Fauziah Nawi Pelakon baharu tiada asas


FAUZIAH NAWI tidak kisah jika ada pelakon baharu mahu berguru dengannya.

DARI pandangan mata kasar, perkembangan industri lakonan di Malaysia boleh dianggap sebagai memberangsangkan.

Menerusi lambakan drama bersiri dan telefilem yang diterbitkan oleh puluhan rumah produksi, khalayak umum bebas membuat pilihan untuk menonton naskhah yang digemari menerusi stesen televisyen kegemaran mereka.

Ada antara drama bersiri meraih sambutan hangat sehingga mencetuskan fenomena dan kegilaan luar biasa dalam kalangan penonton.

Begitupun, senario tersebut agak kurang disenangi oleh pelakon senior dan berkaliber, Fauziah Nawi.

Sewaktu berkesempatan bertemu dengan beliau pada majlis sidang akhbar Akademi Fantasia 2015 (AF2015) di 1 First Avenue, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini, pelakon berusia 62 tahun itu melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan dunia lakonan Malaysia setakat ini.

Ujarnya, kebanyakan pelakon baharu yang bergelar hero dan heroin tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan sehingga menyebabkan mereka tampil ‘kayu’ menerusi drama atau telefilem yang dilakonkan.

Tambah beliau yang turut bergelar guru seni persembahan AF2015 itu, kebanyakan drama yang dihasilkan tidak mempunyai keaslian dan sering mempunyai jalan cerita yang hampir serupa.


Artis Meletop!: Bagaimanakah Fauziah melihat perkembangan industri lakonan tempatan kini?

FAUZIAH NAWI: Saya bingung dengan apa yang saya lihat sekarang. Saya berasa pening. Lebih-lebih lagi apabila melihat lambakan drama yang menampilkan pelakon-pelakon utama yang tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan.

Adakah ia memberi maksud bahawa kebanyakan pelakon baharu tidak mempunyai ilmu dalam bidang lakonan?

Ya, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan. Sebagai seorang anak seni yang bergelar pelakon, ilmu itu sangat penting. Saya masih boleh bernafas dalam industri kerana ilmu yang saya kutip daripada cikgu-cikgu saya dulu. Tapi, pelakon sekarang bekerja disebabkan duit. Bila sudah penat berlakon, masa untuk pergi ke kelas pun tidak dapat diluangkan. Jadi, mereka akan menganggap pelajaran dalam lakonan itu tidak penting.

Adakah bermakna tidak ada pelakon baharu yang bagus?

Masih ada pelakon baharu yang bagus. Sebagai contoh, saya suka bekerja dengan pelakon Beto Kusyairy dan Siti Saleha. Apabila dapat berlakon dengan mereka, saya berasa sangat teruja. Tapi, kalau diikutkan mereka tidaklah baharu dan sudah lama menapak dalam industri sebagai pelakon.

Bagaimanakah anda menyifatkan karya-karya adaptasi novel yang popular di kaca televisyen?

Saya tidak pernah tonton drama-drama adaptasi novel. Sejujurnya, saya juga tidak membaca novel-novel sebegitu. Saya hanya membaca novel hasil tulisan sasterawan negara seperti Datuk A. Samad Said, Usman Awang, Baha Zain dan Arena Wati. Sebab utama saya tidak gemar novel-novel moden kerana jalan cerita yang ditampilkan sama. Jadi, apabila diadaptasi, drama-drama yang dihasilkan tidak mempunyai warna dan variasi.


KEMAS KINI status mengenai kematian penyanyi Zur Eda yang dimuat naiknya di Facebook menimbulkan kekecohan baru-baru ini.

Sebagai seorang guru lakonan, adakah anda pernah berkongsi ilmu dengan pelakon baharu atau pelakon yang lahir daripada Akademi Fantasia (AF)?

Saya sanggup untuk menurunkan ilmu tetapi mereka perlu dikenakan bayaran. Saya lihat, ada bekas pelajar AF yang tidak menggunakan peluang di akademi dengan sebaiknya untuk menimba ilmu. Waktu itu, mereka dapat segala ilmu yang diberikan secara percuma. Namun, tidak jika mereka mahukan sesi secara perseorangan dengan saya.

Pada pendapat anda, apakah pendekatan yang sesuai untuk memulihkan keadaan industri lakonan tempatan?

Sikap sebagai anak seni perlu diubah. Pada masa sama, pihak kerajaan perlu lebih tegas dalam memberikan ruang kepada artis mahupun pihak produksi untuk berkarya. Kalau kita tengok, produser tempatan berlumba-lumba melakukan penggambaran di luar negara dan menggunakan artis yang ingin dilihat oleh penonton.

Boleh kongsi sedikit mengenai pemilihan anda sebagai salah seorang tenaga pengajar AF2015?

Tahun ini saya dilantik sebagai guru seni persembahan. Seperti biasa, saya akan membimbing para pelajar menerusi kelas lakonan. Pada masa yang sama, saya juga ada berbincang dengan pengetua, Edry Abdul Halim mengenai kelainan yang ingin diterapkan tahun ini. Kami bercadang agar gaya nyanyian dan persembahan para pelajar yang asal dikekalkan. Apa yang perlu diubah adalah teknik nyanyian dan penghayatan lagu.

Maaf jika soalan seterusnya agak sensitif. Baru-baru ini, anda telah memuat naik status di Facebook mengatakan penyanyi Zur Eda sudah meninggal dunia. Sedangkan, beliau masih dalam keadaan sihat. Tindakan anda itu telah menimbulkan sedikit kekecohan. Komen?

Sebenarnya, saya menulis status tersebut selepas diberitahu oleh pelakon Afida S bahawa rakan baik saya, Zur Eda telah meninggal dunia. Entah mengapa pada hari itu saya tidak terfikir untuk bertanya terlebih dahulu. Bagaimanapun, saya sudah menghantar mesej kepada keluarga Zur Eda dan memohon maaf atas salah faham tersebut.

Apakah langkah berjaga-jaga yang anda akan ambil selepas ini?

Saya tidak akan memuat naik status mengenai kematian jika tidak mendapat perkhabaran yang sahih pada masa akan datang.

Previous Post Next Post