Beto Kusyairi buat aksi lasak sendiri


Beto Kusyairi

PENGALAMAN dapat berlakon dalam filem mengaitkan pengorbanan perajurit negara yang pernah menjaga negara amatlah dinantikan ramai pelakon.

Justeru itu, dengan skrip yang tersedia berjudul Bravo 5, beraspirasikan kisah sebenar lima komando negara, terbitan KaryaPrima Production, lima pelakon telah terpilih menjayakan watak tersebut.

Salah seorangnya adalah pelakon yang kini mula berkembang dalam dunia lakonan, iaitu Beto Kusyairy.

Beto memberitahu yang pengalaman berlakon dalam filem arahan Mohd Latif Zami, sebagai Trooper Karim adalah satu pengalaman yang amat menyeronokkan dan memang diimpikan selama ini.


“Sebelum ini memang saya tidak tahu mengenai kisah benar lima komando tersebut. Tetapi setelah diceritakan oleh anggota komando sendiri baru saya mula fahami bagaimana pengorbanan mereka sebenar.

“Justeru sebelum memulakan lakonan, kami berkesempatan berguru dengan komando sebenar Angkatan Tentera Malaysia di Kem Sungai Udang, Melaka selama seminggu.

“Selama di sana, kami diajar bagaimana formasi ala komando, mengenal pasti perangkap samar, mengenal jenis senjata dan pelbagai lagi latihan komando.

“Tetapi sebagai pelakon untuk filem, kami tidaklah menjalani latihan seperti untuk menjadi komando sebenar. Kami hanya diberikan asas komando sahaja,” katanya kepada Zass.

Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 35 berkata, filem Bravo 5 itu juga mendedahkannya kepada pelbagai aksi lasak yang sangat sebati dengan dirinya. “Disebabkan dahulu saya seorang pelakon lagak ngeri, justeru apabila berlakon dalam filem ini ia memberikan kepuasan kepada saya.

“Segala babak yang lasak dan bahaya juga saya lakukannya sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri. Contohnya babak saya turun menggunakan tali sepanjang 100 meter dari helikopter ke bawah.

“Ketika itu memang saya takut dan berdebar, tetapi lagi bahaya benda itu, dan takut untuk saya lakukan, lagi saya mahu cuba,” katanya.

Empat lagi pelakon yang menjayakan watak empat komando itu ialah Remy Ishak (Leftenan Azri), Shashi Tharan (Korporal Morgan), Xiaviar Fong (Korporal Ah Chia) dan Frank Peterson (Sarjan Unya)


Cederakan Remy

Paling tidak dapat dilupakan sepanjang berlakon dalam filem itu kata Beto, apabila dalam satu babak, muncung senapang yang dipegangnya mengenai dahi Remy Ishak sehingga luka dan memerlukan beberapa jahitan.

“Saya memang rasa bersalah dengan Remy apabila perkara itu berlaku, walaupun ia bukan disengajakan dan dia faham, tetapi rasa bersalah itu tetap saya rasai.

“Alhamdulillah juga, kesan lukan pada dahi Remy sudah tidak kelihatan apabila dia menggunakan benang halus agar tidak kelihatan kesan jahitan itu,” katanya.

Dia turut berkongsi cabarannya melakonkan aksi filem itu apabila perlu mengusung rakan sepasukan iaitu Remy Ishak dalam jarak yang jauh.

“Selain itu bentuk muka bumi yang turun naik bukit, menambah lagi stamina saya untuk menjayakan babak tersebut.

“Tetapi apa yang saya peroleh dari filem Bravo 5 ini ialah semangat setia kawan yang tinggi dalam menghadapi musuh. Dan itulah yang perlu ada dalam diri komando yang sebenar,” katanya.

Mengulas pula perkembangannya kini, Beto memberitahu yang kini, dia lebih sibuk dengan tawaran untuk beberapa iklan.

“Ada tiga iklan sedang saya jayakan di mana iklan-iklan itu nanti akan disiarkan sempena Aidil Adha akan datang.

“Lakonan pula, kini masih dalam proses perbincangan untuk satu filem dan akan terlibat dalam satu tele filem bertajuk Antara Dua Raya sempena Raya Korban nanti,” katanya.

Dari segi perniagaan pula, Beto masih merancang dan mencongak-congak mengenai perkara itu.

“Saya ada terfikir untuk berniaga, tetapi rasanya saya mahu fokus terlebih dahulu dalam bidang lakonan kerana itu kerjaya saya kini, dan yang lain mungkin akan difikirkan kemudian,” katanya.

Previous Post Next Post