Teater Y Sebuah Muzikal memberi cabaran tersendiri buat Fathia Latiff dan Aiman Hakim Ridza dari segi lontaran dialog dan kebolehan menyanyi.
BERDIRI sama tinggi, duduk sama rendah. Kedua-duanya sedang giat memanaskan enjin karier masing-masing dalam bidang lakonan. Jika dahulu wajah kacak dan jelita mereka selalu menjadi bahan utama rantaian drama popular, namun kali ini, Aiman Hakim Ridza dan Fathia Latiff mengembangkan bakat dalam lakonan teater.
Ibarat melangkah seiringan di atas satu jalan, pasangan popular itu mengambil pendekatan untuk lebih fokus kepada karier berbanding isu peribadi.
Disatukan dalam sebuah teater bertemakan patriotisme, Y Sebuah Muzikal, Aiman dan Fathia cukup teruja walaupun pada masa sama menyifatkan tugasan yang menanti bukan calang-calang. Mereka sedang berdepan cabaran baharu dalam dunia lakonan.
Bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 22 hingga 30 Ogos ini sempena sambutan bulan kemerdekaan negara, teater berdurasi selama dua jam setengah itu turut menampilkan barisan pelakon lain antaranya Sarah Hildebrand, Aqasha, Maya Matahari, Along Eyzendy, Azman Hassan dan Akmal Ahmad.
Selain bercerita mengenai persembahan itu, Aiman dan Fathia turut berkongsi perancangan terbaharu mereka dalam bidang perniagaan yang baru diceburi.
Perbalahan
Ini merupakan kali kedua mereka dipertemukan di atas pentas teater. Kali pertama digandingkan bersama adalah pada tahun 2013 menerusi teater Bidasari.
Ironi, meskipun sudah dua kali berpacaran di atas pentas teater dalam alam khayalan lakonan, namun ia tetap menimbulkan sedikit konflik kecil bagi Aiman, 26, dan Fathia, 28.
Manusia tetap manusia. Adakalanya, perkara yang kecil boleh mengundang perbalahan. Namun, perbalahan yang dimaksudkan bukanlah sesuatu yang teruk tetapi ia hanyalah sekadar percanggahan pendapat buat mereka.
“Walaupun kami pasangan kekasih, itu tidak bermakna saya akan setuju apa sahaja perkara yang dia lakukan. Begitu juga saya. Saya akui, sepanjang berlatih teater ini, kami selalu berbalah walaupun untuk perkara yang kecil apabila masing-masing berasa idea sendiri lebih baik daripada orang lain.
“Namun, saya rasa ia sesuatu yang menarik apabila masing-masing bertelingkah untuk menyuarakan pendapat sendiri. Dari situ, kami mampu melahirkan lebih banyak idea menarik untuk persembahan.
“Siapa kata perbalahan itu selalu membawa perkara buruk? Kalau kita pandang dan gunakan ia sebagai perkara positif, sudah tentu ia akan menjadi sesuatu yang berguna,” tutur Fathia sambil ketawa riang.
Bahasa baku
Jika sebelum ini penonton sudah terbiasa dimomokkan dengan drama cinta daripada dua pelakon muda ini, sekali-sekala mereka mengubah selera dengan mencuba lakonan yang bergenre lain selain daripada cinta.
Aiman yang memegang watak Haikal dan Fathia sebagai Jelita melihat ia peluang terbaik dalam mengembangkan dunia lakonan masing-masing dengan perkara baharu yang lebih mencabar.
“Salah satu sebab saya pilih tawaran berlakon teater ini adalah kerana mahu mencabar diri sendiri melakukan perkara yang berbeza. Selalunya kalau dalam drama di televisyen, penonton melihat kami berlakon dalam drama cinta. Namun, kali ini mengapa tidak kami jadikan teater bergenre semangat patriotik sebagai salah satu cabang untuk mengembangkan karakter lakonan.
“Tambahan pula, membawa lakonan berunsur patriotisme bukanlah sesuatu yang mudah. Pertama, pelakon perlu betul-betul menghayati lakonan. Kedua, bagaimana mahu tarik minat penonton untuk sama-sama menonton teater berbentuk seperti ini.
“Apa yang mencabar dalam teater ini adalah penggunaan bahasa. Pengarah menekankan penggunaan bahasa Melayu baku. Sedikit pun tidak ada bahasa rojak atau pasar digunakan sebagai dialog. Bagi saya ia mencabar tetapi pada masa sama tetap memberi kebaikan kerana mampu melatih diri bertutur dalam bahasa ibunda dengan betul dan tepat,” ujar Aiman.
Bagi Fathia pula, bezanya dalam pementasan kali ini, disebabkan ia sebuah teater muzikal, maka persembahan yang diiringi nyanyian menjadi cabaran terbesar buat dirinya.
Mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah, Fathia cukup berharap agar pengalaman ini membuka peluang dan ruang untuknya belajar perkara baharu dengan lebih banyak.
“Menyanyi di hadapan kelompok penonton secara langsung juga memberi saya sedikit sebanyak perasaan gentar. Bukannya apa, agak sukar menyanyi lagu secara langsung, apatah lagi saya bukan seorang penyanyi.
“Jumlah lagu yang dinyanyikan adalah sebanyak 31 buah. Walaupun tidak menyanyikan kesemuanya, ia tetap memberi sedikit sebanyak menjadi cabaran buat saya. Bukan mudah untuk membawa teater muzikal, apatah lagi ia berkonsep patriotisme seperti ini,” ujarnya.
Cabang baharu
Selain sibuk dengan jadual seni yang sentiasa padat saban hari, pelakon drama Projek Memikat Suami itu juga kini sedang mencuba nasib dalam bidang perniagaan.
Tanpa berbekalkan modal, Aiman bakal membuka sebuah butik yang di dalamnya terdapat pelbagai servis antaranya butik kopi, kedai menggunting rambut serta butik pakaian lelaki dalam satu tempat.
“Insya-Allah, butik yang terletak di Ara Damansara tersebut bakal dibuka pada bulan Oktober depan. Sekarang, butik tersebut sudah 90 peratus siap.
“Lahir dari hati, niat saya membuka butik seumpama ini untuk menyampaikan mesej kepada semua golongan belia di luar sana bahawa kalau kita ada sesuatu perkara yang ingin dilakukan, buat terus tanpa teragak-agak. Percaya dan yakin yang kita mampu lakukannya walaupun tanpa ada modal yang besar,” tuturnya bersemangat.
Fathia pula yang sebelum ini sudah memulakan bisnes perniagaan biskut raya merancang untuk turut sama menyertai perniagaan Aiman suatu hari nanti.
“Selepas penjualan biskut raya mendapat sambutan menggalakkan, saya merancang untuk berkongsi tempat di butik Aiman dan menjual barangan wanita seperti tas tangan.
“Kalau tiada aral melintang, perkara itu akan saya usahakan nanti. Apa yang penting, pada ketika usia masih muda kita perlu mencuba lebih banyak peluang bagi menjana pendapatan sampingan,” kata Fathia ceria.