Bekas juara program Akademi Fantasia 9 (AF 9) iaitu Hazama mempunyai sebab memilih penyanyi terkenal iaitu Zamani untuk menjayakan persembahan solonya di Hard Rock Cafe di sini pada 20 Disember depan.
Hazama, 31, berkata, dia memilih bekas vokalis kumpulan Slam itu kerana mereka mempunyai persamaan yang tidak diketahui umum selain dia mengagumi vokal Zamani.
"Saya pilih Zamani kerana kami ada persamaan namun saya hanya akan mendedahkan perkara itu pada malam persembahan itu nanti.
"Saya terkejut dan gembira apabila Zamani bersetuju untuk bersama-sama dengan saya pada hari bersejarah itu nanti memandangkan ia showcase solo pertama saya," katanya.
Hazama ditemui pada majlis santai bersama media yang diadakan di The Gardens di sini, Selasa.
Persembahan yang diberi nama Hazama The Penglipur Lara Live at Hard Rock Cafe itu bakal berlangsung pada pukul 9 malam.
Zamani
Hazama bakal menyampaikan 14 buah lagu termasuk duet bersama Zamani pada showcase itu.
Dalam pada itu, Hazama berkata, dia teruja dengan persembahan itu yang disifatkannya sebagai impian menjadi kenyataan.
Jelas Hazama, ia juga adalah persembahan solo pertamanya secara berbayar dan berharap ia akan mendapat sambutan peminat.
"Apa yang pasti persembahan itu nanti lain daripada yang lain dan setiap lagu dipersembahkan mempunyai kisah disebalik.
"Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah showcase secara solo khas buat peminat dan ia bakal terlaksana," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Di Amaran Mama ciptaan Ajai dan Ad Samad.
Katanya lagi, album keduanya akan menyusul selepas pelancaran single tersebut dijangka pada tahun hadapan.
"Selain lagu tersebut saya juga akan memasuki studio untuk merakamkan lagu duet bersama Datuk Ramli Sarip.
"Saya teruja kerana beliau sendiri memilih lagu nyanyian asalnya iaitu Budaya untuk dirakamkan semula oleh kami berdua," katanya.