Zamani Slam Hajat ziarah pusara ibu tercapai


ZAMANI teruja melayan peminat ciliknya ketika majlis sambutan hari raya Aidilfitri di Pengasih baru-baru ini.

BERTAHUN lamanya dia tidak merasai kemeriahan sambutan Syawal. Apa tidaknya, jika dahulu Ramadan dan Syawal datang umpama angin lalu yang menyapa kehidupan penyanyi berusia 44 tahun itu. Kehadiran Ramadan tidak disapa, manakala kedatangan Syawal juga langsung tidak diraikan.

Cuma baru tahun ini, kebahagiaan itu hadir ke pangkuan penyanyi popular bernama Zamani. Tragedi hidup Zamani sudah diketahui umum. Lantaran najis dadah, bertahun-tahun dia hidup dalam dunia sendiri.

Lantas, tempoh lebih enam bulan mendiami dan mendapatkan rawatan pemulihan di Rumah Pengasih (Pengasih) memberi cahaya baharu buat Zamani. Vokalis Slam itu mengakui, sangat teruja dan seronok meraikan sambutan Lebaran di pusat pemulihan tersebut, biarpun tidak berada di sisi keluarga di rumah sendiri.

“Sedih memang sedih tetapi semua aktiviti dan suasana di Pengasih menghidupkan kembali semangat saya untuk beraya. Tahun depan, mana tahu saya sudah tidak menetap di sini lagi. Saya yang memilih untuk tidak pulang beraya dengan keluarga kerana mahu mengambil kesempatan merasai nikmat beraya di sini.

“Dengan adanya pelbagai program menarik yang disediakan pihak Pengasih, sedikit sebanyak saya boleh muhasabah diri. Rakan-rakan di sini juga banyak menyedarkan saya tentang erti kehidupan sebenar.

“Sepanjang lima hari cuti yang diperuntukkan sempena raya, saya boleh katakan ia adalah pengalaman paling berharga. Sebabnya, selama lima hari itu saya dan penghuni lain dapat mengeratkan hubungan sesama sendiri.

“Bagi saya, mereka umpama keluarga. Berkongsi kisah dan pengalaman hidup yang serupa membuatkan nikmat raya tahun ini memang sangat berbeza berbanding dahulu,” ceria tutur Zamani ketika ditemui pada majlis rumah terbuka hari raya di Pengasih baru-baru ini.


Pelantun lagu Nur Kasih itu menyambung bicara. Katanya, pengalaman yang pasti tidak akan dilupakannya adalah ketika bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama dengan semua penghuni pusat berkenaan.

“Tahun ini saya dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan. Selepas solat, kami bersalam-salaman dan bersama-sama menikmati pelbagai juadah hari raya.

“Walaupun tidak pulang beraya ke rumah keluarga, abang dan kakak ada datang melawat dan menyambut raya bersama di Pengasih. Dari situ saya sedar, siapa pun saya dan apa pun kekhilafan yang pernah saya lakukan dahulu, keluarga tetap nombor satu,” bicara Zamani mendalam.

Meskipun Syawal hampir melabuhkan tirai, bagi Zamani, memori sambutan Syawal tahun ini akan tersemat utuh di jiwanya. Impian untuk menziarahi pusara arwah ibu tercinta juga sudah pun dilunaskan pada pagi 1 Syawal.

“Dalam keseronokan berhari raya, hati kecil tersentuh apabila mengenangkan keluarga dan arwah kedua orang tua yang sudah tiada. Sebab itu saya katakan yang Syawal tahun ini benar-benar menghidupkan kembali fitrah saya sebagai seorang manusia.

“Alhamdulillah, hajat saya untuk menziarahi pusara arwah ibu Allahyarham Kamariah Abd. Majid pada pagi raya juga telah dimakbulkan Tuhan. Saya sangat bersyukur kerana masih diberi peluang menziarahi dan berdoa di pusara ibu. Setidak-tidaknya, ziarah saya itu boleh mengusir sepi yang bertakung dalam hati sejak sekian lama,” ujarnya perlahan.

Bercakap mengenai tahap kesihatannya kini, Zamani berkata, segalanya masih seperti biasa. Melatih diri untuk menjalani kehidupan seperti orang normal menjadi kekuatan dirinya melawan pengaruh dadah.

“Semakin hari, kesihatan saya semakin baik. Walaupun tiada perubahan ketara berbanding selepas tiga bulan saya mendapatkan rawatan di sini tetapi segalanya berjalan dengan lancar.

“Ini semua berkat pertolongan dan peranan warga Pengasih. Selain kehendak diri sendiri yang kuat, mereka menjadi antara kekuatan untuk saya melawan najis dadah,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post