Aura 30 tahun Bon Jovi


TEMPOH 30 tahun bukan calang-calang jangka masa bagi sebuah kumpulan rock yang menjadi kebanggaan dan rujukan seluruh dunia. Bon Jovi, satu nama yang begitu ampuh dan tidak perlu diperkenalkan lagi sejak ditubuhkan pada tahun 1983.

Terus mengorak langkah sebagai salah satu band rock terbaik dan terlaris di dunia, tiada kata dapat diungkap betapa besarnya pengaruh muzik mereka terhadap perkembangan seni muzik antarabangsa.

Walaupun secara realiti harus diakui usia setiap seorang daripada anggota kumpulan yang terdiri daripada Jon Bon Jovi, 53, (vokalis) David Bryan, 53, (pemain piano dan keyboard) dan Tico Torres, 61, (pemain drum) tidak lagi muda, tenaga dan aura mereka di atas pentas masih berada dalam kelas tersendiri, malah penuh energi yang sukar ditandingi oleh mana-mana band lain.

Ketiadaan satu lagi ‘tiang’ Bon Jovi, Richie Sambora selepas meninggalkan grup tersebut kerana pertelagahan dengan vokalisnya, bagaimanapun tidak banyak cacatnya. Barangkali, mereka sudah terbiasa dengan kekosongan yang ditinggalkan Sambora sejak lebih setahun lalu.

Sabtu lalu, pada tanggal 17 September 2015, band yang sangat terkenal dengan lagu keramat mereka berjudul It’s My Life hadir ke Malaysia menghiburkan seramai 30,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dalam sebuah konsert penuh teriakan dan sorakan peminat fanatik mereka.

Apa yang menarik, konsert yang diberi judul Bon Jovi Live In Malaysia merupakan persembahan pertama selepas kali terakhir mengadakan konsert 20 tahun lalu di Stadium Shah Alam, Selangor pada tanggal 4 Mei 1995.

Terdahulu, Bon Jovi sempat ditemui pada satu sidang akhbar konsert mereka dua hari sebelum menggegarkan Stadium Merdeka.

“Banyak yang telah berubah. Dahulu ketika saya dan rakan-rakan membuat persembahan, tidak ada bangunan yang tinggi-tinggi seperti hari ini. Saya kagum dengan pembangunan di sini.

“Oh, saya sangat rindukan negara ini. Saya rindukan kehangatan cuaca dan orang-orang di sini. Saya berasa sangat seronok,” seloroh Bon Jovi ketika ditanya para wartawan tentang perasaannya kembali ke Malaysia mengadakan konsert selepas 20 tahun.

Survival muzik

Bercakap tentang perkara yang membuatkan mereka masih lagi berjuang dalam lapangan seni selama lebih 30 tahun, David Bryan memberitahu bahawa terdapat tiga perkara utama yang dipegang kuat sehingga ke hari ini.

“Saya percaya untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun, penting untuk setiap manusia bersikap jujur dengan diri mereka. Itu yang saya terapkan bermula 30 tahun lepas bersama kumpulan ini.

“Bon Jovi mampu bertahan sehingga hari ini atas tiga teras utama iaitu penulisan lagu, rakaman album dan juga persembahan pentas yang sentiasa ada.


Bon Jovi memberitahu, rahsia 30 tahun keutuhan grup mereka terletak kepada kekuatan lagu, kekemasan rakaman album dan persembahan mantap di atas pentas.

“Apabila kami melakukan persembahan di atas pentas, kami bukan sekadar menyanyi dan bermain alat muzik. Ada ‘jiwa’ dalam setiap gerak geri kami,” ujarnya.

Getusnya, Bon Jovi lakukan semua perkara atas usaha sendiri dan tidak pernah bergantung kepada orang lain.

Tempoh 30 tahun berada di persada seni muzik, kumpulan ulung tersebut telah menghasilkan 12 buah album studio, dua album kompilasi dan dua album live.

Kesemua album telah terjual lebih 130 juta unit seluruh dunia, sekali gus menjadikan mereka antara band terlaris sepanjang zaman.

Tambah mengagumkan, mereka telah mengadakan lebih daripada 2,700 konsert di lebih 50 buah negara yang secara keseluruhan dibanjiri lebih 34 juta penonton. Suatu pencapaian luar biasa bagi band yang ditubuhkan di Sayreville, New Jersey itu.

“Kami akan terus menghidupkan muzik rock kerana yakin muzik yang telah dihasilkan akan didengari oleh peminat sampai bila-bila walaupun kami sudah tiada lagi kelak,” tutur Bon Jovi mengulas mengenai kelangsungan muzik mereka selepas ini.

Persembahan bertenaga, nostalgik

Pada Sabtu lalu, sekitar pukul 8 malam, peminat mula membanjiri Stadium Merdeka. Dianggarkan seramai 30,000 penonton dari pelbagai latar belakang tidak sabar menyaksikan idola kesayangan mereka beraksi di atas pentas.

Dengan keadaan pentas dan pencahayaan yang begitu gah, peminat menyeru nama Bon Jovi secara beramai-ramai menandakan keterujaan mereka untuk melihat band rock berasal dari negara Uncle Sam itu di depan mata masing-masing.

Kelibat Bon Jovi mula terlihat di atas pentas dan peminat seperti terkena histeria apabila vokalisnya, Bon Jovi bertanya soalan kepada para penonton: “Hai apa khabar, semua?”

Tanpa berceloteh panjang, persembahan dimulakan dengan tiga buah lagu pertama iaitu Who Says, Lost Highways dan Whole Lot Of Leavin’.

Usai persembahan tiga lagu pertama tersebut, Jovi berseloroh kepada penonton dengan berkata: “Ia sangat hangat di sini dan saya sudah mula berpeluh tapi saya sukakannya.

“Siapa sangka selepas 20 tahun, kami kembali ke sini (Malaysia). Banyak yang telah berubah.”

Persembahan kemudian diteruskan dengan tiga buah lagu termasuk Raise Your Hands dan Born To Follow. Bergema satu stadium terutama apabila lagu Bad Name berkumandang.

Lagu baharu daripada album terkini mereka Burning Bridges iaitu We Don’t Run turut disampaikan. Namun semestinya apabila lagu It’s My Life dimainkan, keadaan semakin gamat sehinggakan suara vokalis tidak kedengaran dek suara para peminat yang begitu kuat menyanyi bersama.

Secara keseluruhan, 20 buah lagu didendangkan termasuk Because We Can, Saturday Night, What About Now, We Got It Goin’ On, In These Arms, Wanted, Sleep When I’m Dead, Keep The Faith, Bad Medicine, Runaway, Have A Nice Day dan Prayer.



WAKTU MUDA Anggota kumpulan asal, (dari kiri) Jon Bon Jovi, David Bryan, Tico Torres, Alec John Such dan Richie Sambora pada awal kemunculan mereka sekitar tahun 80-an.

Paling mengujakan apabila Bon Jovi dengan selamba telah turun dari pentas untuk bersalaman dengan para peminatnya yang setia menikmati persembahan mereka selama lebih dua jam.

Pada akhir konsert, Bon Jovi melayangkan ciuman kepada ribuan peminat yang hadir sebelum hilang dari pandangan dengan kalimat berbunyi: “Jumpa lagi.”

Kurang interaksi

Barangkali kerana kepenatan dengan siri jelajah konsert sebelum ini, tidak banyak interaksi mesra di antara kumpulan legenda itu bersama para peminat.

Lagu-lagu disampaikan terasa seperti tergesa-gesa kerana kurang diselang-selikan dengan perbualan serta gurauan bersama peminat.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada kumpulan tersebut walaupun semakin berusia, persembahan mereka tetap memuaskan dan penuh tenaga.

Cuma, kadangkala apabila dia cuba menyanyikan not-not tinggi, ia kedengaran tidak begitu sampai. Namun, Bon Jovi bijak mengajak penonton menyanyi bersama untuk menutup kecelaan itu.

Apa pun, Stadium Merdeka bergema dengan begitu kuat dan meriah dengan sorakan 30,000 penonton yang berpuas hati dengan konsert anjuran IMC Live Group dan East West Best Incorporation itu. Pastinya, peminat berharap dapat menyaksikan bintang kesayangan mereka itu lagi pada masa hadapan.

Previous Post Next Post