Eksperimen sosial #AF2015



Bila menjadi peserta paling konsisten sejak minggu pertama AF2015 bermula, namun adakah gadis ini akan terselamat daripada menjadi mangsa undian sebelum program tersebut berakhir.

BERDIRI sebagai rancangan realiti televisyen pertama di Malaysia, program pencarian bakat Akademi Fantasia (AF) telah berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Berbeza dengan rancangan nyanyian lain, AF yang mula disiarkan pada tahun 2003 menampilkan konsep pembelajaran dalam kelas sebagai format utama pertandingan.

Para peserta yang bergelar pelajar akan dikuarantin dalam sebuah akademi dan diberi peluang untuk mempelajari pelbagai perkara berkenaan nyanyian dan seni persembahan sebelum dinilai oleh pengkritik serta pengundi awam pada setiap konsert mingguan.

Pembelajaran yang biasanya mengambil masa selama 10 minggu itu ditunjangi oleh pihak fakulti yang dilantik dalam kalangan penggiat seni profesional dan diketuai oleh seorang pengetua.

Keghairahan penonton terhadap AF mula bercambah apabila mereka diberi peluang mengundi para pelajar kegemaran menerusi talian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menentukan juara mengikut prestasi dalam diari harian dan konsert mingguan. Para pelajar yang mendapat undian terendah pada setiap minggu disingkirkan pada penghujung konsert.

Tidak dinafikan, letusan fenomena yang berlaku terhadap program realiti yang kini telah memasuki musim ke-12 penganjurannya itu turut diiringi dengan drama dan konflik yang mencetuskan kejutan.

Pada penganjuran AF musim ketiga, kegagalan pihak akademi memilih Asmawi Ani atau Mawi sebagai salah seorang pelajar telah menimbulkan kemarahan dan kekecohan penonton. Ramai menganggap pihak juri yang pada waktu itu terdiri daripada tenaga pengajar AF tidak membuat pilihan yang tepat.

Cetusan kemarahan tersebut telah memaksa pihak akademi untuk mengadili kembali calon pelajar yang tersingkir pada konsert prelude sebelum mengambil keputusan untuk menyerap Mawi dan Marsha sebagai pelajar AF musim ketiga. Ekoran daripada kekecohan itu, Mawi turut mencetuskan fenomena yang diberi julukan gelombang Tsumawi dalam kalangan peminat sehingga berjaya meraih gelaran juara.

Juri tetap AF2013, Roslan Aziz juga pernah mencetuskan kontroversi apabila penerbit dan penulis lagu itu menggelarkan penari latar program berkenaan dengan panggilan beruk. Mengakui kecewa dengan tindakannya, Roslan kemudian memohon maaf dan meminta agar perkara tersebut tidak diperbesarkan.

Bagaikan deja vu, isu mengenai kritikan oleh pihak juri masih lagi berlegar dalam atmosfera penganjuran AF. Terkini, pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kerusi penjurian AF2015 selepas mendakwa diherdik oleh pengetua, Edry Abdul Halim usai memberikan komen kepada pelajar, Sufie Rashid. Sekali lagi, isu tersebut memanaskan nama AF.

Tidak dirancang

Menafikan setiap perkara yang berlaku didasari dengan perancangan awal pihak produksi, Ketua Program Realiti dan Format Astro, Namanzee Harris berkata, apa yang dipaparkan sepanjang penganjuran AF adalah seratus peratus asli dan ia bertunjangkan pada emosi setiap individu yang terlibat dalam menjayakan AF2015.

“Emosi yang mengalir dalam AF tidak dikawal oleh mana-mana pihak. Setiap apa yang berlaku adalah asli dan berlandaskan apa yang dialami oleh setiap individu yang terlibat.

“Sama ada pelajar, tenaga pengajar mahupun pengkritik, mereka hanya menjalankan tugas mengikut format yang telah ditetapkan,” katanya sewaktu ditemui selepas tamatnya konsert ketujuh AF2015 di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor, Ahad lalu.

Ujar Namanzee, sempadan yang diletakkan antara dunia luar dan AF merupakan realiti utama yang menzahirkan matlamat penganjuran rancangan tersebut.

“Kami menganggap program ini sebagai sebuah eksperimen sosial dengan membawakan apa yang berlaku dalam akademi sepanjang proses pembelajaran ke layar kaca.

“Realitinya, penonton akan melihat usaha para pelajar untuk bergelar penghibur terbaik.Pada masa sama, penonton turut dihidangkan dengan pelbagai ragam sepanjang perjalanan tersebut,” katanya lagi.

Berbalik pada isu penarikan diri Rozita sebagai juri tetap, Namanzee berpendapat, isu tersebut sepatutnya dipandang pada sudut yang positif.

Katanya, sengketa dingin yang tercetus antara Rozita dan Edry itu menunjukkan bahawa masing-masing mahu melihat hasil yang terbaik daripada para pelajar.

“Jika tidak jadi perkara sebegini, kita sendiri tidak akan nampak bahawa kedua-dua pihak begitu komited dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Apabila dua pihak bertelagah di atas matlamat yang sama, maka komitmen mereka sebagai tenaga pengajar dan pengkritik akan terserlah,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai individu yang bakal mengisi kekosongan kerusi penjurian AF2015, Namanzee berkata, pihak Astro memutuskan untuk tidak melantik mana-mana juri baharu sehingga tibanya konsert final kelak.

“Tujuan kami mewujudkan kerusi penjurian untuk Rozita kerana mahu dia mewakili suara penonton. Justeru, jika kami mencari pengganti, kriterianya adalah mirip yang dibawakan oleh Rozita.

“Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini, kami mengambil keputusan untuk mengekalkan Datuk Ramli M.S sebagai juri tetap di samping juri jemputan yang akan hadir setiap minggu,” katanya lagi.


Fokus

Sementara itu, Edry mengakui bahawa drama dan isu yang dikaitkan dengan AF mampu menaikkan rancangan itu sebagai sebuah jenama.

Begitupun, tutur Edry, tujuan utama AF diwujudkan bagi mencari penyanyi berwibawa yang mampu mengekalkan pengaruh sebagai seorang penghibur dalam jangka masa yang lama.

“Hal berkaitan emosi dan drama perlu diletak tepi agar fokus yang penuh dapat diberikan kepada para pelajar yang masih tinggal dalam akademi.

“Sebagai tenaga pengajar, kita tidak mahu melihat pelajar terganggu dengan perkara-perkara seperti ini. Justeru, dengan pengalaman yang ada, kami akan gunakan sebaik mungkin dalam memberikan bimbingan kepada para pelajar.

“Pihak fakulti akan berganti saban tahun, tetapi yang tinggal adalah bakat yang digilap daripada pertandingan ini. Itu yang paling penting,” katanya.

Bercakap mengenai drama yang begitu sinonim dengan penganjuran AF, Edry berkata, penonton yang mengikuti rancangan tersebut sejak musim pertama sudah mula bijak dalam menilai bakat yang dipertaruhkan oleh para pelajar.

“Penonton kini tidak mahu lagi dihujani dengan drama dan isu-isu klise bersifat meleret terutamanya bagi meraih undi.

“Jadi, tugas tenaga pengajar dan pengkritik menjadi lebih berat bagi memastikan jangkaan penonton dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.

Iqwan tersingkir

Konsert minggu ketujuh menyaksikan para pelajar diberi tugasan untuk menyanyikan lagu-lagu oleh penyanyi tempatan yang bertaraf ikon.

Menariknya, cabaran pada minggu tersebut diberi pengagihan lagu penyanyi wanita kepada pelajar lelaki dan sebaliknya.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi Iqwan apabila dia diumumkan sebagai pelajar yang mendapat undian terendah pada malam konsert tersebut.

Iqwan atau nama sebenarnya, Muhammad Ikhwan Alif Salim, 20, mengakui kecewa apabila namanya diumumkan sebagai pelajar yang terpaksa meninggalkan AF2015.

“Perasaan pada waktu itu bercampur baur. Walaupun dapat menerima kenyataan, tetapi saya masih berasa tidak puas dan kecewa.

“Sejujurnya, saya berasa rugi kerana banyak lagi ilmu yang ingin dipelajari daripada guru-guru di akademi,” katanya.

Pada konsert tersebut, Ikhwan diberikan tugasan untuk menyanyikan lagu Sinaran yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid.

Pelajar yang masih kekal dalam AF2015 ialah Syamel, Bila, Rachel, Sharul dan Sufi.

Previous Post Next Post