MARK ADAM menaruh harapan tinggi kepada single baharu, Berat agar diterima peminat.
TERKENAL dengan genre catchy, Mark Adam bertindak berani apabila menukar haluan daripada lagu berentak rancak kepada balada.
Masih mengekalkan sentuhan sepenuhnya daripada disc jockey (DJ) popular, DJ Fuzz, single baharu bertajuk Berat itu merupakan kronologi kepada untaian lagu Pencuri, Si Katak dan Marry Me.
Eksperimentasi dengan irama berbeza, Berat mengisahkan tentang kehidupan pasangan yang berdepan dengan pergolakan dalam hubungan.
“Setelah membuat perbincangan, kami bersetuju untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada biasa. Melalui cara ini, saya akan mengetahui kekuatan dalam menyampaikan lagu berbeza genre,” jelas penyanyi berusia 36 tahun itu.
Tidak gentar melakukan perubahan, Mark Adam mengharapkan single baharunya mendapat sambutan dan diterima oleh peminat meskipun rentaknya berbeza daripada karya-karya yang dihasilkan sebelum ini.
“Secara tidak langsung saya dapat mencabar diri untuk melakukan sesuatu berbeza daripada kebiasaan demi menjadi penghibur yang versatil.
“Bagaimanapun secara teknikal, saya memulakan kerjaya dengan mempertaruhkan irama balada. Namun, disebabkan kurang mendapat sambutan, beberapa rombakan terpaksa dibuat sehingga berjaya diterima peminat,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Meskipun hampir 15 tahun menetap di Malaysia, Mark Adam mengakui masih kurang fasih berbahasa Melayu, namun tidak menghadapi masalah untuk memahami setiap bait lirik lagu Berat.
Pelakon drama Plan Cinta Tak Jadi itu juga berusaha menyuntik elemen emosi dengan membayangkan semula segala peristiwa duka yang pernah dialami termasuk detik kehilangan insan tersayang iaitu bapanya, Edmundo Macaraig Echivarre sekitar enam tahun lalu.
Kegagalan dalam hubungan cinta monyet sebelum bahagia menyusuri bahtera perkahwinan dengan isteri, Nor Azah Redzuan turut dijadikan ramuan rahsia untuk lebih mendalami maksud di sebalik lagu tersebut.
Selain berbeza dengan genre muzik nyanyian Mark Adam sebelum ini, Berat juga menggabungkan variasi instrumen yang masih dijadikan kejutan buat para peminat.
“Lagu ini mempunyai pelbagai alat muzik dan pastinya setiap kali ingin membuat persembahan pentas, saya akan membawa kumpulan pemuzik untuk mengiringi bagi mendendangkan lagu Berat,” jelas penyanyi kelahiran Filipina itu.
Menaruh harapan tinggi terhadap penerimaan peminat, Mark Adam bagaimanapun menjelaskan bahawa dirinya tidak akan mudah mengaku kalah andai kemunculan single baharu itu kurang mendapat sambutan.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk lagu ini dan sekiranya ia kurang mendapat sambutan, saya tidak akan mengalah untuk terus mencuba sehingga mampu mencuri hati peminat,” jelasnya optimis.
Mengambil masa sehari bagi proses rakaman suara, Mark Adam tidak menolak penghasilan lagu Berat menjadi langkah pertama kemunculan album keduanya.
Menggunakan strategi sama seperti penyanyi lain, pemilik nama lengkap Fikri Mark Adam itu akan mengeluarkan satu persatu single daripada menghasilkan album penuh.
Bakal dilancarkan sekitar pertengahan bulan ini, klip video lagu tersebut turut akan dilakukan dalam tempoh terdekat sejurus selepas lagu tersebut diperkenalkan kepada peminat secara rasmi termasuk boleh dimuat naik menerusi aplikasi iTunes.
Akademi muzik
Memiliki perancangan masa depan, selain sibuk merangka kerjaya sebagai pelakon, Mark Adam turut menanam impian untuk membuka sebuah akademi muzik yang dipanggil Suara.
Bergelar sebagai guru vokal, Mark Adam ingin berkongsi pengalaman dan kemahiran bersama masyarakat. Ironinya, dia pernah mendidik beberapa selebriti tempatan seperti Mizz Nina, Asmidar, Sheryl Koh dan Ewal (AF2014).
“Projek ini masih berada dalam peringkat perbincangan. Saya melihat usaha ini sebagai perancangan untuk terus menjadi pendidik kerana ingin berkongsi pengalaman dengan orang lain.
“Sebagai langkah permulaan, kami mungkin akan berkongsi studio muzik bersama Fuzz sebelum memiliki premis sendiri,” kata Mark Adam mengenai perjalanan masa depan kerjaya seninya,” tuturnya.