Rabbani terus hidup


SATU waktu dulu, pergerakan kumpulan nasyid Rabbani yang sedikit pincang pernah dikaitkan dengan pemergian vokalis utamanya, Ustaz Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Ibrahim ke Rahmatullah pada 2009.

Menolak ‘mentah-mentah’ dakwaan itu, perjuangan Rabbani sebaliknya akan terus ‘hidup’ dalam semangat Allahyarham Ustaz Asri. Buktinya, kumpulan nasyid itu masih wujud dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air sehingga ke hari ini.

Meskipun sudah enam tahun berjuang tanpa kehadiran pemimpin utama kumpulan itu, Rabbani yang dianggotai Azadan Abd Aziz, Asri Baidul @ Ubaidullah, Rahmat Syafie, Nazrul Azhar Tamrin, Lokman Abdul Aziz, Rithauddeen Yaakob, Zulkiflee Azman dan Muhammad Afandi Shabudin, ternyata masih merindui saat-saat indah bersama arwah.

Sehubungan itu, bagi memperingati dan mendoakan Allahyarham, kumpulan yang memiliki lapan ahli ini meneruskan tradisi saban tahun dengan menganjurkan Program Mahabbah Aidilfitri pada 13 Ogos lalu.

Ketua kumpulannya, Azadan memberitahu, selain mengadakan majlis tahlil untuk arwah, program itu juga bertujuan untuk meraikan keluarga, sahabat dan rakan-rakan niaga yang banyak menyokong karier seni Rabbani.

"Harapan kami, program seumpama ini akan terus menjalinkan hubungan silaturahim yang terbentuk.

"Kebetulan pula, hari ini, genap enam tahun Allahyarham Ustaz Asri meninggal dunia.

"Jadi, kami meneruskan tradisi setiap tahun mengadakan majlis tahlil buat Allahyarham," katanya ketika ditemui Zass.

Jelas Azadan, ketiadaan Allahyarham Ustaz Asri menjadikan Rabbani lebih bersedia, berdikari dan bermotivasi serta sentiasa berlatih untuk melakukan yang terbaik.

"Memang semasa awal-awal Allahyarham meninggal dunia, banyak desas desus dan khabar angin serta suara-suara sumbang yang mengatakan kami tak boleh hidup tanpanya dan berkubur.

"Tetapi, sebenarnya, aktiviti Rabbani sudah mulai sibuk sejak tahun pertama ketiadaan Allahyarham lagi.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, kami tak cukup kaki dan tangan dalam melaksanakan pelbagai tugas tetapi semuanya masih tersusun," katanya.

Bagaimanapun, Rabbani mengakui masih terkesan dengan pemergian mengejut pemimpin utama kumpulan itu.

"Komitmen sebagai penasyid itu sendiri, menyebabkan tiada perasaan putus asa dalam diri masing-masing.

"Malah segala pesanan dan tunjuk ajar Allahyarham, kami akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Cuma, secara peribadinya, kami rasa kesunyian tanpanya. Alhamdulillah, rasa sunyi itu terubat dengan kehadiran peminat, keluarga dan rakan terdekat yang banyak memberi sokongan," katanya.


Lebih kreatif

Menceritakan mengenai perkembangan terbaharu kumpulan itu, Azadan mengakui Rabbani perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti persembahan.

"Kini, kami sedang sibuk mengumpulkan material untuk album baharu yang akan berada di pasaran hujung tahun ini.

"Selain itu, kami juga bergerak aktif di belakang tabir apabila terbabit sama dengan kerja-kerja yang melibatkan pengurusan majlis dan sistem studio.

"Pada masa sama, kami juga sibuk menguruskan Rabbani Travel & Tours, sebagai meneruskan hasrat Allahyarham yang tertangguh," katanya.

Tidak hanya menyanyi, Azadan memberitahu Rabbani juga aktif dengan pelbagai program motivasi sebagai menyahut seruan kerajaan dalam mengatasi masalah sosial negara.

"Ia juga merupakan salah satu kerja dakwah dalam memastikan generasi muda kita diisi dengan aktiviti yang menyihatkan.

"Bagi kami, artis juga sebagai ‘role model’ kepada masyarakat jadi kita perlu pelbagai dan tak boleh bergantung pada glamor semata-mata," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rabbani bakal menganjurkan Karnival Laksamana Cheng Ho dengan kerjasama pusat mualaf, Darul Saadah di Seremban pada Oktober kelak.

Selain itu, Rabbani juga baharu saja dilantik sebagai duta produk makanan sunnah, Jus Asy Syafi oleh Mavellous International selama dua tahun.

Previous Post Next Post