Mizie Kamis pilih muzik jalan untuk berdakwah


MENYEDARI besarnya pengaruh muzik kepada masyarakat, penasyid Mizie Kamis nekad menceburi bidang seni suara meskipun bakal mempunyai kerjaya tetapnya, tidak lama lagi.

Bakal guru agama ini memberitahu, kelebihan yang diberi ALLAH SWT itu akan digunakan sebaik-baiknya ke arah yang diredai-Nya.

“Saya menganggap menyanyi sebagai satu ‘jalan’ untuk mendidik dan menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat.

“Oleh itu, saya menggunakan medium nasyid sebagai proses saya berdakwah,” katanya kepada Zass.

Lebih selesa mengambil pendekatan menerusi lagu dan lirik, pemilik nama penuh Tarmizi Kamis ini mengakui kaedah itu lebih mudah.

“Lihatlah masyarakat kini, siapa yang tidak sukakan muzik? Jadi, saya menggunakan unsur bunyi-bunyian ini untuk ke arah kebaikan seperti berselawat dan berzikir di samping menyelitkan lagu-lagu lain yang bersifat positif,” katanya.

Jika diimbas kembali, penglibatan anak muda berusia 25 tahun ini dalam industri nasyid bukanlah baharu. Bahkan, nama Mizie sebenarnya cukup terkenal di negeri kelahirannya, Kedah.

Sebelum ini, Mizie menganggotai kumpulan nasyid, Zahran namun, mengundurkan diri pada 2010 kerana komitmennya sebagai pelajar.


Rentetan kisah hidup

Selepas sekian lama mengumpul material, Mizie akhirnya tampil dengan album terbaharunya, Kini ‘15 sejak November lalu.

Menariknya, album itu diterbitkan oleh syarikatnya, MK Production dan hampir 80 peratus lagu di dalamnya merupakan hasil ciptaannya sendiri.

“Album ini bermaksud diri saya pada ketika ini sehingga membawa kepada rentetan pelbagai peristiwa dalam hidup,” katanya.

Kini ‘15 menampilkan 10 lagu iaitu Kasih Yang Satu, Selawat, Kalimah Berjasa, Kasih Selamanya, Ya Lathif, Tangisan Anak Pejuang, Tubna Ya ALLAH, Di Suatu Masa (new 2015), Kini (feat Masrie) serta satu lagu minus one, Di Suatu Masa.

“Ada satu lagu cukup istimewa buat saya iaitu Kasih Selamanya. Lagu ini saya menampilkan perasaan seorang anak di atas kehilangan bapa kesayangannya. Sebenarnya, lagu itu saya cipta sendiri khas buat arwah bapa,” katanya yang menjadikan Hijjaz sebagai idola.

Tidak hanya menyanyi, Mizie juga terlibat dalam perniagaan minyak wangi dengan menggunakan jenama MK Perfume.

Selain itu, dia juga baru saja melancarkan makanan kesihatan iaitu Gula-gula Manis Aqlu Genius Plus dan Kismis Genius Plus menerusi syarikatnya, MK Production.

Previous Post Next Post