KRU: Usia bukan penghalang


NAMA kumpulan KRU di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Mula tertubuh pada Mei 1992, jenama KRU terus gah sehingga ke hari ini.

Tidak terhad kepada penghasilan lagu-lagu yang cukup mesra pendengar, KRU juga telah berjaya membina empayar sendiri menerusi penerbitan filem, animasi, drama dan turut memiliki artis di bawah pengurusan mereka.

Mengimbau onak ranjau sepanjang 23 tahun bergelar anak seni, Norman berkata, pelbagai peristiwa telah dilalui yang sedikit sebanyak menjadi sesi pembelajaran berguna buat mereka.

Katanya, sama seperti orang lain, ada di antara perancangan mereka yang boleh dianggap berjaya dan ada di antaranya boleh dikategorikan sebagai gagal.

"Saya tidak kata KRU adalah sebagai satu empayar yang berjaya tanpa kegagalan kerana kita sama seperti orang lain yang pernah melalui pelbagai proses untuk berjaya.

"Ada di antara projek kita yang boleh saya kategorikan sebagai sangat berjaya, berjaya dan gagal.

"Ia termasuklah dari aspek kami sebagai artis, projek yang kami hasilkan dan juga artis di bawah naungan kami. Ada yang betul-betul berjaya dikenali dan ada juga yang tidak.

"Jadi kami sentiasa ambil sikap muhasabah diri," ujarnya kepada Zass.

Mengambil pendekatan untuk belajar daripada kesilapan, Norman berkata, ia tidak bermakna mereka bertiga kini hanya mahu berada di belakang tabir.

Sebaliknya tiga beradik yang terdiri daripada Norman, 43, Yusry, 42, dan Edry Abdul Halim, 39, sebenarnya mengimpikan kembali untuk kembali aktif.

Ujar Norman yang juga abang long buat adik-adiknya, biarpun masing-masing sudah berusia namun itu bukan penghalang buat mereka terus aktif.

"Sejujurnya kami bertiga memang geram nak naik pentas. Apatah lagi pada tahun 2017 ini merupakan ulang tahun ke-25, penubuhan KRU.

"Jadi kami merancang untuk kembali aktif pada tahun 2016 termasuk melakukan persembahan pentas.

"Kemudian kami juga merancang untuk mengadakan konsert pada 2017, namun masih terlalu awal untuk bercakap mengenai konsert buat masa ini.

"Apa yang pasti, jika diizinkan, Insya Allah kami akan tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi," katanya.


Pilih jalan selamat

Dalam pada itu, di tanya mengenai perkembangan penerbitan filem dan drama oleh KRU Studios yang dilihat semakin berkurang, Norman mengakui terpaksa menukar rancangan selepas melihat senario perfileman kini.

"Ketika awal penubuhan KRU Studios, saya akui kami merancang menerbitkan enam hingga lapan filem setahun.

"Namun kami jadikan juga filem yang sudah diterbit dan ditayangkan sebagai satu penanda aras.

"Oleh itu, kami mengubah sasaran dan mengambil sikap tunggu dan lihat pasaran. Kalau ada yang berjaya kita jadikan mereka sebagai pendorong.

"Bagaimanapun ia bukan bermakna kita tidak keluarkan filem langsung, tapi ia dikurangkan kepada satu atau dua filem sahaja setahun.

"Dalam masa yang sama, kami juga tumpukan untuk buat kajian naskhah bagaimana yang diinginkan oleh penonton," katanya.

Biarpun mengurangkan kuantiti, Norman berkata, ia sebenarnya menjadi kelebihan buat mereka untuk meningkatkan kualiti sesebuah filem yan dihasilkan.

"Saya ibaratkan apabila kami kurangkan kuantiti, kami boleh beri 'sentuhan peribadi' kepada sesebuah filem tersebut.

"Jadi filem yang diterbitkan bukan sekadar tangkap muat, sebaliknya ada sesuatu yang berharga untuk diberikan kepada penonton," jelasnya.

Kongsi Norman, setakat ini, mereka sedang dalam proses menyiapkan filem animasi Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang mana mereka bekerjasama dengan Les Copaque Production sebagai penerbit, manakala KRU Studios menyiapkan kesan khas visual.

Selain itu, mereka juga dalam proses menerbitkan sebuah lagi filem animasi berjudul Wheely yang mengisahkan teksi di Kuala Lumpur.

"Untuk Wheely, kita sasarkan untuk pasaran antarabangsa dan ia dijangkap siap pada tahun 2017. Buat masa ini, kita sedang melalui proses awal produksi," katanya.

Projek Pentas Panas

Sementara itu, Norman berkata, mereka juga kini tidak menerbitkan sebarang drama kerana memberi fokus kepada rancangan realiti terbaharu bersama saluran 116 Hypp Sensasi di Hypp TV iaitu Rockers : Pentas Panas.

Katanya menerusi program berkenaan, Datuk Ramli Sarip menjadi sifu yang digelar Otai Rock kepada 12 peserta yang terpilih.

"Journal Rockers disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8.30 malam manakala konsert Pentas Panas pertama akan disiarkan setiap hari Ahad pada jam 8.30 malam.

"Konsert mingguan ‘Rockers’ akan dihoskan oleh Hunny Madu manakala jurnal harian akan dihoskan oleh Myo," katanya.

Previous Post Next Post