Akshay Kumar gila kerja


SEBUT saja mana-mana arena perfileman, sama ada tempatan, Hollywood mahupun Bollywood, pastinya tidak dapat lari dengan sebarang kontroversi.

Pun begitu, aktor terkenal Bollywood, Akshay Kumar berjaya ‘menepis’ sebarang kontroversi murahan daripada terpalit ke atasnya.

Situasi itu sekali gus membantunya mengekalkan ‘rekod’ tanpa mencalarkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon bertaraf antarabangsa.

Pemilik nama sebenar Rajiv Hari Om Bhatia ini mula menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak 1990 sehingga kini.Bahkan, sepanjang bergelar anak seni lebih daripada 20 tahun, Akshay mengakui sudah puas membawakan pelbagai watak.

Antara filem lakonannya adalah Waqt Hamara Hai (1993), Yeh Dillagi (1994), Dhadkan (2000), Hera Pheri (2000), Andaaz (2003), Mujhse Shaadi Karogi (2004), Garam Masala (2005), Waqt: The Race Against Time (2005), Bhagam Bhag (2006), Bhool Bhulaiyaa (2007), Namastey London (2007), Singh Is Kinng (2008) dan Kambakkht Ishq (2009).

Selain itu, Akshay juga cemerlang dalam pelbagai filem lain seperti Housefull 2 (2012), Rowdy Rathore (2012) ,OMG (2012), Special 26 (2013) dan Holiday (2014) bahkan turut menjadi salah seorang aktor yang paling produktif di Bollywood untuk tahun 2015.

Malah filemnya iaitu Baby, Gabbar Is Back, Brothers dan Singh Is Bliing mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada peminat.

Lebih membanggakan, Akshay satu-satunya pelakon lelaki Bollywood yang muncul di layar lebar dalam tempoh empat kali dalam setahun. Jadi, tidak salah menggelarnya sebagai seorang yang sangat ‘gila kerja.


Hasilnya, kini pelakon berusia 48 tahun itu boleh berbangga dengan hasil kejayaan yang dimilikinya.

Ini kerana, koleksi filem Akshay pernah meraih kutipan pecah panggung sehingga mencapai AS$300 juta dan lebih menakjubkan, dia adalah satu-satunya aktor Bollywood yang mampu berbuat demikian, menurut satu laporan media pada 2013.

Situasi itu sekali gus menyenaraikan Akshay sebagai salah satu aktor paling berjaya dalam sejarah perfileman Bollywood.

Raih pendapatan tertinggi

Selain kerap tampil sebagai hero filem, Akshay juga merupakan seorang aktor lagak ngeri.

Pada masa sama, suami kepada aktres Twinkle Khanna ini turut melakonkan aksi lagak ngerinya yang berbahaya dalam setiap filem lakonannya.

Keadaan itu menyebabkan Akshay diberi jolokan sebagai Jackie Chan versi India.

Selain itu, Akshay turut terlibat dalam bidang pengacaraan apabila menjadi hos bagi rancangan Fear Factor- Khatron Ke Khiladi pada 2008.

Akshay juga merupakan pengasas kepada penubuhan syarikat produksi, Hari Om Entertainment (2009) dan Grazing Goat Pictures (2012).

Pada 2014, pelakon kelahiran Mumbai ini melancarkan program realiti, Dare 2 Dance. Pada masa sama, dia merupakan pemilik pasukan Khalsa Warriors dalam Liga Dunia Kabbadi (World Kabaddi League).

Lebih menggembirakan Akshay berada dalam ranking kesembilan mengikut senarai Forbes yang meraih pendapatan tertinggi di dunia pada 2015.

Tahun lalu, Akshay menerima pendapatan sebanyak AS$33.5 juta sekali gus berjaya mengatasi aktor terkenal Hollywood seperti Dwayne The Rock Johnson, Johnny Depp, Brad Pitt dan Leonardo DiCaprio.

Bangga jadi rakyat India

Dalam perkembangan lain, kelibat Akshay bakal dilihat menerusi filem terbarunya, Airlift.

Selain Akshay, filem arahan Raja Krishna Menon ini turut dibintangi Nimrat Kaur, Purab Kohli dan Lena Kumar.

Airlift diangkat daripada kisah benar yang berlaku mengenai pemindahan rakyat India secara beramai-ramai ketika berlakunya peperangan di antara Kuwait dan Iran pada 1990.

Kata Akshay, filem terbarunya itu berjaya meninggalkan kesan positif terhadap dirinya.

“Ia merupakan sebuah filem yang berlandaskan kisah benar sekali gus menyebabkan saya berbangga menjadi rakyat India,” tulisnya dalam Twitter.

Airlift mengisahkan bagaimana seorang ahli perniagaan kaya dan berkuasa di India, Ranjit Katyal yang mengakui dirinya sebagai rakyat Kuwait menyedari dia tidak lagi mempunyai pengaruh di Iraq dan keluarganya dalam bahaya.

Ranjit kemudian menjadi tumpuan lebih 170,000 rakyat India untuk membawa mereka keluar dengan selamat dari Kuwait. Ranjit kemudian mengembara beribu-ribu kilometer jauhnya merentasi sempadan Amman, Jordan.

Dari Amman, kesemua rakyat India diselamatkan oleh kerajaan India selepas menghantar kapal terbang komersial Air India dan melakukan 488 penerbangan dalam kawasan zon perang bagi membawa pulang rakyatnya dengan selamat selama 59 hari.

Apakah kesudahannya? Jangan lupa saksikannya di pawagam mulai 22 Januari ini.

Previous Post Next Post