Langkah kanan Nana #GegarVaganza


BAGI Nana, penyertaannya dalam Gegar Vaganza menyerlahkan lagi bakat nyanyiannya dengan membawakan pelbagai genre lagu.

WANITA ini pernah melalui zaman kegemilangannya sekitar 16 tahun yang lalu. Ketika itu umurnya masih lagi belasan tahun. Antara lagu yang dilantunkan penyanyi bernama Siti Nordiana ini ketika itu termasuklah Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Bakawali.

Bahkan ada banyak lagi rangkaian lagu yang pernah mencipta populariti penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini ketika zaman kegemilangannya. Barangkali, paling diingati gandingannya bersama Allahyarham Achik Spin setiap kali penampilannya di atas pentas.

Itu kisah lebih sedekad yang lalu. Tatkala masa berputar, kehadiran muka-muka baharu hari demi hari, adakalanya membuatkan nama Nana bagaikan hanyut tenggelam di bawa arus masa. Dia sendiri mengakui, ada kalanya beberapa tahun kebelakangan ini, pernah terdetik rasa putus asa untuk meneruskan perjuangannya dalam bidang yang pernah mengangkat namanya satu masa dahulu. Lebih-lebih lagi, inilah juga bidang yang menjadi sumber rezekinya selama ini.

“Memang saya pernah berasa kecewa apabila cubaan tampil dengan lagu-lagu sejak kebelakangan ini susah sangat nak menjadi. Bukan sekali, tapi adalah dalam empat buah single yang dikeluarkan tetap tidak mendapat tempat.

“Ada kalanya, saya sendiri terfikir dan tertanya-tanya kepada diri sudah tidak ada harapan ke lagi dalam industri? Pernah sampai rasa macam sudah putus asa. Tambahan pula dengan cakap-cakap orang yang seolah-olah memperkecilkan diri saya,” luah penyanyi yang kini sudah menginjak usia 31 tahun itu.

Sungguh pun begitu, semangat yang ada pada diri Nana tidak pernah dibiarkan terus padam. Yakin dengan peluang dan rezeki yang sentiasa terbuka, Nana bangkit dengan iltizam baharu. Baginya, apa yang penting dia perlu memikirkan sesuatu untuk meneruskan cita-cita yang sudah dimulakan sekian lamanya.

Rezeki Gegar Vaganza

Buktinya, Nana memberanikan diri menguji diri di pentas program realiti Gegar Vaganza. Cubaannya untuk membawa diri lebih jauh nyata membuahkan hasil. Mana tidaknya, saban minggu persembahan yang diberikannya tidak pernah mengecewakan. Ada sahaja butir-butir manis yang keluar dari mulut juri.

Memang benar, di pentas itulah kemampuan Nana betul-betul terserlah. Jika sebelum ini, dia hanya menyanyikan lagu-lagu yang selesa dengan ton suara dirinya, tetapi bukan di pentas Gegar Vaganza. Pelbagai genre sudah dibawakannya sepanjang lapan minggu beraksi. Nana sememangnya seorang penyanyi yang versatil.

Lebih mendebarkan apabila hari ini juga menjadi malam penentu buatnya di pentas akhir. Sejujurnya, dia tidak pernah terlintas akan pergi sejauh ini. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan penerimaan hambar yang pernah diterimanya sebelum menyertai Gegar Vaganza.

“Sebenarnya, sejak dari musim pertama lagi saya sudah mengikutinya, Jadi apabila berpeluang di musim kedua, saya sanggup tolak program lain untuk beri fokus kepada pertandingan ini.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka penerimaan positif daripada orang ramai yang tak putus-putus memberi sokongan. Mungkin inilah masanya untuk saya buktikan kepada orang di luar sana yang selama ini pernah memperkecilkan diri saya,” luahnya ketika ditemui Sensasi Bintang sewaktu sesi fotografi di Capri by Fraser Kuala Lumpur baru-baru ini.


Anak tetap keutamaan

Biarpun jadualnya agak sibuk, sebagai seorang ibu, Nana tetap meletakkan satu-satunya si jantung hati, Muhammad Rayyan Nakhaie, 7, dalam carta keutamaan hidupnya. Apatah lagi memegang status sebagai ibu tunggal, Nana ada tanggungjawab besar yang perlu digalasnya.

“Apabila saya ke Kuala Lumpur, dia akan duduk Negeri Sembilan dengan neneknya. Memang tidak bawa dia ikut ke sini memandangkan dia bersekolah. Saya sendiri pun berulang-alik dari sini ke Negeri Sembilan jika ada kerja,” katanya yang kini sudah enam tahun hidup sendirian tanpa pengganti.

Jika sebelum ini, Rayyan mungkin belum begitu mengerti kehidupan Nana sebagai seorang penyanyi, kini sedikit demi sedikit dia sudah mula faham dengan aturan hidup ibunya yang mencari rezeki untuknya atas nama bakat.

“Waktu untuk anak memang saya akan pastikan ada untuknya. Kebiasaannya hari biasa saya tidak begitu sibuk, jadi dapatlah uruskan segalanya.

“Cuma sekarang ini, selepas balik sekolah, dia ada beritahu kawan-kawan dia menonton saya menyanyi di televisyen. Malah, dalam grup WhatsApp kelas dia yang terdiri daripada ibu bapa dan gurunya juga banyak memberi sokongan kepada saya,” kongsi pelantun lagu Paling Comel itu.

Kongsi Nana, biarpun anaknya sudah mengerti dirinya sebagai penyanyi, Rayyan tidak pernah menunjukkan minat yang sama dalam bidang seni.

“Dia ada bakat menyanyi, cuma apabila ada pertandingan di sekolah minta dia serta, dia tidak mahu. Bagaimanapun, saya tidak pernah menyekat minatnya jika satu hari nanti dia juga mahu bergelar penyanyi. Sekurang-kurangnya saya boleh bimbing dia nanti,” kata Nana yang berkongsi ada pihak mahu merakamkan semula lagu-lagu lamanya.

Previous Post Next Post