Chong (tengah) bersama Nur Farziana (kiri) dan Nurul Umira.
Dua sahabat baik kini memerlukan rawatan perubatan selepas mereka menjadi mangsa simbahan asid oleh penyerang tidak dikenali.
Nurul Umira Azali dan kawan karibnya Nur Farziana Hussein Hasnor Harry tidak boleh bekerja selepas diserang pada 24 Ogos lalu.
Lebih malang apabila kedua-dua gadis berusia 22 tahun itu baharu sahaja berpindah ke sebuah kondominium di Taman Setapak Indah Jaya, Setapak kira-kira dua minggu sebelum serangan berlaku.
Nur Farziana sebelum ini bekerja di kedai restoran makanan segera manakala Nurul Umira bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar mini.
Kata Nur Farziana, pada hari kejadian kedua-dua mereka pulang ke rumah menaiki sebuah kereta selepas membeli barangan runcit untuk adiknya yang akan memasuki universiti.
Katanya ketika dia sedang mencari tempat letak kereta di kondominium itu, mereka melihat sebuah motosikal diletakkan di arah yang salah.
"Ada sebuah kereta di belakang motosikal itu dengan lampu dinyalakan. Ia juga berada di arah bertentangan.
"Selepas menemui parkir, kami keluar dan ketika kami berjalan melepasi penunggang motosikal itu, secara tiba-tiba kami diserang," kata Nur Farziana.
Kedua-dua mangsa gagal melihat dengan baik penyerang mereka ataupun nombor plat motosikal itu.
"Yang kami ingat ialah penyerang itu bertubuh tinggi dan kurus. Dia memakai pakaian hitam," kata Nurul Umira.
Nur Farziana berkata kedua-dua mereka telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk tempoh lebih daripada sebulan.
Mereka masih menjalani rawatan susulan di sana dan Nurul Umira akan melalui proses pembedahan di tangan pada minggu ini.
Nur Farziana mengalami kecederaan serius di muka, kepala, mata dan tangan hingga membuat dia tidak dapat menutup kelopak mata sepenuhnya walaupun selepas menjalani pembedahan.
"Kepala saya berasa seperti sedang terbakar kerana cuaca. Wajah saya terasa gatal dan penglihatan saya kabur.
"Saya tidak boleh menutup mata sepenuhnya. Saya dapat rasakan kulit saya seperti ditarik. Ia amat menyakitkan," kata Nur Farziana.
Nurul Umira yang turut melecur, tidak dapat menggerakkan tangan kirinya disebabkan oleh parut akibat serangan itu.
Sehingga kini mereka masih trauma dan takut.
Pada Selasa mereka bertemu dengan Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong di pejabatnya di sini.
Chong berkata pihaknya akan membantu kedua-dua gadis itu dan berharap orang ramai juga akan melakukan perkara yang sama.
"Kami akan beri mereka RM2,000," katanya.
Beliau berkata mereka yang ingin menyumbang boleh menghantar cek kepada biro itu dengan menulis nama kedua-dua gadis tersebut di belakang cek ke pejabatnya di Wisma MCA di Jalan Ampang.
Aduan Awam MCA dan Jabatan Perkhidmatan boleh dihubungi di 03-2203 3888 atau sebarang cek boleh dialamatkan ke Tingkat 8, Wisma MCA, 163 Jalan Ampang.