KEUPAYAAN aktres tersohor tanah air, Fauziah Ahmad Daud dalam bidang seni sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.
Sehingga ke hari ini, aktres yang mula berlakon sejak berusia 11 tahun ini tetap tampil hebat di pandangan umum kerana bakatnya yang cukup besar.
Jika tidak, masakan pelakon berusia 53 tahun ini pernah dinobatkan dengan pelbagai anugerah termasuklah di Festival Filem Malaysia (FFM).
Bersyukur dengan kejayaan yang di kecapinya, Fauziah yang lebih dikenali sebagai Ogy menganggapnya sebagai berkat didikan ibu bapanya iaitu seniman Datuk Ahmad Daud dan seniwati Saadiah.
“Jujurnya, arwah ibu dan bapa saya tidak pernah memuji saya sekalipun saya telah memenangi banyak anugerah.
“Cuma tiga hari sebelum bapa saya meninggal dunia, barulah dia menyatakan ‘Ayah bangga dengan Fauziah’.
“Namun, saya bersyukur kerana mereka membuatkan saya sentiasa berasa rendah diri,” katanya.
Masih berpegang teguh dengan nasihat arwah ibu dan bapanya, kata Ogy, ia adalah asas kejayaan sepanjang empat dekad bergelar anak seni.
“Arwah ibu dan bapa saya cuma cakap, nak jadi insan seni, ilmu kena ada.
“Tak boleh sandarkan pada nama Ahmad Daud dan Saadiah semata-mata. Itu tak cukup!.
“Sebab itu saya terus belajar dan belajar. Malah, saya juga tidak kesah dengan ‘cakap-cakap orang’ kerana itu adalah proses pembelajaran,” katanya.
Lebih menarik, bintang filem Ali Setan ini tidak lokek untuk berkongsi ilmu yang dimilikinya terutamanya buat pelakon generasi baharu pada hari ini.
“Saya tidak kisah untuk berkongsi ilmu apatah lagi kebanyakan pelapis baharu yang muncul di kaca TV sangat ‘kosong’, popular untuk 26 episod dan kemudian hilang begitu saja.
“Terus-terang, saya sangat kasihan dan bersimpati terhadap mereka kerana ada antara mereka yang sememangnya dilahirkan dengan bakat.
“Jadi, selagi saya masih ada, saya mahu berkongsi ilmu dengan mereka.
“Lagipun, kita juga sepatutnya berbangga dengan pelapis yang ada tetapi biarlah berilmu,” katanya.
Bahkan, heroin filem Azura ini mengakui majoriti pelakon baru tidak mendalami skrip.
“Apabila ditanya apa yang mereka faham mengenai skrip, tidak ramai yang boleh bercerita secara menyeluruh.
“Saya dapati kebanyakan pelakon baru hanya boleh cerita permukaan skrip dan mereka tidak lihat skrip itu daripada pelbagai sudut.
“Itu bermakna mereka baru pertama kali membaca skrip dan tidak melakukan kajian secara terperinci,” katanya.
Kerana itu, pelakon filem Suara Kekasih ini telah menganjurkan bengkel lakonan untuk mereka yang ingin bergelar pelakon mahupun membina keyakinan diri, sebelum ini.
“Saya amat sedih dengan situasi ini. Oleh sebab itu, apabila diberi peluang sebegini saya ingin menyatakan bahawasanya mereka boleh datang kepada saya untuk belajar.
“Saya rasa, sebagai orang lama dalam industri, kita seharusnya membantu.
“Dan, saya tegur bukanlah bermakna saya benci atau tidak suka sebaliknya kerana saya sayangkan bakat pelakon itu,” katanya.
Tenaga pengajar PU2015
Sebelum ini, heroin filem Puteri ini terpilih sebagai pengkritik tetap bagi rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima dan keenam.
Kini, Ogy dipilih untuk menjadi tenaga pengajar mengambil alih posisi guru persembahan daripada aktres hebat Fauziah Nawi menerusi program realiti Islamik popular, Pencetus Ummah 2015 (PU2015).
PU2015 memulakan siarannya sejak 15 Oktober lalu menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).
Selain berkongsi pengalaman dan ilmu, pelakon filem Jejak Warriors ini juga mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu agama.
“Sebagai seorang Muslimah, saya masih terus berusaha untuk memperbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik.
“Oleh sebab itu, saya masih memerlukan ilmu untuk pedoman dan pelajaran buat diri saya sendiri,” katanya.
Meskipun terkenal dengan kelantangannya dalam bersuara dan tegas dalam setiap komen yang diberikan, Ogy bagaimanapun mahukan kesemua anak muridnya itu berasa seronok di dalam kelasnya tanpa perlu berasa tertekan.
Tambahan pula, anak kelahiran Singapura ini sangat optimis dengan kemampuan setiap peserta.
“Jika di AF, saya sebagai pengkritik tetapi di PU, saya perlu mendidik mereka dari ‘zero to hero’ agar merekela menjadi seorang yang kreatif dan kritis.
“Lagipun, setiap kritikan saya adalah untuk membentuk dan menjadikan mereka yang terbaik.
“Saya bersyukur dan menghargai nikmat ini kerana bukan semua artis pada era saya boleh bertahan sampai sekarang tapi Fauziah Ahmad Daud, ALLAH SWT izinkan.
“Kerana itu, saya sentiasa berkata benar dan yakin dengan apa yang saya lakukan,” katanya.