Ezad Lazim impi ke Istana Budaya


KUMPULAN Exist sememangnya mempunyai pengikut dan peminat tersendiri dalam industri seni tempatan.

Sementelah kumpulan berkenaan mempelopori dunia seni seawal era 90-an lagi.

Meskipun bertukar vokalis bermula dengan Mamat kepada Ezad Lazim, namun Exist terus mendapat tempat di hati peminat sehingga kini.

Ezad berkata, meskipun Exist tiada buah tangan terbaru namun, mereka bakal membuat satu kejutan kepada peminat mereka.

Ujarnya, mereka telah berbincang untuk membuat sebuah persembahan berprestij di pentas Istana Budaya (IB).


“Sebenarnya ini ibarat reunion kepada Exist. Sepatutnya dah lama kami buat.

“Tetapi kekangan masa membuatkan kami terpaksa menangguhkan hasrat itu. Buat masa ini kami sedang tunggu masa untuk adakan perbincangan terakhir dan menunggu tarikh yang sesuai dari pihak IB,” katanya.

Jelasnya, menerusi konsert reunion itu, lagu-lagu berhantu mereka seperti Julia, Jesnita, Dirantai Digelangi Rindu dan Masih Terserlah Ayumu akan didendangkan.

Mengenai perkembangan terkininya pula, Ezad yang sedang popular menerusi lagu Hati Mati tidak menyangka lagu itu menjadi hit.

“Sekarang pendengar sangat memilih melodi lagu yang diterbitkan. Malah selera mereka berbeza.

“Tak sangka pula bila saya tampil dengan single berkenaan, mereka menerimanya dengan baik,” jelasnya.

Mengulas mengenai kolaborasinya bersama Waris, iaitu Cinta Terakhir, Ezad berkata, ia merupakan pengalaman baru kepadanya.

“Mungkin dengan cara ini ia dapat memperkenalkan kewujudan saya kepada pendengar masa kini khasnya anak-anak muda, " katanya.

Previous Post Next Post