Puteri Sarah, Syamsul ibarat bos saya



SYAMSUL dan Sarah (tengah) kini mengusahakan gedung butik Shara Islamic Fashion World dengan memiliki 67 jenama tempatan.

IBARAT kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bertitik tolak daripada pengalaman lama bekerja di beberapa butik milik orang lain, pelakon Puteri Sarah akhirnya berjaya membuka perniagaan sebuah gedung pakaian Muslimah yang diberi nama Shara Islamic Fashion World.

Lebih manis lagi, perniagaan tersebut turut diusahakan bersama suami tersayang, Syamsul Yusof yang pada mulanya tidak berapa peka dengan perkembangan fesyen Muslimah. Namun begitu atas permuafakatan dan usaha yang berterusan, impian tersebut menjadi realiti.

Ujar Puteri Sarah atau lebih mesra disapa sebagai Sarah dalam kalangan media, dia sebelum ini tidak berapa yakin untuk membuka sebuah gedung butik tetapi suaminya (Syamsul) banyak memberi semangat dan galakan untuk merealisasikan impiannya itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah. Sebenarnya, idea untuk membuka gedung butik datang sebelum kahwin lagi dan ketika bulan puasa lalu kami mula merancang untuk menjalankan bisnes ini. Selepas pulang daripada mengerjakan umrah bersama Syamsul, semuanya seperti dipermudahkan sehingga ke hari ini.

“Perniagaan ini secara rasminya telah dibuka kepada umum pada 15 September lalu. Setakat ini sudah ada 67 vendors (jenama) ditempatkan di sini dan masih terbuka untuk menerima lebih banyak jenama tempatan untuk diniagakan,” katanya pada majlis pelancaran Shara Islamic Fashion World di Bangsar, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Sarah memberitahu pada mulanya dia berniat untuk membuka gedung butik tersebut di sekitar kawasan kediamannya di Kuala Lumpur kerana tidak mahu terlalu berulang-alik dalam jarak yang jauh.


“Saya banyak berbincang dengan Syamsul berkenaan lokasi. Ada satu ketika itu, kami berjalan di kawasan Bangsar dan ternampak bangunan ini yang masih tidak berpenghuni. Syamsul terus cakap pada saya yang dia mahu buka butik di situ.

“Pada mulanya saya pun teragak-agak untuk mengiyakan cadangan tersebut. Tapi, dia memang bersungguh-sungguh dan mula bekerja ke arah itu. Tambah lagi, pihak keluarga banyak memberi sokongan dan pertolongan untuk perniagaan ini. Alhamdulillah,” tutur Sarah bersemangat.

Menurut Sarah lagi, modal dikeluarkan seratus peratus oleh suaminya dan dia turut kerja makan gaji seperti orang lain.

“Dalam perniagaan, kita perlu bersikap profesional. Tidak kiralah dia suami saya, kerja tetap kerja dan kalau saya buat silap, dia akan tegur saya.

“Dia ibarat bos besar bisnes ini dan saya merupakan pengurusnya. Dia banyak memberi idea dari segi hiasan dalaman butik dan sebagainya manakala saya lebih kepada hal pengurusan,” bicaranya sambil tersenyum.

Sarah memberitahu, dia juga mempunyai perancangan untuk membawa bisnes tersebut ke peringkat antarabangsa jika semua yang dirancang berjalan baik.

“Insya-Allah, saya ada sepupu yang juga merupakan seorang penulis fesyen berpangkalan di Australia. Dia hadir di Malaysia pada minggu KL Fashion Week yang lalu untuk membuat liputan dan dari situ kami berbincang untuk membawa jenama pakaian saya ke sana (Australia),” jelasnya.

Bahagia

Bercerita tentang kehidupan berumahtangga, Sarah mengatakan kehidupannya bersama suami semakin bahagia sejak bergelar isteri hampir dua tahun.

Pengakuan tersebut sekali gus menepis dakwaan bahawa dia berhadapan krisis rumah tangga bersama Syamsul.

Malah walaupun masih dihimpit persoalan kehadiran cahaya mata dalam hidupnya dan suami, Sarah tenang dan percaya akan ada rezeki untuknya bergelar ibu.

“Bukan saya tidak mahu anak. Cuma sekarang kami sibuk dengan jadual kerja masing-masing. Tapi itu tidak membataskan perhubungan kami sebagai suami isteri.

“Pada masa yang sama, kami mencuba yang terbaik untuk bertukar status sebagai ibu dan bapa. Doakan sahaja yang terbaik buat kami. Insya-Allah kalau ada rezeki, pasti ada,” getusnya.

Bercakap soal perkembangan lain, Sarah memberitahu bahawa dia kini bergelar duta untuk dua produk iaitu pakaian Muslimah, Asyikin Exclusive dan produk kecantikan, Times Beauty.

Dari segi lakonan, Sarah mengatakan bahawa dia masih berlakon tetapi menunggu watak yang sesuai dengan statusnya sebagai isteri orang dan imej wanita bertudung.

Katanya lagi, dua filem lakonannya iaitu Usin UFO dan KL Cinta Mandi Tok bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

Previous Post Next Post