Gaya mewah Che Ta dicemburui?


SEBUT sahaja nama Rozita Che Wan pasti ramai yang membayangkan kehidupannya yang cukup mewah. Malah, aktres yang mesra disapa Che Ta ini juga sangat terbuka untuk berkongsi kemewahannya bersama peminat dan media.

Jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, pelakon yang terkenal dengan drama Kiah Pekasam ini menegaskan segala kemewahan yang ada itu adalah hasil dari titik peluhnya sendiri.

Enggan mengambil pusing kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap gaya hidupnya itu, aktres yang berusia 45 tahun ini sebaliknya semakin rancak mengembangkan empayar perniagaannya.

"Terpulanglah orang nak kata apa. Saya tak kisah. Adalah lebih penting untuk saya fokus pada perniagaan dan karier seni.

"Alhamdulillah, perniagaan saya juga semakin bertambah baik dan ada sahaja permintaan. Saya juga baru lancarkan produk baharu, losen putih ajaib yang dah terjual 10 ribu unit dalam masa seminggu," katanya yang baharu saja pulang percutian dari Eropah selama 22 hari.

Dilihat kerap bercuti ke luar negara, Che Ta mengakui ia bukan sahaja memberikan kepuasan kepada dirinya, malah ia membuka peluang untuknya memiliki hartanah di sana.

Menurut Che Ta, dia kini dalam perancangan untuk membeli sebuah pangsapuri di kota London.


"Ia adalah idea dari seorang rakan yang pernah membeli hartanah di situ. Lagipun saya suka ke sini (London), jadi apa salahnya saya membeli satu kediaman.

"Selain untuk tujuan pelaburan, ia juga boleh digunakan sebagai tempat persinggahan kami sekeluarga sekiranya kami datang ke sini.

"Jujur saya katakan, saya memang suka tinggal di London. Persekitarannya membuatkan saya rasa tenang sangat dan nak ke mana sahaja semua dekat," katanya yang Ujar Che Ta lagi, suaminya Zain Saidin, pernah memberi cadangan untuk mereka sekeluarga menetap di sana, namun ia masih terlalu awal untuk direalisasikan.

Seiring percutiannya, fesyen yang digayakan aktres jelita ini juga sering mencuri tumpuan ramai. Turut mempamerkannya di laman sosial Instagram miliknya, akui Che Ta, dia sememangnya suka mengumpul koleksi pakaian sehingga tiada ruang untuk disimpan.

"Jangan terkejut! Memang baju saya sangat banyak dan boleh penuh satu rumah. Kebanyakan baju saya pakai cuma sekali sahaja. Selepas itu saya jual semula (preloved).

"Pakaian itu dijual menerusi Instagram yang diuruskan oleh kawan anak saya. Semuanya dijual dengan harga yang sangat murah. Kalau harga asal RM8,000 ribu, saya akan jual dalam harga RM1,500 sahaja.

"Dalam masa satu hingga dua bulan, jualan boleh mencecah sehingga RM40,000. Tapi wang itu saya gunakan untuk tujuan kebajikan. Saya dermakan sebahagian kepada sebuah sekolah tahfiz," katanya yang ditemui ketika sidang media Teh Tarik Che Ta di Angkasapuri, baru-baru ini.



Berhabis demi anak

Turut memberikan kemewahan kepada anak-anak, tegas Che Ta, sebagai seorang ibu dia tidak mahu anak-anaknya merasa susah seperti mana zamannya dulu. Sedar ada segelintir pihak yang tidak menyenangi caranya itu, bagi Che Ta, anak-anak sememangnya orang yang paling layak untuk merasai kesenangan dari hasil kerja kerasnya.

"Kalau saya tak habiskan duit untuk anak-anak, habis untuk siapa lagi?

"Setiap bulan akan ada peruntukan untuk wang perbelanjaan mereka. Mereka pandai-pandailah uruskannya, Tapi kalau dah habis, mereka tak pernah mintak tambah lagi.

"Begitu juga dengan hadiah atau ganjaran. Itu berdasarkan kejayaan mereka. Seperti mana Ammar yang berjaya dengan keputusan SPM, begitu juga Aniq. Kalau dia berjaya dapat 9A saya juga akan hadiahkan kereta tahun ini," katanya.

Berkongsi mengenai program bual bicara terbaharunya, Teh Tarik Che Ta, yang bersiaran setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari di saluran TV1, ibu kepada tiga anak ini meluahkan rasa gembira dan teruja kerana dipilih mengendalikan program untuk RTM.

Jelas Che Ta, inilah program bual bicara pertamanya bersama stesen TV tersebut dengan penampilan dirinya yang sebenar.

"Program ini sangat santai dan saya bebas menjadi diri saya sendiri. Tapi saya rasa gentar juga apabila diberi tugas menemu bual seniman dan seniwati terkenal tanah air.

"Paling mencabar ketika menjayakan program bersama pelakon Rubiah Suparman sebab saya tak pernah jumpa dia dan perlu buat kajian tentang dirinya.

"Namun paling seronok, bila bertemu dengan penyanyi Zaiton Sameon yang saya rasakan cukup kelakar orangnya," katanya.

Turut menampilkan nama-nama besar seperti Erra Fazira, Ziana Zain, Amelina, Raja Ema, Salwa Abdul Rahman, Hail Amer, Aman Shah dan ramai lagi, program yang mengimbau nostalgia selebriti ini turut menyaksikan Che Ta membancuh teh tarik kepada tetamu jemputan.

Previous Post Next Post