Sayap Min Yasmin di Filipina


AHLI falsafah berbangsa Romawi, Lucius Annaeus Seneca pernah berkata, tuah tercipta apabila persediaan yang cukup bertemu dengan peluang. Ungkapan yang lahir daripada bibir penulis tersohor itu jelas mendefinisikan laluan karier milik penyanyi Min Yasmin.

AHLI falsafah berbangsa Romawi, Lucius Annaeus Seneca pernah berkata, tuah tercipta apabila persediaan yang cukup bertemu dengan peluang. Ungkapan yang lahir daripada bibir penulis tersohor itu jelas mendefinisikan laluan karier milik penyanyi Min Yasmin.

Walaupun derap langkahnya dalam lapangan muzik tempatan dilihat agak perlahan sejak beberapa tahun lalu, namun, pemilik nama lengkap Nurul Yasmin Abdul Aziz itu sudah mampu tersenyum bangga apabila lagu bahasa Tagalog nyanyiannya, Sa Iyo mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat di Filipina.

Lebih membanggakan, lagu tersebut berjaya bersaing dengan lagu-lagu Tagalog lain seterusnya mengungguli beberapa carta radio di negara tersebut selama lebih lima bulan sekitar tahun lepas.

Berpeluang bertemu dengan Min di Studio Utusan baru-baru ini, penghibur berusia 28 tahun berkata, peluang untuk dikenali di negara luar dianggap sebagai rezeki yang datang tanpa diduga.

“Sejak lagu tersebut dimainkan di corong-corong radio di Filipina sekitar Julai tahun lalu, nama saya mula dikenali di sana.

“Alhamdulillah, penerima peminat cukup memberangsangkan, terutama apabila saya turun padang bagi tujuan promosi. Saya anggap ini semua sebagai tuah dan susunan rezeki yang telah ditentukan oleh Tuhan,” katanya membuka bicara.

Dicipta oleh suaminya, komposer Julfekar dan dimuatkan ke dalam album duet berjudul 2 Voices, lagu Sa Iyo turut menampilkan vokal penyanyi kelahiran Filipina, Nikki Bacalod.

Menyambung perbualan, Min mengakui cukup selesa menyanyi bersama Nikki kerana sudah lebih lima tahun mengenali penghibur kelahiran Iligan, Filipina itu.

“Selepas perancangan merakamkan album duet bersama empat penyanyi Filipina dan tiga lagi penyanyi tempatan tergendala, syarikat rakaman mengambil keputusan untuk menyatukan kami dalam sebuah album.

“Nikki merupakan rakan baik saya dan kami selesa bekerjasama,” ujar Min yang kini bernaung bawah label muzik milik suaminya, MillenniumArt Sdn. Bhd.

Bercerita lanjut mengenai populariti lagu Sa Iyo, Min berkata, peminat di sana sangat menghargai muzik dan tidak mengamalkan sikap prejudis walaupun dia merupakan penyanyi berbangsa Melayu yang beragama Islam.

“Melihat kepada atmosfera industri muzik di Filipina, hampir kesemua rakyatnya menghargai muzik tanpa meletakkan sempadan agama, bangsa mahupun keturunan.



Min sewaktu menerima anugerah Outstading Asian Singer 2015 dan Music Ambassador 2015 di Manila baru-baru ini.

“Bahkan, penghargaan terhadap sesuatu karya itu sangat tinggi jika ia selari dengan cita rasa mereka. Apabila melihat penerimaan menggalakkan daripada peminat di sana, saya berasa sungguh terharu,” katanya.

Turban tinggi

Melanjutkan bicara, Min berkata, imej turban tinggi ala wanita Afrika turut menjadi alasan untuk mudah dikenali dan diingati penggemar muzik di sana.

“Tidak sangka mereka suka dengan imej turban seperti yang saya gayakan.

“Jika berjalan di pusat beli-belah, saya sudah mula melihat penduduk di sana menggayakan imej tersebut,” katanya.

Sejak berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Manila, Filipina, Min kerap bertandang ke beberapa stesen televisyen dan radio di sana bagi memenuhi jemputan persembahan dan wawancara.

Menurut Min, masalah komunikasi tidak menjadi penghalang buat dirinya memandangkan kebanyakan rakyat di Filipina mahir berbahasa Inggeris.

Namun, penyanyi kelahiran Johor itu menyimpan hasrat untuk mempelajari bahasa Tagalog bagi melancarkan lagi proses komunikasi, terutamanya sewaktu mempromosikan single dan album.

“Buat masa ini, mereka lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding Tagalog. Tetapi, tidak mustahil suatu hari nanti saya akan mempelajari bahasa ibunda mereka.

“Bahasa Tagalog juga akan dapat mendekatkan saya dengan peminat. Siapa yang tidak suka jika orang luar mampu bertutur dalam bahasa ibunda mereka?” ujar Min sambil tersenyum.

Penganugerahan

Tuah Min di Filipina tidak terhenti setakat penerimaan khalayak terhadap lagu Sa Iyo. Terbaharu, Min berjaya merangkul anugerah Outstading Asian Singer 2015 dalam majlis anugerah berprestij, Gawad Sulo Award 2015 yang berlangsung di Manila pada 18 Disember lalu.


Setiap kali Min mengadakan persembahan promosi di pusat-pusat beli-belah di Manila, Filipina, pasti sambutan meriah akan diterimanya. Dia merancang untuk kembali ke Filipina bagi menyudahkan rangka promosi di sana.

Mengakui terkejut dengan penganugerahan tersebut, dalam masa yang sama, Min turut melahirkan rasa bangga kerana menjadi artis Malaysia pertama yang diberi pengiktirafan seumpama itu.

“Pada awalnya, jawatankuasa anugerah tersebut ada menghantar emel kepada syarikat rakaman dan meminta profil saya untuk dipertimbangkan sebagai penerima anugerah,

“Namun, saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana yakin saingan pada anugerah tersebut hebat-hebat belaka. Tetapi, dua minggu sebelum majlis berlangsung, saya diberitahu telah terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah.

“Saya sungguh teruja kerana ini merupakan kali pertama majlis tersebut memberi pengiktirafan kepada penghibur dari luar negara,” katanya yang turut membawa pulang anugerah Music Ambassador 2015 pada malam berkenaan.

Lambat panas

Biarpun baru melebarkan sayap emas di Filipina, hakikatnya nama Min Yasmin lebih popular di sana berbanding di negara sendiri.

Tidak kecewa mahupun terkilan dengan sambutan yang diberikan penggemar muzik tempatan, Min berkata, rezeki Allah itu ada di mana-mana dan dia percaya terhadap bakat yang dimiliki.

“Walaupun ada yang mengatakan saya kurang dikenali di negara sendiri, namun saya masih bersyukur kerana kerjaya nyanyian masih berjalan dengan baik.

“Biarlah bergerak perlahan-lahan asalkan karier bertahan sampai bila-bila,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Min baru sahaja melancarkan album studio debutnya, Min Yasmin. Album tersebut merupakan kompilasi single nyanyiannya yang pernah diterbitkan sejak beberapa tahun lalu.

“Ia merupakan strategi syarikat rakaman untuk menerbitkan single terlebih dahulu.

“Strategi ini memudahkan peminat untuk mengenali penyanyi dengan lebih dekat sebelum membeli album penuh mereka,” katanya.

Mengandungi lapan buah lagu, album berkenaan turut memuatkan lagu Sa Iyo yang turut dirakamkan dalam bahasa Melayu berjudul Hilangkanlah.

Tambah Min, selepas promosi album solonya itu selesai, dia akan kembali ke studio untuk merakamkan beberapa buah lagu yang akan diterbitkan dalam bahasa Tagalog.

“Buat masa ini, pemilihan lagu dibuat oleh suami saya. Dalam masa terdekat nanti, album solo dalam bahasa Tagalog akan dipasarkan di Filipina,” katanya yang turut merancang untuk memasarkan album duet 2 Voices yang menampilkan Nikki di Malaysia tidak lama lagi.

Previous Post Next Post