telah bercerai.
Bagaimanapun, selepas mengetahui semua perkara tentang diri saya, dia tetap berusaha untuk berkenalan dan membawa hubungan kami ke peringkat yang lebih serius. Dia juga tidak kisah tentang kehidupan silam dan status sebagai janda kerana menerima diri saya seadanya.
Sebelum menerima lamaran bakal suami, adakah timbul rasa bimbang untuk menempuh alam berumah tangga buat kali kedua?
Tanyalah mana-mana wanita yang baru bercerai, perasaan takut dan bimbang terhadap perkahwinan seterusnya pasti ada. Mulanya saya agak ragu-ragu tetapi melihat kesungguhan bakal suami untuk mendapatkan cinta saya dan restu yang diberi ibu bapa telah menguatkan hati untuk menerimanya. Kehadirannya telah mengisi kekosongan hati saya saat masih bersedih dengan perceraian yang berlaku.
Bagaimanakah pula penerimaan bekas suami?
Walaupun telah bercerai, kami masih berbaik. Saya tidak memberitahunya mengenai rancangan perkahwinan ini, mungkin dia tahu dengan sendiri. Dia (Megat) ada menghubungi saya menerusi WhatsApp dan mengucapkan tahniah atas pertunangan saya.
Adakah majlis perkahwinan kedua anda nanti akan dibuat secara besar-besaran?
Jika ikutkan saya yang berkahwin buat kali kedua ini, memang saya inginkan sebuah majlis yang sederhana. Namun, bakal suami merupakan anak sulung dan belum pernah kahwin, jadi sudah tentu keluarganya menginginkan sebuah majlis yang sempurna dan mengikut adat. Saya hanya mengikut, mungkin majlis sambutan yang agak besar akan diadakan di sebelah pihak lelaki.
Apakah impian anda terhadap perkahwinan kedua nanti?
Sudah tentu saya harap hubungan ini akan kekal selamanya. Sewaktu berkahwin buat kali pertama, saya baru berusia 22 tahun. Sekarang saya usia 27 tahun dan pernah melalui sebuah kegagalan dalam perkahwinan, itu semua mematangkan saya sebagai wanita.
Saya berjanji untuk memperbaiki diri dan berharap mampu menjaga rumah tangga sebaik mungkin. Doakan kebahagiaan saya.