Bingkisan terakhir Nomad


TANGGAL 5 Disember lalu pada pukul 7.11 malam, seluruh negara dikejutkan dengan kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, kerana penyakit kanser hati. Kemangkatannya meninggalkan impak yang besar bukan sahaja dalam kalangan keluarga dan rakyat Johor, tetapi juga kepada teman rapatnya, penyanyi Nomad.

Sewaktu dihubungi Kosmo! sehari selepas majlis pengebumian Almarhum, Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd. Alieef Ayub, 27, masih dalam keadaan terkejut dan menolak untuk ditemu bual. Bagaimanapun ketika dihubungi pada pagi Selasa, dengan kesedihan yang masih bersisa dan suara bergetar menahan sebak di hujung corong telefon, Nomad memberikan kerjasama.

Kali terakhir Nomad bertemu dengan sahabatnya, Almarhum Tunku Abdul Jalil adalah sekitar dua minggu lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pertemuan sempat terjadi sebanyak dua kali. Dua pertemuan tersebut menjadi memori terakhirnya melihat gelak tawa dan gurau senda putera keempat Sutan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar itu.

Apa yang lebih menyedihkan dia dan Almarhum Tunku Abdul Jalil sempat merancang untuk berjumpa pada 6 Disember di hospital. Bagaimanapun pada tanggal itu, hanya tangisan dan doa yang mengiringi pertemuan mereka kerana sahabatnya telah dijemput Ilahi.

“Saya dan Ku (panggilan buat Almarhum Tunku Abdul Jalil) memang merancang untuk jumpa lagi pada 6 Disember lalu. Tidak sangka detik itu merupakan pertemuan terakhir kami yang berlangsung di makam Almarhum. Memang saya cukup terkejut kerana dua minggu sebelum itu, Almarhum kelihatan sihat dan masih bergurau seperti biasa,” kata Nomad dengan nada suara bergetar-getar.

Meskipun akur dan reda dengan ketentuan Allah, jauh di sudut hatinya, penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu, wujud rasa terkilan kerana tidak sempat melunaskan hasrat terakhir sahabatnya.



Nomad sudah menyiapkan sebuah lagu khusus seperti yang diminta oleh Almarhum sebelum kemangkatannya. Lagu berkenaan ditujukan buat kedua ayahanda dan bonda Almarhum, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar serta Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.

Tutur Nomad, empat bulan lepas, Almarhum ada memintanya mencipta sebuah lagu khas untuk dihadiahkan buat ayahanda dan bondanya. Menariknya, Almarhum meminta penyanyi itu mencipta lagu istimewa tersebut untuk menyampaikan luahan agar penyakit yang dihidapinya itu tidak mendatangkan kesedihan dalam kalangan keluarga.

“Lagu tersebut dicipta berdasarkan permintaan Almarhum yang tidak mahu ayahanda dan bondanya bersedih. Sebaliknya, biarlah Almarhum sendiri yang menanggung keperitan sendirian. Saya amat terkilan meskipun lagu itu telah siap, tetapi hanya sempat memperdengarkan satu para sahaja kepadanya. Waktu itu, saya tidak sampai hati untuk memperdengarkan keseluruhan lagu tersebut,” kata Nomad.

Walaupun sahabatnya telah tiada, Nomad menjelaskan dia tetap akan menunaikan hasrat terakhirnya Almarhum untuk menyerahkan lagu berkenaan kepada pihak keluarganya selepas selesai menjalani rakaman kelak.

“Buat masa ini saya masih belum ada kekuatan untuk merakam lagu tersebut. Selepas emosi stabil nanti barulah saya meneruskan proses rakaman. Disebabkan Almarhum juga merupakan peminat Datuk Siti Nurhaliza, saya amat berbesar hati andai beliau berminat untuk menyanyikan lagu berkenaan. Hanya ini kenangan terakhir yang boleh saya simpan bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi buat keluarganya,” ujar Nomad.

Berbeza status

Mengenang kembali bagaimana persahabatan dengan Almarhum boleh terjalin, semuanya bermula apabila Nomad diundang menyanyi dalam sebuah majlis anjuran Polis Diraja Malaysia di Johor Bahru sekitar lebih setahun lalu. Sejak daripada situ, hubungan terus akrab seperti adik-beradik. Katanya, mereka pantas serasi kerana mempunyai minat yang sama dalam fesyen dan muzik.

Selain itu, meskipun Almarhum merupakan seorang anak raja, tetapi mereka berkongsi perangai ‘gila-gila’ yang sama.

“Sejujurnya saya tidak sangka akan bersahabat dengan seorang anak raja. Ku seorang yang amat merendah diri dan seperti orang biasa sebab itu sepanjang persahabatan tidak wujud jurang walaupun kami berbeza status. Sungguhpun saya hanya sempat mengenalinya selama lebih setahun, banyak memori kami kongsi bersama. Kebaikannya yang membuatkan orang sekeliling amat terasa apabila Almarhum sudah tiada,” luah Nomad.


Nomad menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sampingan kerana mempunyai komitmen kerja dengan syarikat milik keluarga.

Tambahnya lagi, dia hanya tahu Almarhum menghidapi penyakit kanser hati selepas enam bulan mereka bersahabat. Katanya, Almarhum jarang berbicara tentang penyakitnya kerana enggan merisaukan orang sekeliling.

“Pada awal persahabatan saya tahu Almarhum tidak sihat, tetapi tidak sangka penyakitnya serius. Almarhum merupakan sahabat terbaik yang pernah saya miliki. Selepas ini saya pasti rindu gelak tawa dan gurau sendanya,” tutur Nomad sebak.

Kembali

Sementara itu, selepas hampir lapan bulan berehat daripada dunia seni, dua bulan lalu Nomad kembali aktif menerusi single Sorry Sorry Sayangku. Lagu tersebut menarik perhatian selepas dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Hello Mr. Perfect.

Meskipun lagu tersebut melencong daripada genre balada seperti lagu popularnya Tetap Menantimu, Nomad tetap bersyukur kerana diterima dengan baik.

“Alhamdulillah, walaupun ada pihak yang kritik lagu berkenaan, tetapi klip videonya telah ditonton sebanyak dua juta kali di YouTube. Saya anggap ia sebagai rezeki dan lagu pemanas badan sebelum saya kembali dengan single terbaharu, Andai Punya Waktu yang akan dilancarkan pada Februari tahun depan,” ujarnya.

Bercakap tentang keputusannya untuk berehat daripada dunia nyanyian ketika nama sedang popular, Nomad menyifatkan tindakan itu satu keputusan yang tepat. Ketika itu, terlalu banyak tekanan yang mencengkamnya termasuk kontroversi didakwa tidak boleh menyanyi secara langsung.

Justeru, dia memilih untuk berehat sambil memperbaiki kekurangan diri sebelum kembali dengan semangat baharu sebagai penyanyi.

“Sepanjang lapan bulan berehat, saya baiki diri dan cipta lagu. Alhamdulillah, sekarang saya sudah mempunyai keyakinan untuk menyanyi secara langsung. Saya akui, sebelum ini sering mempunyai ketakutan apabila naik ke atas pentas. Rasa bimbang dan gementar menyebabkan saya hilang keyakinan diri.

“Lebih baik saya berundur buat sementara waktu daripada terus dihentam. Sebabnya saya sedar kekurangan diri sendiri. Harap peminat dapat terus menyokong kerjaya saya,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post