Ika Nabila kembali menyanyi


SEJAK aktif dalam bidang lakonan, pelakon Ika Nabila dilihat terus sunyi dalam bidang nyanyian yang sebelum ini menjadi keutamaannya.

Bagaimanapun, bekas pelajar Akademi Fantasia musim 6 ini terbukti masih tidak melupakan bakatnya dalam bidang tersebut apabila menyatakan hasratnya untuk aktif semula menyanyi.

Menurutnya, tahun ini fokusnya mahu aktif semula dalam bidang nyanyian jika terus diberi peluang dan keizinan.

“Oleh kerana saya sudah lama tinggalkan kerjaya nyanyian ini, Insya-ALLAH tahun ini saya mahu mula bernyanyi.

“Namun, jenis nyanyian atau sebarang perkembangan mengenainya masih lagi dalam perbincangan memandangkan saya akan sain kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan.

“Namun semua itu masih menjadi rahsia dan belum lagi sedia untuk dikongsi,” katanya kepada Zass baru-baru ini.

Berkongsi pula mengenai perkembangan lakonannya, pelakon drama Rindu Awak 200% ini memberitahu, yang kini dia sedang sibuk menjayakan beberapa penggambaran drama.


“Drama lakonan saya akan di tayangkan di slot Ratu TV9 tidak lama lagi yang berjudul Lara Terindah.

“Dan minggu lalu, saya sudah mula menjalani penggambaran telefilem berjudul Lamar,” katanya.

Mengulas pula mengenai tawaran yang diambil sama ada sedikit memberi kesan kepadanya sejak insiden dipukul pengarah tahun lalu, Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim mengakui memang ada perubahannya.

“Lakonan masih saya terima seperti biasa. Namun, sejak kejadian itu saya lebih berhati-hati dalam memilih tawaran.

“Ia bagi mengelak kejadian sama berulang ke atas saya kerana memang sukar untuk dilupakan.

“Insya-ALLAH benda begitu sekali sahaja berlaku dalam hidup saya. Saya pastinya tidak akan semudahnya memberi ruang pihak untuk mengasari saya lagi,” katanya.

Ingin jadi heroin

Saban hari, namanya mungkin semakin dikenali namun, sehingga kini Ika hanya diberi peluang untuk membawa watak sampingan sahaja. Mengulas perkara itu, kata Ika, dia tidak kisah dengan tawaran yang datang dan tetap mengambilnya secara positif.

“Memang saya selalu impikan lebih banyak watak utama dalam mana-mana lakonan. Tetapi bukan makna saya tidak bersyukur dengan apa saya dapat sekarang.

“Mungkin perwatakan saya lebih kepada watak sokongan dan pada saya ia tetap tugas mencabar kerana saya perlu menyokong watak utama.

“Jadi tidak menjadi isu sama ada bawa watak sokongan atau watak utama asalkan sesuai dengan diri saya dan bayarannya,” katanya.

Previous Post Next Post