
IMPIAN Zizan untuk membuka kedai serbaneka akhirnya tercapai.
"Sebelum mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, saya harap dia (Emma) fikirlah dulu tentang maruah dan air muka kedua-dua ibu bapa saya kerana tindakannya itu sangat memalukan dan mengaibkan saya.
"Bagaimanapun saya sudah memaafkan dia dan sentiasa mendoakan kebahagiaannya."
Demikian luahan pelawak popular, Zizan Razak, apabila diminta mengulas tentang kenyataan yang dikeluarkan bekas kekasihnya, Emma Maembong di laman Twitter baru-baru ini.
Emma sebelum ini memuat naik tweet yang berbunyi: "Sudah-sudahlah nak bawa mulut. Aku tidak cerita perkara sebenarnya sudah cukup baik. Banyak sangat yang kau pusing cerita. Kalau playboy itu mengaku sahaja."
Bertentang empat mata dengan Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak, 31, pada majlis pembukaan kedai serbaneka 24 jam pertama miliknya, Zizan Mart di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini, penulis mendapatkan reaksi sebenar pengacara Akademi Fantasia ini berhubung pengakuan mengejut Emma.
Kata Zizan, sebagai seseorang yang pernah rapat dengan dirinya dahulu, Emma sepatutnya menghubungi atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membincangkan perkara yang terpendam atau ketidakpuasan hati yang tidak dapat diluahkan.
"Saya bukan seorang yang rumit untuk dibawa berbincang. Jika ada perkara yang tidak berpuas hati, saya rasa lebih elok dia menghubungi atau SMS terlebih dulu," tegas Zizan.
Ketika ditanya benarkah dakwaan Emma yang menyifatkan dirinya seorang yang penipu dan playboy, Zizan berkata, apa yang berlaku ke atas dirinya, tiada kena mengena dengan wanita itu lagi.
"Sama ada saya playboy atau tidak, itu tiada kena mengena dengan dia. Lagipun dia sekarang sudah bahagia dengan seseorang di sisinya.
"Sejak kami berpisah, saya tidak lagi mengganggu atau mengambil tahu tentang kehidupannya. Saya reda dengan ketentuan Ilahi.
"Lagipun, saya percaya semua yang berlaku ini adalah pengajaran untuk jadi lebih kuat pada masa depan. Terus terang, saya tidak mahu lagi mengenang kisah lalu sebaliknya mahu terus fokus terhadap keluarga, perniagaan, kerjaya dan bakal isteri," terang Zizan sambil berharap tiada lagi cerita yang mengaitkan dirinya dengan bekas kekasihnya itu.
Ummi Nazeera
Sementara itu, diminta mengulas mengenai desas-desus perkhabaran mengenai dirinya yang bertemu dan keluar makan bersama dengan aktres jelita, Ummi Nazeera yang disiarkan menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan hujung minggu lalu, Zizan tenang menjawab persoalan yang diajukan kepadanya.
Kata Zizan, dia mengakui keluar makan bersama dengan pelakon yang popular menerusi filem Penanggal itu, namun menafikan mereka keluar berdua.
"Ya. Kami ada keluar makan bersama tetapi tidak keluar berdua. Kami ditemani oleh pembantu peribadi masing-masing.
"Saya mengenali Ummi sejak kami berdua membintangi sebuah telefilem berjudul Angin Cinta. Pada mulanya saya berasa kekok untuk berkawan dengannya. Lama-kelamaan saya semakin selesa mengenali Ummi.
"Sejak itu, kami semakin rapat dan bertemu beberapa kali. Bagi saya, dia seorang rakan yang baik dan saya sangat menghormatinya sebagai seorang sahabat. Dia selalu menegur baik buruk saya dan memberikan nasihat. Saya okey dengan dia. Buat masa ini, hubungan kami tidak lebih daripada itu. Kami selesa berkawan," jelasnya.

Zizan Mart
Beralih mengenai pembukaan Zizan Mart di Wakaf Che Yeh pada Selasa lalu, Zizan berkata, dia mempunyai alasan tersendiri menjadikan negeri Cik Siti Wan Kembang itu sebagai lokasi pertama memulakan perniagaan tersebut.
"Saya memilih Kelantan kerana dilihat banyak perniagaan berkembang di negeri ini. Kelantan juga merupakan negeri pesat membangun di Pantai Timur.
"Selain itu, harapan saya tentunya untuk membuka lebih banyak cawangan dengan tawaran harga yang berpatutan serta menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,"katanya sambil memberitahu, impiannya untuk membuka kedai serbaneka 24 jam akhirnya tercapai.
Menurutnya lagi, dia turut berhasrat memperluaskan rangkaian perniagaannya ke seluruh negara, di mana Terengganu negeri kelahirannya dipilih sebagai lokasi kedua.
"Jika diizinkan Allah, saya bercadang untuk membuka Zizan Mart di setiap Dewan Undangan Negeri di seluruh negara," jelasnya yang juga kini bergelar Pengarah Urusan syarikat miliknya iaitu Zizan Group Sdn. Bhd.