Wak Doyok diganggu, cabaran menyelam Myo



SPONTAN, kelakar dan gila-gila, itu antara daya tarikan yang terhasil daripada gandingan Wak Doyok (kanan) dan Myo menerusi Ke Korea Ke Kita? dan kini bersambung dalam Ke Indonesia Ke Kita?

Kata orang, tidak kenal maka tidak cinta. Belum dicuba, belum tahu baik atau buruknya. Pertemuan pertama kali di lapangan terbang untuk sebuah rancangan travelog Ke Korea Ke Kita? secara tidak langsung telah mencambahkan benih keserasian antara dua jejaka, Wak Doyok dan vokalis kumpulan Oh Chentaku, Myo.

Setelah rancangan Ke Korea Ke Kita? mendapat sambutan hangat penonton dan mencatat rating yang memberangsangkan, gandingan duo itu kembali untuk musim kedua, Ke Indonesia Ke Kita? dengan tambahan tiga episod berbanding musim lalu.

Bagi Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd. Azwan Md. Nor, 35, secara peribadi tidak menyangka Ke Korea Ke Kita? mendapat sambutan hangat penonton hingga terhasilnya musim kedua.

Wak Doyok tidak menyangka, persahabatannya dengan Myo hanya bermula pada hari pertama penggambaran di Korea membawa satu fenomena yang tidak dijangka.


“Saya memang tidak mengenali siapa Myo sebelum ke Korea dan ketika mula-mula bertemu, saya lebih banyak berdiam kerana masing-masing belum pernah bercakap sebelum ini.

“Bagaimanapun, setelah hampir sebulan di Korea, kami mula selesa dan boleh mengacara secara spontan tanpa ada kekok. Hubungan kami juga sudah mula akrab seperti sudah kenal lama,” ujarnya kepada Kosmo!.

Turut mengakui perkara sama, Myo atau nama sebenarnya, Mior Luqman Hakim Mior Mohd. Zain, 28, berkata, pengalaman mengacarakan Ke Korea Ke Kita? merupakan suatu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Ditambah pula bergandingan dengan Wak Doyok, Myo pada mulanya hanya mengenali lelaki itu sebagai salah seorang ikon fesyen. Sewaktu diberitahu Wak Doyok sebagai rakan pengacaranya, Myo turut berasa sedikit kekok.

“Memang pada awal penggambaran, Wak Doyok dan saya lebih banyak berdiam dan melakukan hal sendiri. Setelah beberapa episod, barulah kami mula mesra dan boleh bergurau antara satu sama lain.

“Personaliti kami memang berbeza, bagai langit dengan bumi tetapi itulah sebenarnya apa yang menjadikan rancangan ini menarik. Percanggahan sifat kami merupakan satu kelebihan dan menambahkan keseronokan sepanjang travelog ini dirakamkan,” tambahnya lagi.

Lebih mencabar

Bercerita lebih lanjut tentang kesinambungan kerjasama menerusi Ke Indonesia Ke Kita?, Myo dan Wak Doyok masing-masing menggalas cabaran berganda dengan tempoh rakaman yang lebih lama berbanding di Korea.

Jika menerusi Ke Korea Ke Kita?, mereka hanya merakamkan 10 episod, musim kedua di Indonesia terdapat penambahan tiga buah episod, menjadikan tempoh penggambaran dilanjutkan selama 40 hari.

Bagi Wak Doyok, Indonesia pastinya meninggalkan kesan paling mendalam. Di negara berkenaan dia mengalami keracunan makanan selama tiga hari, berpunca daripada sumber air tidak bersih. Lebih dramatik, lelaki berjambang itu turut berdepan pengalaman diganggu makhluk halus.

“Barangkali makanan di sana tidak sesuai dengan perut saya. Mungkin saya tersalah makan dan menjadikan perut saya memulas.

“Malah ketika di Bali, saya dan beberapa orang kru produksi diganggu makhluk halus. Saya terdengar hilaian langsuir, malah terlihat kelibat lembaga hitam di dalam bilik,” ceritanya yang menyifatkan perkara sebegitu bukanlah alasan pematah semangat sepanjang penggambaran.


KRU produksi mengambil masa 40 hari untuk melengkapkan penggambaran program Ke Indonesia Ke Kita? meliputi beberapa kota di Indonesia.

Bagi Myo pula, antara cabaran yang paling mencabar fizikalnya ialah apabila perlu menyelam untuk mengambil gambar pemandangan di dasar laut, walaupun dia tidak memiliki lesen menyelam.

Selain daripada itu, Myo berkongsi rasa kagum apabila berpeluang melihat matahari terbenam di puncak Gunung Bromo, meskipun berdepan banyak halangan untuk mendaki ke atas.

“Gunung Bromo merupakan sebuah gunung berapi yang masih aktif dan untuk mendaki ke puncak, pengunjung tidak dibenarkan menaiki sebarang kenderaan walaupun berbasikal.

“Perjalanan ke puncak sangat memenatkan tetapi pemandangan apabila tiba di atas gunung tersebut memang mengagumkan. Berbaloi segala penat lelah,” katanya yang puas menikmati setiap pengembaraan di semua lokasi yang dikunjungi.

Sepanjang edisi kali ini, Myo dan Wak Doyok telah melawat lebih 10 sebuah lokasi terkenal di Indonesia seperti Lombok, Yogyakarta, Surabaya, Malang, Bandung, Bali, Bromo dan Jakarta.

Wak Doyok disiplin, Myo tegas

Penonton setia program tersebut pasti sudah masak dengan sikap Wak Doyok dan Myo yang sering bertelagah ketika membuat cabaran dan berhadapan kamera.

Malah, ketika ditanya tentang kekerapan Wak Doyok tewas kepada Myo di dalam cabaran yang diberi, lelaki tersebut menyifatkan dirinya sebagai individu yang tidak begitu mengambil serius tentang perkara seumpama itu.

Namun, Wak Doyok berkongsi mengenai satu sifat Myo yang dihormatinya iaitu seorang yang sangat tegas dalam menyatakan pendirian.

“Salah satu sebab saya selalu kalah ialah faktor usia tetapi apa yang penting saya tetap selamba dan gila-gila. Apa yang terlintas di fikiran, itulah yang saya akan cakap.

“Myo pula ada satu perangai yang saya hormati iaitu tegas. Pernah satu ketika sewaktu di Korea, kami sesat dan dia memainkan sebuah lagu rock di dalam kereta. Tindakannya itu membuat saya tambah serabut. Saya mengutuk lagu tersebut tanpa mengetahui bahawa lagu berkenaan merupakan lagu dendangan Myo bersama kumpulannya. Dia dengan keras mempertahankan lagu tersebut dan setelah diberitahu bahawa lagu itu miliknya, saya terus memohon maaf,” cerita Wak Doyok sambil tergelak besar.

Pada pandangan Myo, antara sifat Wak Doyok yang dikaguminya adalah disiplin terutama dari segi penampilan diri lelaki itu.

Kata Myo, Wak Doyok akan bangun lebih awal berbanding semua kru produksi untuk bersiap dan memastikan penampilannya elok dari hujung rambut hingga hujung kaki.

“Dia akan tampil bergaya bukan sahaja untuk kamera, malah untuk sepanjang hari penggambaran. Bayangkan komitmen untuk sentiasa nampak kemas dengan cabaran dan berjalan ke sana-sini.

“Wak Doyok merupakan seorang yang mempunyai personaliti tersendiri dan dia tahu menjaganya sebaik mungkin,” perinci Myo mengenai pengacara bersamanya itu.

Selebihnya, gelagat dan pengalaman Wak Doyok bersama Myo menerokai Indonesia boleh ditonton menerusi Ke Indonesia Ke Kita? yang sudah memasuki episod ketiga, setiap Selasa, pukul 9 malam di TV9.

Previous Post Next Post