MENGAKU lebih berhati-hati dan mementingkan privasi diri, Zizan kini enggan berkongsi kisah peribadinya dengan umum.
Nampaknya nama pelakon dan pelawak Zizan Razak masih panas dan menjadi buruan pihak media. Selepas cerita bakal berkahwin dengan seorang wanita Terengganu tergantung begitu sahaja tanpa ada sebarang kesudahan dan penjelasan yang konkrit daripada mulut Zizan sendiri, terbaharu dia didakwa telah menghilangkan diri daripada sebuah majlis sidang akhbar.
Bukan itu sahaja, sejak kontroversi datang menimpa tanpa henti, Zizan juga dilihat seolah-olah meletakkan sempadan antara dirinya dan pihak media. Hakikatnya sebelum itu, Zizan cukup terkenal dengan sikap mesra dan terbuka apabila ditemu bual oleh mana-mana pihak media.
Menjawab kepada soal perkahwinan, Zizan yang ditemui pada majlis sidang akhbar filem Polis Evo di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini masih dengan pendiriannya enggan membuka mulut tentang perkara tersebut.
Dalam pada itu, dia turut menafikan melarikan diri dan meletakkan sempadan antara dirinya dan pihak media. Katanya, dia masih Zizan yang dahulu dan turut memohon maaf andai sikapnya secara tidak langsung telah menyebabkan orang sekeliling termasuk pihak media terasa hati dengannya.
Artis Meletop!: Adakah benar Zizan melarikan diri daripada ditemu bual oleh pihak media dalam sebuah majlis sidang akhbar baru-baru ini?
ZIZAN: Saya tidak melarikan diri, sebaliknya telah ditarik ke belakang untuk ditemu bual oleh satu media. Selepas itu, saya tidak diberitahu ada temu bual lagi dan tidak dipanggil oleh pihak media lain. Jika ada, pasti saya akan tunggu.
Sejak dilanda kontroversi, anda dilihat seperti meletakkan sempadan antara pihak media. Adakah anda mempunyai masalah dengan pihak media?
Saya tidak ada sebarang masalah dengan media dan boleh bekerjasama seperti biasa. Pihak media banyak membantu seperti mempromosi produk yang berkaitan dengan kerjaya artis. Jika dipanggil untuk sesi fotografi, saya akan pergi. Cuma saya masih dengan pendirian untuk tidak berkongsi cerita mengenai kehidupan peribadi sahaja. Sempena bulan Syawal, saya ingin memohon maaf andai sikap dan perbuatan saya sebelum ini telah mengguris hati mana-mana pihak termasuk media.
Sebelum ini anda merancang berkahwin pada bulan Jun dan dikatakan telah bertunang dengan seorang wanita dari Terengganu. Jadi, bilakah sebenarnya perkahwinan itu akan berlangsung?
Soal perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main. Sebelum ini pun saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan siapakah wanita tersebut. Saya sendiri tidak tahu bagaimana gambar wanita yang didakwa kekasih saya itu boleh tersebar. Diharap peminat dan pihak media tidak perlu risau soal jodoh saya. Jika sampai jodoh, saya pasti akan berkahwin juga. Doakan yang terbaik buat saya dan pasangan.
Apabila anda terus berdolak-dalik soal perkahwinan ia kelihatan seolah-olah cerita tersebut sengaja diwujudkan untuk menutup kontroversi sebelum ini. Apakah komen anda?
Soal siapa yang akan berkahwin dengan saya biarlah rahsia. Kalau sampai jodoh, saya akan beritahu. Bagi melindungi privasi saya, cukuplah hanya ahli keluarga sahaja yang tahu. Saya tidak kisah cerita perkahwinan dan wanita itu terus menjadi tanda tanya orang sekeliling sama ada dia wujud atau tidak.
Adakah pengalaman lepas menyebabkan anda lebih berahsia dalam soal hati dan perasaan?
Saya mengaku sebelum ini terlalu bersikap terbuka tetapi apabila hubungan tersebut tidak menjadi saya juga yang menanggung malu. Berdasarkan pengalaman lepas dan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang, rasanya lebih baik saya menyimpan soal peribadi untuk pengetahuan diri sendiri sahaja. Saya sedar ada perkara yang boleh dikongsi bersama umum dan ada yang perlu disimpan untuk kebaikan diri sendiri. Fokus saya kini hanya pada kerjaya bukannya soal cinta.
Apakah yang anda cari dalam diri seorang wanita sebenarnya?
Selepas apa yang berlaku saya lebih bersikap matang. Saya tidak mahu cari wanita Pan-Asia lagi selepas ini kerana tidak semestinya wanita yang cantik rupa parasnya, cantik dalam semua perkara. Sebelum ini, saya sangka jika wanita kurang ilmu saya boleh ajar. Jika saya yang kurang ilmu saya boleh belajar. Namun, sangkaan saya salah dan harus mencari wanita seperti yang dituntut dalam Islam. Saya terima siapa sahaja yang ditakdirkan sebagai isteri asalkan ibu bapa, orang ramai dan saya sendiri suka.
Bagaimanakah kehidupan anda sekarang ini?
Alhamdulillah baik sahaja, masih sibuk dengan kerja seperti biasa. Tidak ada sebarang perubahan. Sekarang sibuk dengan sesi promosi untuk filem Polis Evo yang akan berada di pawagam pada 17 September depan serta menjadi hos program Akademi Fantasia 2015.