Zara Zya sanggup berhabis!


DEMI minat, pelakon, Zara Zya, sanggup berhabis. Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 30 dia sanggup membelanjakan sehingga RM3,000 bagi memastikan kebajikan kesemua kucingnya terjaga.

"Saya ada membela sebanyak 15 ekor kucing yang saya tempatkan di dalam sebuah bilik khas.

"Oleh itu, kos saya perlu belanjakan agak banyak, belum lagi termasuk kos perubatan sekiranya ada antara kucing yang sakit," katanya kepada Zass.

Pun begitu, pelakon drama Tuan Anas Mikael ini memberitahu, dia tetap menitikberatkan penjagaan kebersihan rumahnya.

“Saya jenis tidak suka bau yang tidak menyenangkan apabila berada di rumah. Memandangkan saya juga berniaga makanan, justeru aspek kebersihan itu penting.

"Semua kucing itu saya tempatkan dalam satu bilik, tidak dilepaskan merata-rata di dalam rumah.

"Saya juga akan pastikan kucing saya mandi dan najisnya dibersihkan terus agar rumah tidak berbau busuk.

“Ada sesetengah rumah yang memelihara kucing, rumah mereka ada bau yang kurang enak untuk dihidu, justeru saya tidak suka keadaan itu," katanya.

Beralih pula mengenai lakonannya menerusi drama Tuan Anas Mikael yang dibandingkan dengan watak Fathia Latif menerusi drama Diandra, Zara berkata, terpulang kepada persepsi penonton.


"Bagi saya, memainkan watak Ayu Maisarah dalam drama itu amat menyeronokkan.

“Sebelum ini jika saya memainkan watak lain seperti antagonis atau watak sedih, penonton seolah-olah melihat watak itu tidak sesuai dengan saya.

“Apa yang saya cuba lakukan adalah lakonan yang baik dan watak yang berbeza daripada lakonan sebelum ini walaupun perwatakan lebih kurang sama,” katanya.

Tambah pelakon ini, dia tidak boleh menolak sekiranya tawaran watak yang datang kepadanya adalah watak yang lebih kurang sama.

“Itu adalah rezeki saya, jadi saya terima sahaja apa watak yang sesuai. Bukan saya tidak pernah cuba untuk bawa watak lain, namun semuanya kurang disukai oleh penonton,” katanya.

Previous Post Next Post