MUNCUL dengan single Kata Kamu, karya tersebut ditulis sendiri oleh Fimie Don.
MEMULAKAN perjalanan sebagai anak seni seawal usia lima tahun ternyata memberikan impak yang begitu signifikan terhadap kehidupan individu bernama Fimie Don. Diam tak diam, dia kini sudah berusia 17 tahun. Berada dalam fasa usia remaja, Fimie tanpa berselindung memberitahu dia mahu dilihat keluar daripada kepompong kebudak-budakan yang diterimanya selama ini.
Sepanjang berkecimpung dalam industri seni tempatan, Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon telah menunjukkan komitmen yang sangat serius apabila telah mencuba nasib sebagai pelakon, pengacara dan juga penyanyi.
Terbaharu, pelakon filem muzikal The Magika itu kembali meluaskan langkahnya sebagai seorang penyanyi apabila lahir dengan single berjudul Kata Kamu.
Kata Kamu merupakan sebuah karya yang cukup berharga buat remaja ini. Ia disifatkan sebagai cermin hidupnya sejak kanak-kanak sehingga mengenal dunia serba baharu. Selain menyanyi, dia sendiri bertindak menulis lirik lagu tersebut.
“Lirik lagu ini saya tulis dua tahun lalu selepas menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Saya ambil masa dua malam untuk siapkan liriknya.
“Istimewanya lagu ini ialah ia merupakan pengalaman hidup saya. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk hasilkan lagu ini dengan menggunakan ukelele saya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Restoran Fish & Co, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbicara lebih lanjut tentang penglibatannya dalam bidang muzik, kata Fimie, lagu tersebut mempunyai dua versi iaitu versi rapping dan akustik.
Sengaja dia melakukan dua versi sebagai satu eksperimen buat dirinya sendiri.
“Sebenarnya, saya rapping bukan kerana terikut-ikut dengan apa yang telah peminat dedahkan sejak kebelakangan ini apabila ramai penyanyi mencuba untuk memasukkan elemen tersebut dalam lagu mereka.
“Sebaliknya saya melakukan rapping kerana minat. Saya tidak lakukannya kerana ia menjadi trend dan kesukaan orang ramai,” katanya.
Tambah Fimie, satu hal yang mengejutkan dirinya sendiri ialah tahap kemampuan dirinya yang boleh dikomersialkan. Dia mengaku hanya mengikut naluri sewaktu menyudahkan lagu tersebut, namun tidak menyangka percubaan suka-suka itu membawanya ke satu tahap sehingga karya itu akhirnya menjadi single pertama dirinya.
Pelajaran dan seni
Bercakap soal penglibatannya dalam bidang lakonan yang dilihat semakin perlahan, Fimie mengatakan dia harus bijak membahagikan masa memandangkan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysa (SPM) pada tahun ini.
Katanya, banyak tawaran berlakon yang terpaksa ditolak untuk memberi fokus kepada pelajaran.
“Jujur saya katakan, bukan sudah tiada tawaran berlakon. Saya sendiri memutuskan untuk memberi fokus yang lebih kepada pelajaran. Dalam kesibukan itu, saya masih lagi mampu ‘menyelit’ hasilkan single (ketawa).
“Mama selalu nasihat kepada saya untuk melakukan yang terbaik dalam pelajaran. Dia cuma tidak suka melihat saya gagal dalam mana-mana subjek. Itu sahaja. Selebihnya, dia selalu menyokong kerjaya saya sebagai seorang anak seni,” katanya yang pernah menghasilkan dua buah single sebelum ini berjudul Untuk Mama Papa dan Bila Ku Di Mercu.
Tambahnya lagi, dia mengambil contoh daripada seniman agung Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang berjaya menyeimbangkan di antara pelajaran dan juga kerjaya sebagai seorang anak seni.
“Mungkin selepas habis SPM saya akan mengikuti kursus pendek sama ada di United Kingdom, Korea atau India dalam bidang pengarahan. Kalau tidak pun, saya mahu menuntut di Universiti Limkokwing sama seperti kakak saya.
“Saya jenis orang yang suka mencabar diri. Oleh itu, saya ingin penuhkan ilmu di dada supaya suatu hari nanti kehidupan saya tidak terikat dan tersekat de
ngan satu benda sahaja,” getusnya penuh optimis.
Walaupun mengaku memperlahankan rentaknya sebagai seorang pelakon, hakikatnya dia bakal muncul dalam sebuah drama berjudul Mat Salehlah Sangat yang bakal ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Naskhah tersebut ditulis oleh ibunya yang bertindak sebagai penulis skrip drama tersebut.